Keluarga Bahagia Melalui Integrasi Nasional

Islam adalah agama yang mengatur segala isi kehidupan dan sentiasa menganjurkan umatnya untuk menjalin hubungan baik dengan sesama manusia.  Dalam kehidupan, seorang manusia tidak boleh hidup sendiri dan tentunya ia memiliki keluarga meskipun tidak utuh. Keluarga ini umpama lembaga terkecil dalam masyarakat dimana seseorang tumbuh dan mendapatkan didikan dari orang tuanya agar sentiasa menjalankan kehidupannya bermasyarakat.

Firman Allah dalam Surah Ar Ruum : 21 Maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Ar Ruum:21)

Dari ayat tersebut kita dapati bahawa sebuah keluarga mempunyai peranan dan nilai tersendiri.

Di  Malaysia, rakyat hidup berbilang kaum budaya dan agama. Kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan kaum utama dan akan disambut sebagai perayaan peringkat nasional iaitu sambutan Hari Raya Aidilfitri, Perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, Deepavali, Hari Gawai, dan Hari Keamatan.

Pada setiap perayaan, tradisi mengadakan rumah terbuka telah menjadi keistimewaan Malaysia yang menggambarkan semangat perpaduan sudah dipupuk kukuh dalam kalangan masyarakat.

Melalui tradisi ini, pelbagai kaum kunjung mengunjungi bagi bersama-sama memeriahkan perayaan dan berkongsi kegembiraan. Apabila menghadirkan diri ke rumah terbuka sesuatu kaum, kita dapat memahami budaya mereka dan merasai makanan tradisional yang membangkitkan selera masing-masing.

Sebagai bukti pelancaran konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia, pada 8 Oktober 2021, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia berlandaskan nilai sedia ada yang dimiliki dalam setiap keluarga.

Katanya, semua nilai Keluarga Malaysia berpaksikan kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub dalam Rukun Negara. Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang nilai-nilai Keluarga Malaysia.

Dalam Islam , Institusi kekeluarga dan perpaduan ummah memainkan peranan penting untuk menjana insan yang kamil atau sempurna. Manakala rujukan utama bagi umat Islam adalah Al Quran. Al Quran adalah sesuai di semua zaman dan lapangan serta menyeluruh. Manakala Al Hadis adalah sumber kedua umat Islam. Al Hadis memperincikan lagi setiap hukum hakam bagi memudahkan umat Islam untuk memahami dan meneliti dengan jelas.

Al Quran merupakan Kalam Allah SWT dan sebuah kitab suci umat Islam yang wajib diimani tanpa sebarang keraguan dan perlu dipelihara dengan sebaiknya.

Al Quran menegaskan bahawa betapa eratnya hubungan sesama manusia yang berkonsepkan sebuah keluarga besar. Manusia menjalinkan hubungan ukhuwwah dan silaturrahim kenal mengenali dan tolong menolong dalam perkara yang baik dengan semua pihak. Ini berdasarkan oleh Firman Allah SWT:

يا أيها الناس التّقوا ربّكم الذّي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها وبثّ منهما رجالا ونساء واتّقوا الله الذي تساءلون به والأرحام إنّالله كان عليكم رقيباً

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu ( Adam AS), dan daripada (Adam) itu Allah menciptakan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang mengembang biakkan daripada kedua-dua zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta(peliharalah) hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah An Nisa:1)

Ayat di atas menjelaskan bahawa manusia datang dari satu keluarga yang beribu bapakan Nabi Adam AS dan Hawa AS. Walaupun sudah menjadi masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agam dan budaya, namun, mereka diwajibkan bersilaturrahim antara satu sama lain.

Asas bagi hubungan kekeluargaan ini adalah taqwa.Ia adalah memelihara sempadan ketetapan Allah SWT yang akan memerhati dan melakukan muhasabah pada hari akhirat kelak.

Dalam skop Malaysia, tanpa dinafikan bahawa kaum melayu Islam dan bumiputera adalah penduduk asal negara ini dan mereka mengintegrasikan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Kepelbagaian yang terbentuk mengikut acuan penjajah yang membawa masuk rakyat dari tanah jajahan mereka, lalu dikumpulkan di negara ini.

Semua bangsa dan kaum bersama-sama menentang penjajah dengan ideologi dan fahaman yang berbeza. Tetapi berkongsi hala tuju yang sama iaitu mahu mencapai kemerdekaan dari cengkaman penjajah yang zalim. Ini acuan bentuk masyarakat majmuk yang telah bertapak di negara ini pada asalnya.

Di Malaysia, pendidikan tetap agenda utama keluarga Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail berkata, penekanan kepada aspek pendidikan termasuk pendidikan tinggi juga perlu menjadi keutamaan selari dengan nilai Keluarga Malaysia iaitu menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga. Beliau berkata, selain menyediakan fasiliti pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti, kerajaan juga sedaya upaya memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan lebih selesa.

Selain itu juga, pendidikan merupakan agenda yang penting bagi mengubah sesuatu keluarga, kaum dan individu. Sejak dari merdeka, kerajaan Malaysia telah menjadikan pendidikan sebagai agenda utama. Walaupun kerajaan bertukar-tukar, tetapi kerajaan tetap menjadi agenda utama.

Kesimpulannya, negara Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan mempunyai nilai dan keistimewaan tersendiri yang perlu dirai serta dihormati. Kita semua mesti menghormati agama dan budaya masing-masing. Ibu bapa juga mesti menjadi teladan kepada anak-anak mereka dengan sentiasa bergaul mesra dengan sekeliling yang berbilang kaum. Integrasi perpaduan ini penting untuk mengenali budaya masing-masing di Malaysia.

Leave a comment