Bakat yang ada oleh seorang guru dalam bidang penulisan terutama sajak, cerpen dan novel mampu membuatkan guru ini berjaya menghasilkan beberapa buah karya untuk dikongsi dengan khalayak pembaca.
Kepuasan lebih jelas terpancar di wajah apabila hasil karya ini mampu ditatap, dipegang dibaca oleh anak murid sendiri.
Guru Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah adalah antara guru Bahasa Melayu yang begitu aktif di Hulu Perak. Selain menjadi hakim tetap bagi setiap Karnival Bahasa Melayu bersama Pejabat Pendidikan Hulu Perak, guru ini juga aktif dalam menghasilkan karya kreatif untuk dihantar ke majalah dan surat khabar.

“Menjadi seorang pendidik membuatkan banyak idea yang saya dapat kumpul berdasarkan pengalaman sebenar. Pengalaman inilah yang saya akan rangka dan jadikan sebuah penulisan. Cerita yang saya buat selama ini memang dekat dengan hati saya sebagai seorang guru.”
Antara karya yang pernah dihasilkan berupa novel yang bertajuk Nasi Lemak Ikan Pekasam, Tasbih Buat Aishah, Sesudah Hujan Teduh, Cikgu Musim Covid-19, Tikar Mengkuang Nenek dan Empangan Kuala Kenering.
Dalam masa yang sama, pernah menghasilkan puluhan antologi sajak dan cerpen bersama penulis di seluruh Malaysia antaranya Murabbi Dalam Hatiku, Coretan Warna Pelangi, Cikgu Bawalah Saya Ke Syurga, Meracik Purnama, Apa Lagi Yang Lebih Membahagiakan, Menjinak Hujan, Impian Naluri, Sahabat Selamanya, Rawa Pertiwi, Cinta Sejati Demi Perpaduan, Menenun Zaman, Kesateria Nusa, Senja kala, Memoir Covid-19, Kopi-losofi dan banyak lagi.
Hasil karya ini akan digunakan untuk program NILAM, di mana cikgu ini akan membawa ke kelas untuk memberi perangsang kepada murid terutama ketika sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan penulisan kreatif. Apabila di pusat sumber, guru ini juga akan memperkenalkan hasil karya kepada murid untuk dibaca serta dicatat di dalam buku NILAM.
Selain itu juga, karya-karya ini akan digunakan oleh murid-murid untuk digunakan ketika program bahasa di sekolah.
“Murid-murid akan memilih hasil karya saya dan membacanya. Seterusnya menjadikan contoh untuk menghasilkan penulisan sendiri. Tidak kurang juga yang mengambil hasil karya saya terutama sajak untuk dibaca di khalayak ramai semasa di perhimpunan atau program Hari Kemerdekaan, Hari Guru dan sebagainya.”

Dunia pendidikan hari ini tidak kurang pelbagai cabarannya. Ini membuatkan karya yang dihasilkan untuk mengajak pembaca memahami jalan cerita yang sangat-sangat memberi kesan ke arah kehidupan yang lebih baik.
“Semoga murid-murid saya ini satu hari nanti akan mengikut jejak saya untuk menjadi seorang penulis dan pencinta sastera sekali gus menjadi seorang karyawan yang hebat.” ujarnya yang turut aktif bersama Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dikongsi oleh Cikgu Safarman Dollah

Ahmad Safarman Dollah, lahir di Kota Bharu Kelantan, mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Sastera (Pengkhususan Bahaa dan Linguistik Melayu) di UPM, Serdang Selangor. Kemudian menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLL) dalam bidang Pengajian Melayu Di IPGM Kampus Perlis. Seterusnya ditempatkan mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaaan (SJKC) Ayer Kala Lenggong, Perak. Selepas itu bertukar sekolah di Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik Perak sehingga kini. Guru subjek Bahasa Melayu dan Sejarah ini sangat aktif di Hulu Perak terutama dalam bidang koakademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bahas, bercerita, pidato, pantun, cerpen, sajak, teater solo dan sebagainya.
Boleh dihubungi melalui laman https://www.facebook.com/Cikgu.ahmad.safarman/