Borneo Komrad dan Sekolah Alternatif Teluk Layang: ‘Akses Pendidikan untuk Semua’ (Bahagian 1)

Pendidikan memainkan peranan sebagai alat perubahan masyarakat yang mampu mengubah naratif hidup seseorang. Namun begitu, terdapat isu yang terus berakar dan membelenggu komuniti tanpa kewarganegaraan di Sabah atau lazimnya disebut sebagai stateless iaitu isu ketiadaan akses pendidikan. Menurut Pengarah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Jerald Joseph menganggarkan terdapat seramai 500,000 orang hingga 1,000,000 orang kanak- kanak stateless yang keciciran pendidikan. Beliau juga menyatakan isu ini amat sukar untuk diselesaikan kerana tiada data rasmi untuk memberikan gambaran bilangan kanak-kanak yang tidak mendapat akses pendidikan (Chan 2022). Anggaran ini tidak jauh daripada data rasmi banci pada tahun 2010 dimana 27.7% (889,779 orang) warga tanpa dokumen dikesan berbanding dengan 72.3% (2,316,963 orang) warga yang mempunyai dokumen di Sabah (Rodziana 2017:6 dipetik daripada Populasi dan Banci Perumahan Malaysia 2010). Isu ini juga telah menyebabkan pelbagai lagi rantaian masalah sosial di kalangan kanak-kanak yang membimbangkan seperti kemiskinan, keselamatan, kesihatan dan perkahwinan bawah umur. 

Melihat ketidakadilan yang berlaku terhadap kanak-kanak tanpa warganegara di Sabah, sekitar tahun 2015 hingga 2017, sebuah gerakan yang dimunculkan oleh mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) bernama Borneo Komrad telah memilih untuk mengatasi isu ketiadaan akses pendidikan melalui advokasi pendidikan dan penubuhan Sekolah Alternatif untuk kanak-kanak tanpa warganegara mendapatkan hak pendidikan. Borneo Komrad adalah merupakan gabungan solidariti antara dua kelab mahasiswa di UMS iaitu Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA) dan Suara Mahasiswa. Aspirasi mereka adalah untuk membangunkan sebuah gerakan mahasiswa yang mandiri dan mengangkat suara rakyat yang dipinggirkan. Setelah dua tahun memerhatikan gerak kerja Borneo Komrad melalui perkongsian pengalaman mereka dalam media sosial seperti Instagram, Youtube, Spotify Podcast dan rakaman temubual media arus perdana seperti stesen radio BFM 89.9, The Star dan Astro Awani, pengkaji mendapati beberapa lompang dalam diskusi pihak media tersebut. Antara isu yang masih belum diselidiki secara mendalam adalah dalam aspek impak ketiadaan dokumentasi kewarganegaraan, falsafah pendidikan Borneo Komrad, pedagogi dan orientasi pendidikan Sekolah Alternatif dan hala tuju dasar ekuiti pendidikan di Malaysia yang diidamkan. Sehubungan itu, pengkaji memutuskan untuk mewawancara beberapa orang guru-aktivis di Sekolah Alternatif cawangan Kota Kinabalu, di Kampung Teluk Layang iaitu sekolah alternatif pertama yang dibangunkan.

Tajuk temubual bersama para guru-aktivis di sekolah Alternatif ialah Akses Pendidikan untuk Semua: Adakah Ianya Tersekat atau Disekat-sekat ?‘Tersekat’ yang dimaksudkan adalah dalam bentuk halangan untuk mendapatkan akses pendidikan yang berlaku secara tidak langsung. Manakala, ‘disekat-sekat’ pula bermaksud halangan yang berlaku secara langsung kerana sistem dan prosedur tertentu dalam mendapat akses pendidikan. Pengkaji telah mewawancara tiga orang informan iaitu guru-aktivis terdiri daripada (i) Faiz Fadhlee, (ii) Mohd Naiem Zikri dan (iii) Mohamad Haziq Ikhsan. Berdasarkan penelitian, didapati bahawa kepentingan advokasi pendidikan dan impak positif Sekolah Alternatif memberikan manfaat kepada para pelajar dan komuniti mereka di Kampung Teluk Layang. Berikut perkongsian Mohamad Haziq Ikhsan (2020) yang merupakan guru alam sekitar di Sekolah Alternatif,

“…Pada sekitar tahun 2015, Borneo Komrad telah melihat masalah utama adalah kanak-kanak disini tidak mempunyai kad pengenalan yang menyebabkan segala akses kepada kemudahan yang ada pada seseorang warganegara tidak dapat dinikmati dan dimiliki oleh kanak-kanak disini lalu menyebabkan isu-isu lain seperti kemiskinan, kesihatan yang teruk, masalah penempatan dan masalah ketiadaan akses pendidikan. Selain Borneo Komrad, terdapat gerakan sivil lain yang membuat advokasi pendidikan dan membangunkan sekolah-sekolah mereka. Antara gerakan sivil ini adalah seperti Cahaya Society di Sandakan, gerakan Anak di Keningau dan sekolah alternatif secara persendirian…”.


Merujuk perkongsian Mohamad Haziq Ikhsan (2022), akses pendidikan tersekat apabila mereka tidak mempunyai dokumentasi kewarganegaraan seperti kad pengenalan. Haziq turut memberikan gambaran bahawa advokasi pendidikan amat banyak dilakukan di Sabah. Namun begitu, apa yang tidak dikongsikan oleh Haziq ialah peranan pihak berautoriti yang lain seperti kerajaan, sama ada diperingkat negeri atau diperingkat persekutuan masih tidak jelas peranannya dalam pengurusan isu ketiadaan kad pengenalan dan keciciran pendidikan dikalangan kanak- kanak.

(Nantikan untuk Bahagian 2…)

Rujukan:

Chan, J. 2022. In Sabah, SUHAKAM says number of statelessness complaints show urgent need for lasting solution. Malay Mail. Pautan di https://www.malaymail.com/news/malaysia/2022 /04/19/in-sabah-suhakam-says-number-of-statelessness-complaints-show-urgent-need-f/2054402 Diakses pada 20 September 2022.

Mohamad Haziq Ikhsan. 2022. Borneo Komrad dan Sekolah Alternatif Teluk Layang, Kota Kinabalu. Temu bual, 2 Julai.

Rodziana Mohamed Razali. 2017. Addressing statelessness in Malaysia: new hope and remaining challenges. Working Paper Series No. 2017/9, Institute on Statelessness and Inclusion, Disember 2017. Pautan di  https://files.institutesi.org/WP2017_09.pdf Diakses pada 20 September 2022.

Ditulis oleh Fatimah Tajuddin

Fatimah Tajuddin ialah Calon PhD di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM. Penyelidikan beliau meneroka peranan Filem Bebas Malaysia sebagai alat pedagogi kritikal untuk memudahkan perpaduan sosial dan penipisan sempadan etnik. Beliau adalah Graduan Sains Kemanusiaan, pengkhususan dalam Psikologi, dan minor dalam Ilmu Pengetahuan Islam dari UIAM. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dan Pengajian Media dari UITM. Beliau sebelum ini bekerja sebagai pensyarah sains sosial dan seni liberal. Pada masa ini, beliau juga seorang aktivis akademik dari Naratif Malaysia yang merupakan CSO menggunakan akademia untuk aktivisme dan aktivisme untuk akademik. Akhir sekali, beliau adalah jurulatih bebas untuk My Catalyz Merdeka Center, sebuah pusat pendidikan untuk belia dan demokrasi.

Leave a comment