Berasal daripada Parit Buntar, Perak. Cikgu Maslianna merupakan seorang guru Pendidikan Khas yang kini sedang bertugas di Tangkak,Johor.Beliau sudah berkhidmat selama hampir 9 tahun. Perjalanan kerjaya Cikgu Maslianna sebelum bergelar seorang pendidik dalam bidang Pendidikan Khas adalah amat menarik. Setelah selesai pengajiannya selama 5 tahun setengah di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra Kedah dalam opsyen Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, beliau ditempatkan di Johor.Hari pertama beliau mendaftarkan diri ,beliau berasa amat terkejut kerana beliau akan ditempatkan di bawah kouta Pendidikan Khas bukan di bawah kouta opsyen asalnya. Perkara ini berlaku adalah berpunca daripada kesilapan daripada pihak atasan.
Meskipun dilatih sebagai seorang guru PJK, Cikgu Maslianna bersedia menyahut cabaran dan memikul tanggungjawab sebagai seorang guru Pendidikan Khas dengan hati yang terbuka. Pada hari pertama beliau ditempatkan di SK Serom 3, beliau berasa sedikit pelik apabila terdapat seseorang yang berada di dalam kelasnya dan turut memerhatinya ketika beliau mengajar di hadapan kelas. Dengan itu,Cikgu Maslianna berasa ingin tahu dan bertanyakan apakah tujuan beliau berada di dalam kelas tersebut. Dengan pantas, dia menyatakan bahawa dia merupakan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM).PPM ini ditugaskan untuk membantu guru-guru Pendidikan Khas sewaktu pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Itulah kali pertama Cikgu Maslianna sedar bahawa kelasnya turut dibantu oleh PPM. Disinilah perjalanan Cikgu Maslianna sebagai seorang guru Pendidikan Khas bermula.


Apakah yang paling disukai oleh Cikgu Maslianna mengajar murid-murid berkeperluan khas?
Pertama, Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang mengajar saya untuk mengenal mereka dimana mengenal satu anugerah ciptaan Allah yang sangat bernilai. Anak-anak syurga ini mendidik saya untuk lebih peka kepada persekitaran. Sebagai contoh, apabila seorang pelajar menjerit secara tiba-tiba, apakah tindakan saya? Sebagai seorang guru Pendidikan Khas, perkara pertama dan utama adalah saya perlu tenang dalam apa jua keadaan. Setelah itu, memahami mereka seolah-olah saya terjun di dalam dunia mereka, dalam erti kata lain, berada pada aras pemikiran mereka. Contohnya, cara mendekati pelajar sindrom down, saya perlu merendahkan aras pemikiran saya dan masuk dalam watak mereka. Selain itu, pelajar-pelajar pendidikan khas juga mendidik saya untuk memahami apa itu nilai kejujuran. Jawapan yang mereka beri adalah jujur dari hati mereka kerana hati dan jiwa mereka terlalu bersih. Sebagai seorang guru pendidikan khas, apa yang penting untuk saya ialah memastikan bahawa akhlak dan perangai murid-murid berkeperluan khas menjadi lebih baik. Membentuk insan agar boleh berdikari sendiri tanpa mengharapkan orang lain merupakan satu seni dalam kehidupan kerana murid-murid berkeperluan khas ini juga akan berdiri di atas kakinya sendiri kelak.Cikgu Maslianna menggunakan pendekatan mengajar erti hidup kepada murid-murid berkeperluan khas ini dalam setiap kali pengajarannya. Dengan itu, mereka jelas apa tujuan mereka belajar.Â


Apakah Cikgu Maslianna harap untuk menyumbang kepada bidang Pendidikan Khas?
Pertama sekali, apabila saya terjun dalam bidang ini, pelbagai persoalan yang bermain di fikiran saya, namun setelah saya menerima pendapat daripada beberapa kenalan rapat dan kata-kata semangat daripada individu-individu yang terdekat, saya percaya dan yakin keberadaan saya dalam bidang ini bukanlah secara sia-sia dan saya yakin bahawa Allah lebih mengetahui kekuatan saya dalam membantu murid-murid berkeperluan khas secara khususnya. Dengan itu, saya sentiasa membetulkan niat saya setiap kali melangkah ke sekolah. Sejujurnya, saya juga pernah didatangi persoalan daripada segelintir masyarakat yang mempersoalkan kepada saya, apakah fungsi anak-anak MBK ini bersekolah dan adakah mereka dapat menyumbang kepada negara?
Harapan pertama saya kepada murid-murid berkeperluan khas ini ialah mereka mampu berdikari tanpa membebankan orang lain. Sebagai seorang guru, saya sentiasa menekankan kepada pelajar-pelajar saya bahawa mereka juga boleh, mereka juga ada kekuatan namun mereka juga perlu berusaha. Dengan itu, adalah amat penting untuk mengetengahkan bakat-bakat pelajar-pelajar pendidikan khas ini supaya mereka sedar bahawa mereka juga aset penting dalam masyarakat. Kekuatan yang Tuhan berikan kepada semua individu adalah tidak sama dan mereka juga tidak terlepas dari itu. Namun,menjelaskan kekuatan yang mereka ada adalah tugas Cikgu Maslianna dan semua guru-guru Pendidikan Khas. Dengan itu, menjadi tanggungjawab seorang guru itu untuk mempelbagaikan teknik,strategi,pendekatan buat murid-murid berkeperluan khas ini.
Seterusnya, harapan kedua saya ialah saya berupaya menjadi sumber motivasi kepada murid-murid Pendidikan Khas ini. Menjadi pencetus aspirasi kepada pelajar-pelajar Pendidikan khas merupakan impian saya di mana murid-murid ini sentiasa berfikiran positif dan memandang kepada kelebihan yang mereka ada dan menyedari juga kelemahan dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Sebagai seorang guru, apa yang sering saya ingatkan anak-anak murid saya adalah mereka perlu bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri dimana mereka berhak membuat keputusan dan memilih apa yang mereka sukai.Seni membuat keputusan dalam hidup adalah sesuatu yang sangat ditekankan oleh saya kepada mereka. Pelajar-pelajar PK ini kadang kala kurang yakin dan segelintir daripada ibu bapa mereka beranggapan mereka ini tiada harapan untuk berjaya dalam hidup. Namun begitu, persepsi ini harus ditukar dan dibetulkan agar murid-murid ini sentiasa terdorong untuk berjaya dalam hidup. Setelah hampir 9 tahun berkhidmat, dan berkhidmat untuk dua sekolah ini. Apa yang saya perhatikan, murid-murid banyak berubah samada dari aspek sosial, komunikasi, keyakinan dan tingkahlaku setelah mereka berada dalam kelas Pendidikan Khas. Walaupun, perkembangan bagi setiap murid itu tidak sama namun saya optimis bahawa keupayaan mereka akan berubah menjadi lebih baik. Opsyen asal saya iaitu dalam bidang Pendidikan Jasmani menjadikan saya lebih berminat untuk mengetengahkan keupayaan mereka dalam bidang sukan. Namun, peningkatan keupayaan mereka dalam kemahiran membaca, berkomunikasi,mahir dalam matematik amat membanggakan saya.
Harapan ketiga saya ialah menjadi sebagai perantara di antara ibu bapa dan anak-anak. Ada ibu bapa yang bertanggapan bahawa apabila anak-anak mereka masuk ke kelas Pendidikan Khas ini bagai masuk ke dalam penjara. Kejayaan bukan setakat akademik. Guru harus menerangkan kepada kedua-dua ibu bapa tentang apa yang anak-anak mereka akan pelajari di kelas Pendidikan Khas dan bagaimana ia boleh mengembangkan kemenjadian pelajar-pelajar ini. Peluang untuk anak-anak MBK ini lebih luas dan terarah sekiranya bakat dan keupayaan mereka berjaya diketengahkan. Dengan memainkan peranan ini, ia boleh menyakinkan ibu bapa sekaligus mengubah perspektif orang awam terhadap murid-murid pendidikan khas ini. Menjadi satu kegembiraan dalam hati kecil ini apabila melihat murid-murid berkeperluan khas ini yang telah tamat sekolah dan berupaya bekerja dengan baik dalam bidang masing-masing.Ada dikalangan murid-murid saya yang kini bekerja di bengkel motor, di kedai makan, menjadi tukang urut, dan pengawal keselamatan. Bukankah ini yang patut ditekankan oleh ibu bapa kerana rezeki seseorang tidak berada ditangannya, namun ia berada di tangan Sang Pencipta.


Apakah inovasi-inovasi yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk pelajar-pelajar Cikgu Mas?
Sepanjang saya berkhidmat, pelbagai inovasi yang saya telah laksanakan. Contoh-contohnya seperti berikut:
- Penggunaan Model Pop-up dan Movable Craft ketika sesi regangan.
- Pop-up ini merupakan inovasi untuk menarik perhatian pelajar-pelajar pendidikan khas ini agar melakukan aktiviti regangan sebelum sesi kelas Pendidikan Jasmani dijalankan.
- Ini disebabkan pelajar-pelajar ini tidak mengikut sesi regangan
- Murid-murid boleh melihat dan meniru pergerakan Model 3D ini.
- Model ini juga telah berjaya hingga ke Peringkat Kebangsaan dimana Cikgu Maslianna telah menyertai Pertandingan Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah Anjuran Wilayah Persekutuan Labuan.
- Projek Rice Bag Toss Game (RBTG)
- Projek ini khas untuk pelajar-pelajar Pendidikan Khas Tahap 1 dalam membantu mereka mengira nombor 1 hingga 10 dan mengecam warna.
- Pelajar harus membaling pundi beras yang berwarna ke dalam kotak RBTG yang direka khas dan berlampu. Jarak akan ditambah mengikut tahap. RBTG merupakan satu permainan untuk murid-murid MBK ini.
- RBTG ini telah Mendapat pingat emas dalam Pertandingan Inovasi Anjuran PPD Tangkak dan berjaya mendapat Pingat Perak dalam International Action Research Competition 2022 Anjuran UTM. Cikgu Maslianna telah berupaya menggalakkan kerjasama inovasi dikalangan guru-guru di sekolahnya.
- Mewujudkan Bilik Multisensori Adhwa
- Bilik ini diterajui oleh Cikgu Maslianna dan Cikgu Ainul Huda. Kewujudan bilik ini adalah bertujuan untuk membantu murid-murid melakukan terapi fizikal agar murid-murid yang mengalami masalah dapat dibantu dengan melakukan latihan terapi secara berkala.Memandangkan bilik agak kecil pada mulanya, dengan itu Cikgu Maslianna dan Cikgu Ainul Huda telah berjaya membesarkan bilik tersebut dengan dana yang diterima melalui Anugerah Cikgu Kickstarts
- Bilik Sensory juga digunakan untuk kemahiran manipulatif dan kemahiran PJ
- Melalui Bilik Sensory, banyak perubahan yg ditunjukkan oleh para pelajar antaranya kemampuan menulis dengan lebih lama, lebih berkeyakinan untuk bercakap dan sosial menjadi lebih baik.
- Tic Track – Projek kerjasama dari guru-guru Pendidikan Khas, Pemulihan Khas, dan RBT
- Inovasi TicTrack merupakan satu inovasi hasil gabungan daripada guru-guru dari Pend. Khas, Pemulihan Khas dan RBT. Inovasi ini telah berjaya mendapat Persembahan Terbaik bagi Pertandingan Konvensyen Horizon Baharu KIK Peringkat Kebangsaan Anjuran UUM
- Application ini khas digunakan untuk pelajar-pelajar pendidikan khas yang sering hilang secara tiba-tiba. Seperti pelajar sindrom down+hyperactive dan murid-murid autism.
- Keselamatan murid akan lebih terjaga.
- Alarm akan berbunyi di smart phone guru sekiranya murid yang memakai TicTrack ini berada jauh melebihi 10 m. Maka, guru boleh mengenalpasti lokasi di mana murid berada dengan menggunakan app.


Bagaimanakah Cikgu Mas melibatkan ibu-bapa pelajar dalam pendidikan anak-anak mereka?
Pertama sekali, ada satu badan permuafakatan pendidikan khas yang melibatkan semua ibu bapa atau penjaga. Guru pendidikan khas melaksanakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) secara individu dan ia berfokus kpd murid secara individu, jadi aktiviti akan lebih terarah kepada setiap individu. Apabila saya merancang aktiviti, saya akan bincang bersama ibu bapa dan intervensi yang dihasilkan perlu mendapat persetujuan ibu bapa. Setiap 6 bulan RPI akan dihasilkan, jika ada peningkatan, kita akan ke intervensi yang seterunya, dan sekiranya tiada peningkatan, pendekatan lain pula akan dihasilkan.
Sebagai seorang guru, cara komunikasi yang betul adalah amat penting. Jika apa-apa berlaku, terus maklum kepada parents tapi jangan condemn anak mereka. Kita kena berkawan dengan ibu bapa dan cikgu kena tahu latar belakang pelajar. Sebagai contoh, hubungan saya dengan ibu bapa tetap ada walaupun pelajar saya telah ke sekolah menengah. Guru perlu rapat dengan ibu bapa kerana mereka akan memastikan pembelajaran berterusan di rumah. Sebagai contoh, apabila saya ajar phonics, saya akan rekod pergerakan dan sebutan untuk dihantar ke ibu bapa supaya pembelajaran dapat dijalankan di rumah.


Apakah cabaran utama guru-guru pendidikan khas menghadapi dalam pengajaran dan pembelajaran murid-murid berkeperluan khas?
Pertama sekali, cabaran utama guru-guru pendidikan khas ialah persekitaran sekolah di mana terdapat jurang antara murid-murid pendidikan khas dengan murid-murid di aliran perdana dan guru-guru di aliran perdana. Ada sekali dimana seorang guru telah mempersoalkan kenapa murid autism berada di tapak perhimpunan kerana murid tersebut dianggap menganggu majlis tersebut. Malah, murid autism ini telah diminta untuk dibawa masuk ke kelas. Ia adalah hak seseorang pelajar untuk menjadi sebahagian daripada warga sekolah. Dengan itu, mengetepikan hak pelajar-pelajar pendidikan khas ini adalah satu cabaran utama yang dihadapi oleh kami.
Dari segi pengajaran pula, aras yg digunakan adalah terlalu tertinggi. Kadang kala, buku-buku teks tidak digunakan sebab ia tidak relevan dengan tahap pelajar. Memang guru akan mengubahsuai aktiviti-aktiviti mengikut tahap pelajar. Jadi, siapa yang membuat buku teks ini harusmelihat kepada realiti keupayaan pelajar itu.
Secara peribadi, cabaran yang saya hadapi ialah memberikan komitmen sepenuhnya. Disebabkan opsyen asal saya ialah PJPK, jadi saya diperlukan untuk aliran perdana untuk melatih pelajar-pelajar yang lain terutama dalam pertandingan sukan. Contohnya, saya perlu menguruskan murid-murid Pendidikan Khas dan dalam masa sama conduct aktiviti senam 1m1s. Jadi, fleksibiliti oleh pihak pengurusan sekolah amat penting. Kalau pihak atasan tidak memahami cabaran-cabaran yg dihadapi oleh guru-guru Pendidikan Khas, memang akan memberi kesan yang negatif kepada kualiti kerja kita sebagai seorang guru.






Pihak HIVE mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Maslianna sebab sudi meluangkan masa dengan kami untuk sesi temu ramah ini. Juga, pihak HIVE mengucapkan tahniah kepada segala pencapaiannya dan percaya Cikgu Maslianna akan sentiasa menjadi sumber inspirasi untuk guru-guru lain.