Ulasan Manifesto Pilihan Raya Umum ke-15: Aspek Pendidikan (Peringkat Sekolah)

Pengenalan

Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke-15 semakin hampir. Secara lazimnya ketika pilihan raya, munculnya manifesto gabungan yang bertanding yang pada dasarnya merupakan pelan tindakan mereka untuk negara sebaik sahaja mereka membentuk kerajaan. Pendidikan akan sentiasa menjadi salah satu aspek yang mendapat perhatian pengundi, justeru gabungan-gabungan yang bertanding pasti akan merangka perancangan tentang visi yang mereka ada untuk sistem pendidikan negara. Artikel ini adalah ulasan mengenai manifesto Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Pakatan Harapan (PH) untuk sistem pendidikan negara. Walaupun mungkin terdapat manifesto daripada gabungan lain di luar sana, tumpuan harus diberikan kepada gabungan yang akan memegang kuasa pentadbiran di peringkat persekutuan kerana sistem pendidikan di Malaysia adalah berpusat.

1. Penyelenggaraan Sekolah:

PN – Penyelenggaraan sekolah secara umum, membaiki sekolah daif

PH – Menaiktaraf sekolah daif

BN – Tidak dinyatakan

Sekolah yang kondusif adalah penting untuk keselesaan pelajar. Janji yang dinyatakan di sini bukanlah sesuatu yang baru tetapi ianya sentiasa menjadi salah sebuah keperluan di dalam aspek pembangunan pendidikan. BN tidak menyebut secara khusus mengenai penyelenggaraan sekolah tetapi berdasarkan peningkatan jumlah bangunan sekolah dan bagaimana mereka membiayai sekolah untuk penyelenggaraan selama mereka memegang pentadbiran negara, kemungkinan mereka tidak melihat keperluan untuk menyatakannya secara terperinci di dalam manifesto.

2. Faedah secara langsung kepada pelajar:

PH – sarapan percuma

PN – peranti digital, perkhidmatan bas sekolah percuma untuk pelajar miskin

BN – Komputer riba percuma kepada pelajar B40

Fokus PH terhadap sarapan pagi percuma untuk pelajar sekolah rendah adalah manifestasi kepada kata pepatah ‘Students need to Maslow before they can Bloom’, yang bermaksud kesejahteraan fizikal pelajar perlu diutamakan sebelum mereka boleh mula belajar sepanjang hari kerana penggunaan kognitif adalah diperlukan untuk menyerap apa yang dipelajari di dalam kelas.

Kedua-dua PN dan BN menawarkan gajet elektronik, yang merupakan alat penting untuk pembelajaran pelajar, terutamanya dalam era IoT (internet of things) dan pembelajaran digital ini. Namun, dengan adanya komputer riba percuma, ia harus selaras dengan liputan internet yang lebih menyeluruh. Oleh itu, adalah diharapkan liputan internet yang pantas tersedia di sekolah atau di rumah masing-masing agar mereka dapat memaksimumkan penggunaan komputer riba dengan sepenuhnya. Jika tidak, kes seperti Veveonah Mosibin akan masih berlaku. 

Janji PN berkenaan dengan penyediaan bas percuma untuk pelajar berstatus sosioekonomi rendah memberi kemudahan kepada ibu bapa yang tidak mempunyai kenderaan atau masa untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Ia juga lebih selamat untuk pelajar kerana ada yang telah biasa berjalan kaki (tidak kira sama ada sekolah mereka dekat atau jauh dari rumah mereka) atau menggunakan pengangkutan awam ke sekolah. Keadaan ini agak berisiko untuk mereka – seperti risiko penculikan semasa mereka berjalan kaki ke sekolah.

3. Bantuan kepada sekolah berlainan jenis:

PH – Peruntukan secara adil (termasuk sekolah berasrama penuh)

PN – Bantuan pendidikan secara sistematik kepada sekolah agama, Cina dan Ttamil

BN – Tidak dinyatakan

Tawaran PH adalah lebih inklusif kerana peruntukan dana meliputi pelbagai jenis sistem persekolahan. Bagi PN pula, mereka berjanji untuk memberi bantuan kepada sekolah agama, Cina, dan Tamil tetapi bantuan yang spesifik tidak dinyatakan. Tawaran PN tidak termasuk sekolah berasrama penuh atau MRSM. Hal ini agak menarik kerana PN tidak menyebut SBP dan MRSM, sedangkan usaha PH untuk menjadi lebih inklusif menunjukkan bahawa PH cuba mendekati semua kelompok masyarakat. Secara tidak langsung, ini menyatakan bahawa demografi yang disasarkan PN ialah kumpulan B40. Walaupun terdapat perbezaan, kedua-dua manifesto telah memikirkan untuk memberikan bantuan kepada pendidikan tanpa mengira kaum dan agama. Anehnya, BN tidak menyebut dengan terperinci peruntukan dana dalam manifesto. Berdasarkan Belanjawan Negara sebelum ini, bajet untuk sekolah-sekolah mengutamakan SBP dan MRSM. Jadi, adakah ini masih diteruskan? Dan satu lagi pertanyaan yang timbul ialah apakah maksud PH apabila mereka menyatakan peruntukan secara adil? Adakah ia bermaksud semua sekolah akan dapat dana yang sama? 

4. Faedah secara langsung kepada guru:

PH – mengurangkan beban kerja guru, elaun untuk menyokong guru-guru yang akan melaksanakan pelan pemulihan yang sesuai untuk kanak-kanak,

PN- internet berkelajuan tinggi di dalam bilik guru untuk setiap sekolah, komputer riba untuk guru, menambah bilangan pembantu pengurusan murid di sekolah padat

BN – mengangkat profesion keguruan sebagai profesion pilihan dan berprestij tinggi dengan memperkenalkan skim khas kepada bakat terbaik dan menambah lagi 10% guru pakar

Tawaran PH untuk mengurangkan beban tugas guru adalah impian setiap guru di Malaysia kerana naratif biasa di kalangan guru adalah tugas pentadbiran yang berlebihan yang perlu mereka lakukan, yang seterusnya mengakibatkan mereka mengorbankan masa untuk merancang pengajaran yang lebih berkualiti. Tawaran PH untuk mewujudkan pembantu guru bukan sahaja mengurangkan beban tugas guru tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan untuk lebih ramai orang di luar sana. Elaun yang diberikan kepada guru untuk menangani kehilangan pembelajaran juga merupakan aspek penting kerana guru mungkin perlu membeli lebih banyak bahan pengajaran dan lebih banyak masa dihabiskan di dalam bilik darjah untuk mengurangkan kesan kehilangan pembelajaran akibat pandemik. PH menunjukkan sedikit kreativiti di sini, kerana malangnya mengurangkan jejak kertas dan tugas pentadbiran adalah isu yang diperkatakan selama beberapa dekad.

Tawaran PN untuk mewujudkan internet berkelajuan tinggi di dalam bilik guru adalah tawaran yang menarik kerana sesetengah guru di sekolah membeli wifi mereka sendiri dan berkongsi dengan guru. Walau bagaimanapun, kelajuan internet wifi mungkin tidak memuaskan di sesetengah kawasan. Dengan segala tugas pentadbiran melalui portal dalam talian yang perlu diakses oleh guru pada masa kini, serta mencari bahan dalam talian, internet berkelajuan tinggi sudah tentu menjadi satu keperluan. Jika internet berkelajuan tinggi hendak disediakan di setiap sekolah di Malaysia, maka sekolah yang paling terpencil dan luar bandar tidak boleh diabaikan. Di samping itu, komputer riba untuk guru terdengar seperti satu janji yang baik tetapi guru mungkin ragu-ragu dengan jenis spesifikasi yang mungkin ada pada komputer riba tersebut.

Tawaran BN menggalakkan guru mempunyai bercita-cita tinggi dalam kerjaya mereka sebagai guru, namun penjelasan lebih lanjut diperlukan tentang bagaimana ‘bakat terbaik’ akan dinilai. Adakah ia sama dengan penilaian ‘guru cemerlang’? Atau adakah ini akan menjadi pelengkap kepada ‘guru cemerlang’? Walaupun manisfesto BN menyatakan hasrat untuk memartabatkan profession perguruan, ia sedang giat dilakukan oleh kementerian melalui program seperti Edufluencers oleh PADU. Selain itu, dengan hanya memilih pelajar lepasan SPM yang ‘cream of the crop’ untuk didaftarkan di institusi latihan perguruan adalah satu lagi mekanisme untuk memartabatkan profesion. Walau bagaimanapun, aspek utama untuk memartabatkan bidang perguruan ialah dengan memberikan autonomi kepada guru. Namun demikian, autonomi seorang guru semakin lama semakin terhakis. Jadi, manifesto BN untuk memartabatkan bidang perguruan harus dinyatakan dengan lebih terperinci.

Pendidikan Khas:

PH – latihan guru, menyediakan infrastruktur untuk kelas, dan menambah bilangan kelas, peruntukan khas untuk Pendidikan OKU akan disediakan.

PN – Meningkatkan kapasiti dan kepakaran Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan, intervensi, pemulihan dan perundingan kepada kanak-kanak seluruh negara, termasuk kanak-kanak autisme.

BN – Tidak dinyatakan

Kedua-dua PH dan PN memberi perhatian kepada pendidikan berkeperluan khas, manakala BN tidak menyatakan aspek ini di dalam manifesto mereka. Sekali lagi, ini mungkin kerana BN telah berkuasa selama beberapa dekad yang memungkinkan mereka berasa tidak ada keperluan untuk mereka menyatakan aspek ini secara terperinci. Kedua-dua PH dan PN sekali lagi menunjukkan keterangkuman dalam manifesto mereka dan telah mengambil kira akan aspek pendidikan berkeperluan khas. Seorang pendidik berkeperluan khas pastinya akan tertarik dengan janji PH dan PN, dan apabila BN sama sekali tidak menyebutkan aspek ini di dalam manifesto mereka, ia menunjukkan bahawa BN mungkin terlepas pandang akan kepentingan pendidikan berkeperluan khas.

Pemeliharaan Bahasa Etnik

PH – Fokus kepada latihan guru

PN – Tidak dinyatakan

BN – Membenarkan penggunaan bahasa etnik di Pusat Pembelajaran Komuniti di Sabah & Sarawak, bahasa komunikasi asas untuk bahasa etnik di peringkat sekolah

Tawaran PH menyasarkan elemen penting untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa etnik, serta menggiatkan semula dan memelihara bahasa tersebut iaitu melalui latihan guru. Walaupun latihan guru untuk bahasa etnik telah pun dimulakan semasa pemerintahan BN, penekanan PH terhadap pengambilan lebih ramai guru dan lebih banyak latihan untuk golongan ini adalah satu langkah ke arah yang betul untuk memelihara dan memulihara bahasa itu pada kadar yang lebih cepat. Tanpa latihan guru yang betul dan tenaga pengajar yang cukup, pembelajaran bahasa etnik di dalam kelas bukan sahaja akan menjadi tidak berkualiti malah kadar pemulihan bahasa etnik tertentu akan menjadi lebih perlahan terutamanya bagi bahasa etnik yang dianggap sebagai bahasa terancam seperti Bahasa Kadazandusun di Sabah.

Tawaran BN menyasarkan inisiatif berasaskan komuniti yang berperanan untuk memulihara dan memelihara bahasa etnik di Sabah dan Sarawak. Tidak dapat dinafikan bahawa BN telah memainkan peranan penting dalam pemuliharaan bahasa etnik di Sabah dan Sarawak sejak 1990-an, tetapi tumpuan kepada Pusat Pembelajaran Komuniti adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha yang menyeluruh dalam memelihara bahasa etnik kerana pemeliharaan bahasa etnik bukan sahaja merangkumi domain pendidikan awam tetapi juga di luar domain tersebut. Walau bagaimanapun, sebelum janji ini dinyatakan, sudah wujud beberapa Pusat Pembelajaran Komuniti yang disediakan untuk pemeliharaan bahasa etnik. Cadangan ini sememangnya tidak revolusioner tetapi ia adalah hala tuju yang betul dalam pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa etnik.

Menariknya, BN memfokuskan penggunaan bahasa etnik di Sabah dan Sarawak, yang jelas menunjukkan kepentingan mereka di kedua-dua negeri ini, kerana kedua-dua negeri ini dianggap sebagai kerusi parlimen yang boleh dimenangi bagi mereka. PH pula menyebut secara jelas bahawa bahasa etnik akan diajar di peringkat latihan perguruan, walaupun ini adalah satu langkah ke arah yang betul, persoalan yang timbul ialah – adakah ini sebuah janji manis sahaja? Bagaimanakah latihan mengajar bahasa etnik akan dilaksanakan di institut latihan perguruan, terutamanya institusi yang tidak mempunyai pendidik guru terlatih untuk bahasa etnik?

Kesimpulan

Manifesto ini hanyalah sebuah dokumen dan pelan tindakan untuk memaklumkan para pengundi tentang pendirian gabungan yang bertanding mengenai dasar dan isu tertentu. Sama ada tawaran ini akan dilaksanakan atau tidak kita tidak akan tahu sehingga rakyat dapat merasai manfaat dan menerima perkhidmatan yang disediakan oleh mana-mana gabungan yang akan memerintah untuk 5 tahun akan datang. Ulasan mengenai aspek pendidikan yang telah digariskan dalam ketiga-tiga manifesto ini tidaklah menyeluruh kerana terdapat beberapa perkara yang mungkin tidak disertakan dalam artikel ini. Tetapi mungkin ini akan memberi pembaca sedikit ‘food for thought’ dan bersama-sama meletakkan akauntabiliti kepada kerajaan yang memerintah dalam tempoh 5 tahun yang akan datang.

Apakah pendapat anda tentang manifesto berkenaan dengan janji mereka untuk pendidikan?

Leave a comment