Pengenalan
Pendidik atau guru muslim mampu melahirkan pelajar yang baik tingkah laku dan berilmu. Seorang guru Pendidikan Islam dilihat bukan sahaja menyampaikan ilmu dan menjawat pekerjaan, tetapi tugasnya adalah mendidik, membimbing dan memimpin pelajar untuk menjadi seorang muslim yang syumul serta mampu menghadapi cabaran dan arus kemodenan dan globalisasi (Nordin,2002). Hal ini jelas menunjukkan guru Pendidikan Islam adalah pemimpin kepada muridnya dan wujud elemen-elemen baik dari seseorang guru itu akan dicontohi oleh muridnya. Firman Allah Taala:
يَرفَعِ اللّهِ الَّذِينَ أَمَنُوا مِنكُم والَّذين أوتوالعِلمَ دَرَجَاتِ واللّهُ بِمَا تَعمَلوٌنَ خَبِيرٌ
Surah Al Mujadilah Ayat (11)
Maksudnya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan
Para guru merupakan agen moral dan role model kepada murid-muridnya perlu mempamerkan akhlak yang mulia kepada muridnya (Suhid,2007). Kajian mengenai penampilan dan personaliti guru Pendidikan Islam oleh Tamuri, Yusop, Othman, Awaluddin, Abdul Halim dan Abd Razak (2004), menjelaskan bahawa ramai guru termasuk guru Pendidikan Islam masih tidak mampu menjadikan dirinya sebagai role model terbaik kepada pelajarnya. Sejajar dengan itu, Tamuri (2004) menjelaskan bahawa krisis akhlak pelajar pada hari ini ada kaitannya dengan personaliti guru kerana membawa pengaruh terhadap pembentukan peribadi pelajar.

MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM TERHADAP PENDIDIKAN AKHLAK
Hala tuju dan matlamat dalam Pendidikan Islam adalah untuk membentuk personaliti muslim yang mencakupi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sahsiah. Dalam membina ekologi kehidupan yang syumul dalam keluarga, ibu bapa adalah adalah golongan terpenting dalam memberi pendidikan dan pembentukan ahhlak anak-anaknya. Proses pendidikan secara berterusan ini telah digambarkan secara jelas melalui Falsafah Pendidikan Islam (FPI). Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran, dan penghayatan berdasarkan al Quran dan as-Sunnah, bagi membentuk sikap, kemahiran , keperibadian dan pegangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar, negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat.
Matlamat FPI ini jelas untuk melahirkan individu yang soleh iaitu beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa FPI mempunyai matlamat untuk membentuk pelajar dengan akhlak mula sesuai dengan tuntutan Firman Allah SWT yang bermaksud:
”Dan sesungguhnya , kamu (Muhammad SAW) bebar-benar memiliki akhlak yang agung”.
(Al -Qur’an 68:4)
Ini menunjukkan bahawa proses pembentukan akhlak generasi muda hari ini dan generasi masa hadapan terpikul atas bahu pendidik khususnya guru-guru Pendidikan Islam. Walau bagaimanapun, isu-isu mengenai salah laku murid dapat di atasi dengan adanya personaliti guru yang baik berperanan membentuk pelajar dan sahsiah diri yang baik.
CIRI-CIRI PERSONALITI GURU PENDIDIKAN ISLAM
Guru merupakan agen perubahan yang besar dalam pembentukan diri seseorang pelajar dan pelajar merupakan pemimpin masa hadapan.
“Yang paling hebat dari seorang guru adalah Mendidik dan rekreasi yang paling indah adalah mengajar. Ketika melihat murid-murid yang menjengkelkan dan melelahkan,terkadang hati teruji kesabarannya, namun hadirkanlah gambaran bahawa di antara satu dari mereka kelak akan menarik tangan kita menuju syurga.”
KH. Maimun Zubair
Ciri-ciri murni peribadi yang harus diterapkan dalam diri seseorang guru boleh dibahagikan kepada tiga aspek iaitu sifat peribadi, tingkah laku, dan contoh teladan serta sifat kualiti profesional.
Sifat Peribadi
Seseorang guru yang baik seharusnya mempunyai sifat peribadi yang baik. Antara sifat-sifat peribadi yang baik ialah baik hati, jenaka, sabar, yakin, dan bertanggungjawab.
Jenaka .
Sifat jenaka seseorang guru akan membawa keriangan dalam kelas dan akan lebih suka didekati oleh muridnya. Murid-murid lebih suka suasana yang ceria dan mendamaikan. Suasana marah dan hening tidak disukai oleh murid-murid. Apabila suasana yang menceriakan masuk ke dalam kelas, maka rezeki ilmu mudah masuk ke dalam pemikiran anak-anak . Seseorang guru yang mempunyai sifat ini akan selalu membawa unsur kelucuan dan akan membuatkan sesuatu pembelajaran menjadi lebih menarik dan tidak bosan.
Yakin
Seseorang guru yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat membantu seorang guru untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. (Self confidence)atau keyakinan diri bagi seseorang guru adalah memainkan peranan penting dalam sebarang tindakan dalam aktiviti Pdpc di sekolah. Kebanyakan masalah disiplin yang timbul di bilik darjah adalah disebabkan kurang yakin guru sendiri. Guru yang mempunyai sifat yakin tidak akan merasa takut apabila perlu membuat sesuatu keputusan.

Sabar
Seseorang guru yang mempunyai sifat sabar adalah guru yang boleh mengawal emosi guru. Apabila guru yang bersifat ini , beliau tidak akan mudah marah atau geram dalam apa situasi pun. Kesabaran dapat mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku. Perlu diingatkan juga jantung guru- guru juga perlu dijaga untuk kawalan emosi ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlansung.
Kepimpinan
Guru merupakan pemimpin kepada murid. Guru haruslah menunjukkan contoh sebagai leader (pemimpin) yang menjadi ikutan atau sifat ini diwarisi supaya murid-muridnya mematuhi segala tunjuk ajar dan arahan guru. Dengan adanya sifat kepimpinan ini , segala pembelajaran akan berjalan dengan efektif dan berkesan.
Tingkah laku dan contoh teladan
Tingkah laku guru adalah contoh teladan yang baik kepada murid-murid. Oleh itu, guru-guru haruslah mempunyai sifat yang terpuji yang boleh menjadi teladan kepada murid-murid. Antara tingkah laku guru yang boleh menjadi teladan muridnya ialah berpakaian kemas, menepati masa, bersopan santun, dan mempunyai sifat positif. Murid begitu mudah tertarik dengan tingkah laku dan contoh yang baik daripada guru. Guru ini umpama lilin bagi murid-murid. Aura yang baik dari guru, kadang-kadang kata-kata guru lagi mempengaruhi sifat anak murid.
Berpakaian kemas
Segala perlakuan seseorang guru akan diperhatikan oleh muridnya. Murid-murid amat suka kepada penampilan guru apabila memasuki kelas. Oleh itu, guru haruslah sentiasa berpakaian kemas. Dengan erti kata lain, seorang guru haruslah berpakaian seperti seorang guru, berjalan dan bertutur seperti seorang guru. Kadang-kadang apabila seseorang guru datang ke mana-mana premis, orang lain lebih mengenali guru walaupun tiada tanda nama dipamerkan.
Menepati masa
Budaya dan amalan menepati masa adalah budaya mulia. Masa itu lebih berharga dari emas. Jika seseorang guru sentiasa menepati masa untuk memasuki ke kelas, murid akan berasa senang hati kerana guru tersebut merupakan seorang guru yang tidak membazirkan masa. Dengan ini, murid akan mencontohi teladan guru tersebut dan dapatlah memupuk nilai yang baik dalam kalangan murid.
Bersopan santun
Seseorang guru yang bersopan santun dapat mengeratkan hubungannya dengan murid. Ini kerana murid akan suka mendampingi mereka kerana sifat mereka yang peramah. Tiada jurang antara murid dengan guru akan menyebabkan proses pengajaran dijalankan dengan berkesan.
Ditulis oleh Ustaz Quszaini bin Abd Manan

Nama yang diberi Quszaini bin Abd Manan. Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara
Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah,
Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.