Pengenalan
Pelajar dan sekolah adalah sesuatu yang menyulami antara satu sama lain. Namun perkara yang menjadi buah mulut semua pihak ialah keciciran pelajar di sekolah. Isu keciciran pelajar ialah satu fenomena yang telahpun berlaku sejak sekian lama dan caranya adalah mengikut peredaran zaman. Namun sejak kebelakangan ini, seolah olah memperlihatkan isu keciciran pelajar seperti menjadi isu yang signifikan di sekolah sekolah dan perkara ini dibuktikan dengan laporan seramai 21,316 murid yang telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 lalu dengan pelbagai alasan daripada pelajar mahupun ibu bapa sendiri. Peningkatan Jumlah hari ketidakhadiran pelajar ke sekolah secara bersemuka menjadi punca utama kepada isu keciciran pelajar kerana mereka berisiko untuk dibuang sekolah jika mencapai 60 hari tidak hadir ke sekolah dalam setahun tanpa alasan.
Kemiskinan Punca Keciciran
Pada tahun 2017 Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi Malaysia (IDEAS) telah mengeluarkan laporan bahawa hampir 60 peratus pelajar tercicir adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dan mengalami masalah kemiskinan (Mohd Saubari Othman, 2022). Berdasarkan kepada situasi semasa tidak dapat dinafikan bahawa isu kemiskinan keluarga menjadi tunjang utama kepada isu keciciran pelajar di sekolah. Seperti yang ketengahkan oleh United Nations Development Program, Kemiskinan tidak dapat dinilai dari jumlah pendapatan harian sahaja tetapi memerlukan pemahaman dari multi-dimensi yang memperlihatkan aspek aspek memberikan keperluan pendidikan, memenuhi aspek kesihatan dan taraf hidup sesebuah keluarga. Jadi dengan memenuhi tuntutan tuntutan ini, aspek kebajikan keluarga dapat dipelihara dengan baik dan seterusnya anak-anak boleh diberikan peluang pendidikan yang baik.
Namun keadaan ini tidak berlaku dalam kebanyakan keluarga berpendapatan rendah. Mereka mewarisi kemiskinan bergenerasi yang berlaku hasil daripada warisan keluarga yang mengalami kemiskinan selama dua generasi atau lebih. Selain itu, kitaran keluarga seperti ini juga mengalami kemiskinan yang lain yang membuatkan mereka tidak berupaya memecahkan roda kemiskinan yang hanya berputar satu generasi ke suatu generasi yang lain malah tuntutan kemiskinan keluarga menyebabkan mereka hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang akibat tujuan hidup mereka hanya unuk mencari mata pencarian demi sesuap nasi dan meneruskan kelangsungan hidup pada setiap hari.
Dalam kaedaan seperti ini, sudah tentu keluarga yang berada di dalam kancah kemiskinan tidak dapat berfikir tentang pendidikan anak kanak mereka, waktu untuk merancang apatah lagi membuat perancangan masa depan anak kanak mereka. Jadi kesan langsung kepada pelajar ialah mereka tidak akan berminat untuk meneruskan pengajian atau minat untuk belajar. Keputusan mereka ialah untuk ke bekerja secara separuh masa atau sepenuh masa pada usia yang sepatutnya ke sekolah. Di peringkat domestik pula, Malah lebih menyedihkan apabila dianggarkan bahawa 5-8% rakyat Malaysia akan mengalami kemiskinan yang lebih parah selepas pandemik sedangkan negara kini sedang berhadapan dengan 400 000 isi rumah yang sedang mengalami kemiskinan (CAN insider, 2020).
Pengaruh Amalan keibubapaan
Tidak dapat dinafikan bahawa sikap dan tingkah laku ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab secara orang pertama di rumah memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak anak daripada awal lagi. Menjadi satu impian untuk setiap ibu bapa bagi memelihara dan menjaga anak anak mereka seperti menatang minyak yang penuh. Akan tetapi, rezeki ini tidak kesampaian kepada semua ibu bapa kerana terdapat ibu bapa yang gagal menjalankan tugas mereka sebagai pelindung atas pelbagai alasan dan desakan hidup dalam bentuk material mahupun bentuk bukan material.
Implikasi perpisahan ibu bapa, taraf kesihatan ibu bapa, isu kewangan, kewarganegaraan, isu penjagaan dan penderaan juga memberi ruang kepada keciciran pelajar di sekolah. Sekolah yang sepatutnya menjadi destinasi kedua pelajar menjadi tidak kesampaian akibat impak amalan keibubapaan yang menarik turun peluang mereka ke sekolah. Masalah seperti ini menyebabkan pelajar tidak boleh menumpukan perhatian sepenuhnya pembelajaran mereka di sekolah kerana mengalami truma, ketakutan dan hilang minat untuk belajar akibat kegagalan amalan keibubapaan yang berkesan selain ada di antara mereka yang tidak mempunyai persekitaran rumah yang selesa untuk belajar pun.
Selain itu, kesibukan ibu bapa yang bekerja, kurang pemantauan dan pemantauan secara gajet sahaja juga turut membuka ruang kepada pelajar untuk tercicir daripada sistem persekolahan. Pelajar menjadi lebih bebas, terbuka dan tidak perlu takut akan sebarang pemantauan kerana ibu bapa sendiri tidak tahu akan aktiviti yang dilakukan oleh mereka di sekolah mahupun diluar sekolah. Segala kemungkinan boleh berlaku dan akhirnya senario ini membawa kepada kelahiran pelajar yang tidak gemar dikawal hal ini akan lebih parah dengan umur mereka yang kini sedang melalui fasa krisis indentiti (Emily & Sabrina, 2022).
Penutup
Jika disemak, sejak 2012 lagi kerajaan telahpun melaksanakan dasar pendidikan percuma kepada golongan fokus terutamanya golongan B40 di mana mereka merupakan golongan berpendapatan rendah di bawah gaji minimum. Hal ini bertujuan agar semua kanak kanak wajib mendapat pendidikan seiring dengan falsafah Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu 1989 dan seperti yang termaktub di dalam Akta Kanak Kanak 2001. Dalam pada itu, semua pelajar juga disediakan pendidikan yang berkualiti dan pelbagi bantuan seperti Biasiswa, Bantuan Persekolahan dan rancangan makanan tambahan (RMT) di sekolah rendah. Namun, isu keciciran pelajar akibat berhenti sekolah, dibuang sekolah atau tidak pernah bersekolah masih mekar dalam kalangan masyarakat kita tanpa satu penyelesaian yang holistik. Persoalanya di manakah destinasi pelajar-pelajar ini selepas mereka berhenti atau dibuang sekolah dan apakah badan yang sepatutnya bertanggungjawab atau menghubungkan pelajar pelajar ini ke tempat yang sepatutnya bagi pelajar ini membina semula masa depan dalam bentuk yang lain tanpa keciciran. Situasi ini berbeza dengan negara negara lain, kerana negara kita belum lagi menempatkan Pegawai Kerja Sosial Sekolah yang akan berbanding bahu dengan sistem kekeluargaan, sistem sekolah dan sistem komuniti setempat bagi membendung masalah sosial pelajar. Bersama kita membina masa depan kanak-kanak yang sifar keciciran dari sistem sekolah.
Rujukan
CNA Insider. (2020). COVID-19 In Malaysia: Can The New Poor Cope In The Post-Pandemic Era? YouTube . Link.
Emily. L.& Sabrina.R. (12 Mei 2022). Erik Erikson’s Stages of psychosocial development. Dicapai daripada https://www.forbes.com/health/mind/erik-ericksons-theory/
Mohd Saubari Othman. (20 Julai 2022). Transformasi Pendidikan Penting Tangani Isu Keciciran pelajar. Berita Harian. Dicapai daripada
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/07/978371/transformasi-pendidikan-penting-tangani-isu-keciciran-murid UNDP. (2018). Beyond income: A broader picture of poverty. Link.
Ditulis oleh Sutharssan Nadarajan

Sutharssan Nadarajan adalah pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Kerja Sosial) di Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini sedang menyiapkan tesis tentang Pembentukan Model Kesejahteraan Psikososial Pelajar Sekolah Menengah (Perak). Minat kajian dan pengalaman beliau tertumpu kepada bidang Kerja Sosial Sekolah, Psikososial Remaja, Dasar dan Polisi Sosial.