Pembelajaran seni bahasa di sekolah merupakan proses bagi seseorang murid untuk memahami, melaksanakan secara lisan mahupun bertulis, menghargai nilai keindahan bahasa serta diterapkan secara didik hibur agar dapat menarik minat murid untuk belajar (DSKP Bahasa Melayu Tahun 6 KSSR Semakan, 2021). Aspek seni bahasa boleh dilaksanakan melalui pelbagai cara iaitu lakonan, nyanyian, main peranan dan berpuisi. Pembelajaran seni bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu seharusnya memiliki beberapa ciri-ciri yang unik dan tersendiri. Antaranya boleh dilaksanakan mengikut kreativiti masing-masing, melibatkan kemahiran bahasa, bebas, diterapkan melalui didik hibur dan menimbulkan keseronokan. Melalui impak pembelajaran seni bahasa, beberapa perkara harus dilihat bagi membentuk pembelajaran yang bermakna kepada murid-murid.
Antaranya, pembelajaran seni bahasa dapat mengukuhkan kemahiran bahasa dalam kalangan murid. Sudah semestinya kemahiran bahasa yang meliputi kemahiran mendengar bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran-kemahiran tersebut perlu diperkukuh melalui aktiviti seni bahasa. Murid-murid akan lebih mudah mempelajari sesuatu melalui nyanyian yang didengarinya dan mereka akan turut menyanyikan bersama-sama. Secara tidak langsung, mereka dapat mengungkap dan membaca semula baris-baris lirik lagu tersebut berulang kali secara didik hibur. Menurut Ramlah, Nor Afni & Siti Fathimah (2016) menyatakan bahawa nyanyian, bercerita dan main peranan yang dilaksanakan secara didik hibur mampu meningkatkan penguasaan kemahiran literasi murid. Kenyataan ini disokong oleh Norlela dan Shamsudin (2020) menyatakan bahawa pembelajaran seseorang murid dapat ditingkatkan secara optimum dan mengembangkan potensi mereka apabila guru melaksanakan kaedah didik hibur dalam kemahiran membaca.

Selain itu, pembelajaran seni bahasa turut mewujudkan keseronokan kepada murid-murid. Hal ini kerana mereka dapat melaksanakan aktiviti pembelajaran seni bahasa secara santai bersama-sama rakan. Secara tidak langsung, ia dapat menarik minat murid untuk belajar serta mewujudkan pembelajaran aktif di dalam bilik darjah. Menurut Amal dan Wan Muna (2022), penyertaan murid meningkat dalam pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melalui aktiviti nyanyian yang merupakan elemen seni bahasa. Perkara ini amat membantu murid-murid merasai sendiri pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang berunsurkan seni bahasa. Situasi ini menjadikan PdPc guru tidak bosan dan sebagai platform hiburan secara ilmiah. Oleh itu, guru dapat menerapkan nilai mahupun pengajaran yang bersesuaian dengan seni bahasa yang dilaksanakan di dalam bilik darjah.
Di samping itu, apresiasi bahasa melalui seni bahasa turut memberi peluang kepada murid-murid untuk meneroka penghayatan keindahan bahasa. Perkara ini mendorong kepada mereka untuk mencurahkan idea dengan mengaplikasikan pengetahuan sedia ada yang dimilikinya untuk diterjemahkan kepada idea yang lebih baharu. Menurut Shamsudin dan Abdul Rasid (2013) menyatakan bahawa pembelajaran seni bahasa ini adalah untuk menimbulkan kesedaran kepada murid di sekolah rendah dalam apresiasi bahasa dan sastera. Pendekatan konstruktivisme inilah yang dapat menggalakkan bantuan oleh rakan-rakan yang lebih mahir (scaffolding) kepada murid yang kurang mahir untuk mempelajari seni bahasa. Misalnya, pembelajaran puisi seperti pantun memerlukan daya fikir yang tinggi untuk murid menyampaikan mesej kepada orang lain kerana mempunyai baris pembayang dan makna. Oleh itu, murid-murid dapat menghargai karya seni bahasa yang diungkapkan sama ada daripada diri sendiri mahupun rakan-rakan yang lain.

Akhir sekali, aktiviti seni bahasa mencungkil bakat murid yang kreatif melalui aktiviti yang dilaksanakan dalam pembelajaran seni bahasa. Perkara ini menggalakkan murid-murid untuk bersedia bagi melaksanakan persembahan seperti lakonan mahupun nyanyian secara kreatif dan kritis. Menurut Amir, Fadzilah & Azrul dalam kajiannya “Analisis Keperluan Pembinaan Modul Produksi Teater (PT) Murid KMK: Satu Kajian Kes” menyatakan bahawa melalui aktiviti nyanyian dan lakonan dapat mencungkil kreativiti murid. Pastinya murid-murid dapat mengaplikasikan, menilai dan mensistesis karya seni bahasa yang dijadikan sebagai platform ke arah pembentukan bakat. Perkara ini dapat membentuk jati diri murid yang unggul, berketerampilan dan berkeyakinan dalam melaksanakan sesuatu. Impaknya, kemenjadian murid dapat direalisasikan kerana mampu mengembangkat bakat dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) seiring dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ke peringkat yang lebih tertinggi.

Ditulis oleh Cikgu Muhammad Affan bin Ahamad

Beliau merupakan guru Bahasa Melayu yang merupakan anak tempatan Kampung Sungai Kerawai, Teluk Intan yang bertugas di SK. Sungai Jejawi, Teluk Intan, Perak. Beliau berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Perguruan Bahasa Melayu dari IPG Kampus Tuanku Bainun dan Ijazah Sarjana Pendidikan (Pendidikan Sekolah Rendah) dari UPSI. Beliau telah menerima banyak anugerah di pelbagai peringkat. Pada tahun 2021 beliau telah menerima Anugerah Guru Inovatif Sekolah Rendah sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Hilir Perak dan mendapat Naib Johan dalam Pertandingan Lomba Cerdas Cermat Pantun Kategori Guru Peringkat Antarabangsa anjuran Sekolah Indonesia Kuala Lumpur (SIKL) & Kedutaan Besar Republik Indonesia. Pada tahun 2022 beliau telah mendapat Johan Anugerah Guru Cemerlang Hebat Bahasa sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak dan di peringkat daerah Hilir Perak. Banyak kejayaan yang diraih dalam pertandingan inovasi yang disertainya di pelbagai peringkat hingga di peringkat antarabangsa dan mendapat anugerah perak dan emas. Beliau turut aktif sebagai penceramah dan pembentang kajian di pelbagai peringkat.