Guru Bangga Terbitkan Karya Berupa Novel Berkisar Dunia Pendidikan

Pengalaman 13 tahun sebagai seorang pendidik membuatkan seorang guru berjaya menerbitkan dua buat novel yang berkisarkan tentang dunia pendidikan. Ini menimbulkan satu kepuasan yang tidak terhingga buat guru ini dalam mencurahkan ilmu yang berguna dipaparkan di dalam novel ini.

Melalui novel ini, guru ini berharap dapat dibaca oleh murid,guru, ibu bapa dan mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan yang memaparkan segala masalah anak murid dengan hanya apa yang terjadi di depan mata. Dunia pendidikan hari ini tidak kurang pelbagai cabarannya. Ini membuatkan novel ini dihasilkan untuk mengajak pembaca memahami jalan cerita yang sangat-sangat memberi kesan ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Apabila membaca novel ini, ternyata banyak ilmu yang dapat dikongsi terutama membicarakan tentang kes  buli, kemiskinan, kepimpinan, nilai murni dan sebagainya.”

Guru Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah menghasilkan manuskrip novel Tikar Mengkuang Nenek enam tahun lalu. Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka( DBP) ini  akhirnya berjaya diterbitkan jua pada tahun ini. Pelbagai kisah yang menyentuh hati dipaparkan dalam novel ini terutama kisah  seorang guru yang berusaha untuk membina hidup baru muridnya ke arah yang lebih baik setelah mengalami konflik dalam keluarga yang tidak berkesudahan.

“Novel ini mampu mengajak pembaca larut ke dalam cerita yang memaparkan kisah lucu dan sedih di dalam setiap bab sehinggalah kepada akhir cerita yang sudah pasti menggambarkan kehidupan yang mengembirakan.”

Guru Bahasa Melayu ini juga, turut menghasilkan novel seterusnya yang bertajuk Empangan Kuala Kenering. Juga memaparkan sisi hubungan antara seorang murid dengan guru. Murid berhadapan dengan konflik berat di dalam keluarga serta hubungan dengan masyarakat ini sememangnya memiliki cita-cita yang tinggi. Namun beberapa halangan terpaksa dilalui membuatkan dia patah semangat. Mujurlah hadirnya seorang guru yang prihatin dan cakna ke atas setiap masalah yang berlaku membuatkan murid ini berjaya dalam hidup.

“Novel yang mengambil latar tempat di daerah pedalaman ternyata mampu mengajak pembaca mengetahui tentang murid-murid kampung yang jauh ketinggalan berbanding murid bandar.”

Kedua-dua novel ini menjadi terlalu istimewa baginya lantaran mempunyai nilai dan pengalaman tertentu dalam usaha menyiapkan manuskrip yang beratus-ratus halaman ini. Apabila menjadi sebuah novel ia merupakan satu kepuasan untuk mengajak semua orang membaca dan menghayati jalan cerita yang ternyata mempunyai pengajaran yang amat berharga kepada semua.

Novel ini sentiasa dibawa ke mana-mana dalam usaha mempromosikannya. Guru ini akan cuba membawa novel ini ke mana-mana destinasi yang ditujui. Mengambil gambar bersama novel di tempat-tempat menarik dan berkongsi gambar tersebut di laman muka buku Facebook cikgu.ahmad.safarman.

Selain itu juga, guru ini pernah menghasilkan novel lain yang berkisahkan dunia guru dan murid iaitu Nasi Lemak Ikan Pekasam, Sesudah Hujan Teduh dan Cikgu Musim Covid-19. Selain itu, guru ini juga aktif di dalam penulisan berupa cerpen, anekdot, sajak bersama rakan penulis seluruh Malaysia.

Semoga novel ini berjaya sampai ke tangan pembaca serta menjadi saham dan ladang pahala buat penulis.

Untuk maklumat lanjut berkaitan novel boleh dilihat di laman web DBP Niaga

Dikongsi oleh Ahmad Safarman Dollah

Ahmad Safarman Dollah, lahir di Kota Bharu Kelantan. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Sastera (Pengkhususan Bahaa dan Linguistik Melayu) di UPM, Serdang Selangor. Kemudian menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLL) dalam bidang Pengajian Melayu Di IPGM Kampus Perlis.  Seterusnya ditempatkan mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaaan (SJKC) Ayer Kala Lenggong, Perak. Selepas itu bertukar sekolah di Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik Perak sehingga kini.  Guru subjek Bahasa Melayu dan Sejarah ini sangat aktif di Hulu Perak terutama dalam bidang koakademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bahas, bercerita, pidato, pantun, cerpen, sajak, teater solo dan sebagainya.

Boleh dihubungi melalui laman  https://www.facebook.com/Cikgu.ahmad.safarman/

Leave a comment