Membangkitkan motivasi pelajar dengan kaedah pembelajaran berasaskan inkuiri

Penularan wabak Covid-19 menyebabkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu diadakan pada tahun 2021. Lantaran itu banyak aktiviti pembelajaran tidak dapat dilakukan dan ini pula akan menghilangkan motivasi murid-murid untuk belajar. Awal tahun 2022, oleh kerana bimbang (PdPR) akan kembali lagi, saya bertungkus-lumus dalam mengajar  subjek Sains dalam tahun 5 agar sukatan boleh dihabiskan seawal mungkin. Pada akhir bulan Mac, saya mengajar murid tentang tajuk sistem rangka manusia. Walau bagaimanapun, saya mendapati ramai murid enggan melibatkan diri dengan aktif dan tidak suka menjawab soalan yang ditujukan. Beberapa orang murid tidak menumpukan perhatian malah menunjukkan ekspresi muka dan postur badan yang kurang minat dalam pembelajaran. Selain itu, mereka juga tidak menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan lembaran kerja dan latihan yang diberikan. Tiba-tiba saya berasa menyesal kerana gara-gara ingin mempercepatkan pengajaran, saya telah menyebabkan murid-murid tidak berminat dan pasif dalam PdPc Sains serta tidak menguasai kemahiran-kemahiran yang diperlukan.

Kaedah Pembelajaran Inkuiri

Oleh hal yang demikian,  saya mengaplikasikan Kaedah Pembelajaran Inkuiri untuk membantu murid-murid kembali aktif dan dengan itu meningkatkan kemahiran insaniah mereka. Strategi ini melibatkan penyiasatan, penerokaan, mengumpul data, membuat kesimpulan untuk menyelesaikan masalah, membuat refleksi dan berkomunikasi bagi berkongsi dapatan. (Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM], 2016). Dalam PdPc ini, Model 5E iaitu penglibatan, penerokaan, penerangan, penghuraian atau pengembangan dan penilaian  diaplikasikan. (Bybee et al., 1990)

Fasa Penglibatan

Dalam fasa penglibatan (10 min), saya menyuruh murid-murid melakar  sistem rangka manusia berdasarkan imaginasi mereka. Bagi fasa penerokaan (30 min), murid-murid dibimbing untuk menanya soalan berkaitan dengan sistem rangka sebagai persediaan untuk aktiviti penerokaan. Murid-murid dibawa ke luar bilik darjah untuk menjalankan aktiviti hand-ons mengeluarkan rangka manusia yang ditanam dan mencari maklumat tentang sistem rangka manusia.

Fasa Penerangan

Dalam fasa penerangan (60 min), secara kumpulan, murid-murid menyambung gambar sistem rangka manusia yang telah dipisahkan dan melabel sistem rangka. Murid-murid mencari maklumat tentang sistem rangka manusia yang terdiri daripada tengkorak, tulang rusuk, tulang belakang, tulang tangan dan tulang kaki serta fungsi sistem rangka manusia.  Murid-murid membentangkan hasil dapatan mereka.

Fasa Pengembangan

Dalam fasa pengembangan (60 min), bagi mengembangkan pengetahuan murid-murid tentang fungsi sistem rangka, murid-murid membuat hand-ons menumbuk tauhu dan membalut sendi tangan untuk menghubungkait aktiviti ini dengan otak dan organ dalaman dilindungi oleh tengkorak manusia dan juga tulang rusuk. Murid-murid menghubungkaitkan sendi tulang yang membolehkan kelenturan dan pergerakan. Murid-murid membincang fungsi sendi kepada manusia dalam kehidupan harian dan juga cara-cara menjaga tulang serta kepala dalam kehidupan seharian.  Guru menanya soalan aras tinggi supaya murid boleh berfikir dengan lebih lanjut. Penilaian berterusan dilakukan sepanjang proses pembelajaran melalui pemerhatian dan juga lembaran kerja serta tugasan kumpulan. Penilaian juga dibuat dengan merujuk kepada Tafsiran Standard Prestasi mengikut tahap.

Refleksi

Dalam PdPc ini, murid-murid berasa amat teruja dan seronok. Mereka saling berkolaborasi dan aktif melibatkan diri dalam pembelajaran. Daripada respon, reaksi dan tingkah laku yang ditunjukkkan, mereka mempunyai sikap positif terhadap Kaedah Pembelajaran Inkuri. Secara keseluruhan, murid melibatkan diri dengan aktif dalam pembelajaran yang bertajuk sistem rangka manusia yang mengintegrasikan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri. Seorang murid pada mulanya amat takut untuk mengeluarkan “objek” di dalam pasir, tetapi akhirnya aktif melibatkan diri apabila mendapati objek tersebut hanya merupakan rangka manusia palsu. Setelah analisis dilakukan terhadap foto dan video semasa tugasan individu dan kumpulan dijalankan, didapati bahawa murid-murid dapat menyelesaikan tugasan melabel dan menyambung sistem rangka manusia dengan betul serta membuat peta minda berkaitan dengan fungsi sistem rangka dengan baik, maka boleh dikatakan penerapan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri. memang amat berkesan dalam membantu murid-murid belajar fakta Sains. Kaedah ini  bukan saja meningkatkan pengetahuan Sains murid-murid malah meningkatkan kemahiran insaniah mereka contohnya kemahiran-kemahiran seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran berkomunikasi, menyelesaikan masalah, berkolaborasi dan berkepimpinan yang juga merupakan asas kepada pendidikan Abad ke-21 (PAK21). Saya akan meneruskan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri dalam tajuk-tajuk Sains yang sesuai kerana amalan ini perlu dilakukan secara berkekalan untuk mendapatkan kesan yang baik. Murid-murid perlu diberi peluang untuk meneroka sendiri sesuatu konsep sains melalui aktiviti untuk meningkatkan kemahiran insaniah.

Ditulis oleh Chin Suk Mei

Cikgu Chin Suk Mei merupakan seorang guru di SJK Chung Hua Buso. Mula berkhidmat sejak 2004, beliau telah berkhidmat sebagai seorang guru sains untuk 18 tahun.

Leave a comment