Kaedah mudah tanggani keciciran murid Orang Asli

PENGENALAN

Keciciran adalah isu utama dalam pendidikan selepas era pandemik COVID-19 melanda negara. Semangat murid perlu dipulih dan mempunyai potensi untuk ke hadapan demi menjamin negara dan bangsa yang berdaya saing. Masalah keciciran murid ini perlu di atasi dengan segera sebelum ia membantutkan sesebuah komuniti.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada keciciran murid. Antara faktor-faktor yang telah dikenalpasti ialah status sosio-ekonomi keluarga, personaliti pelajar, dan faktor luaran seperti budaya dan persekitara, pengaruh rakan sebaya serta cara pengajaran guru.

Oleh itu langkah-langkah drastik perlu diambil oleh semua pihak terutamanya guru, sekolah, kementerian mahupun kerajaan dalam menangani masalah ini.

KAEDAH ATASI MASALAH ISU KECICIRAN

Pertingkatkan Kesedaran ibu bapa

Kerajaan dan sekolah perlu memberikan pendedahan kepada ibu bapa tentang keperluan pendidikan. Ibu bapa seharusnya memberi dorongan dan galakan kepada anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah. Selain itu, ibu bapa hendaklah terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Misalnya, pihak sekolah boleh melibatkan ibu bapa melalui Hari Permuafakatan Ibu Bapa, sukan sekolah, gotong royong dan sebagainya.

Tambahan pula, pihak sekolah boleh menganjurkan aktiviti ziarah cakna ke kampung orang asli atau ke rumah murid bagi mengurangkan masalah keciciran murid. Secara tidak langsung, guru-guru dapat mengenali keluarga dan masalah murid tersebut. Inisiatif ini adalah bertujuan untuk meningkatkan enrolmen murid di sekolah di semua peringkat dan menangani isu keciciran. Inisiatif ini seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang mana ingin mengurangkan isu keciciran dalam kalangan murid dan penglibatan aktif sekolah dalam komuniti.

PELBAGAIKAN CARA PENGAJARAN GURU

Ungkapan yang biasa kita dengar – “cara dan kaedah bagi setiap guru adalah berbeza.” Secara peribadi, ungkapan ini adalah tepat dan betul. Secara totalnya, niat dan tujuan seseorang itu mengajar adalah untuk murid mendapat sesuatu yang baik dan dapat diajarkan kepada orang lain.

Guru perlu menggunakan banyak pendekatan dan kaedah untuk menarik minat pelajar dalam menguasai pelajaran yang diajar. Guru yang berfikiran positif boleh menyediakan peluang pembelajaran dengan mempertimbangkan gaya pembelajaran.

Guru juga boleh cuba kuasai bahasa murid orang asli. Ia secara tidak langsung memberi keseronokan kepada murid tersebut. Gelagat dan ketawa girang mereka akan menyebabkan minat untuk ke sekolah dan sifat belajar itu mula timbul.

Misalnya dalam kajian Nik Nur Azizah et al. (2018), ia telah dinyatakan bahawa bagi masyarakat orang Asli, mendapatkan pendidikan formal adalah bukan budaya mereka. Oleh itu, guru perlu menggunakan pendekatan berbeza dan juga kaedah yang kreatif untuk menarik minat masyarakat Orang Asli untuk belajar.

TINGKATKAN MINAT PELAJAR DAN MOTIVASI

Dalam mengatasi masalah keciciran pendidikan akibat daripada faktor pelajar itu sendiri – guru, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), dan sekolah memainkan peranan yang amat penting.

Sebagai contoh, sekolah berperanan untuk mengadakan kempen-kempen motivasi, dan bengkel teknik menjawab soalan untuk subjek tertentu. Menurut Nuradibah dan Hazlina (2016), pelajar yang termotivasi biasanya memiliki dorongan yang kuat untuk tetap tertarik dengan apa yang disampaikan termasuklah impian untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Motivasi juga muncul dari dorongan atau kecenderungan individu bertindak untuk mencapai sesuatu, bahkan untuk jangka waktu yang lama.

Insentif dalam pengajaran dan pembelajaran juga boleh disampaikan seperti wang pujian, penghargaan, dan sebagainya yang boleh menarik minat murid untuk datang ke sekolah dan belajar dengan sebaiknya.

Ditulis oleh Ustaz Quszaini bin Abd Manan

Nama yang diberi Quszaini bin Abd Manan. Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.

Leave a comment