Inovasi membantu meningkatkan kefahaman pelajar TVET

Pengenalan

TVET diistilahkan sebagai Technical and Vocational Education and Training yang merangkumi pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran yang berkaitan dengan pelbagai bidang pekerjaan, pengeluaran, perkhidmatan dan pembelajaran sepanjang hayat. Di Malaysia, pendidikan TVET bertujuan untuk menghasilkan pekerja yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran teknikal sepertimana dikehendaki oleh industri dan boleh bersaing di peringkat global. Program TVET di sekolah menengah harian pula di kenali sebagai Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) telah mula dilaksanakan sejak tahun 2015. Progam ini yang mensasarkan kepada pelajar Tingkatan 4 yang kurang berminat kepada akademik menjadi cabaran kepada guru untuk melengkapkan kefahaman teori dan praktikal pelajar TVET. Kedua-dua elemen ini adalah penting dan menjadi penilaian berterusan dalam persjilan pelajar PVMA yang mengikuti pembelajaran berasaskan NOSS atau National Occupational Skills Standard.

Subjek praktikal dalam program kemahiran biasanya mempunyai pemberat sebanyak 70 peratus berbanding subjek teori iaitu 30 peratus. Realitinya, pelajar perlu memahami prinsip, konsep dan fakta yang terkandung dalam teori terlebih dahulu untuk diimplementasikan dalam subjek praktikal. Namun, hasil kajian yang dijalankan mendapati pelajar dalam program kemahiran lebih cenderung untuk melakukan praktikal berbanding teori. Ia bercanggah dengan dapatan kajian Yahya Buntat & Norliza Ensa (2010) yang mendapati pelajar meminati subjek teori dan praktikal dalam program vokasional. Dalam skop pembelajaran praktikal, kebanyakan pelajar aliran TVET dikatakan mempunyai keupayaan visual berbanding kognitif (Mimi Mohaffyza 2014). Oleh itu, guru perlu menunjukkan kreativiti semasa mengajar subjek teori agar pelajar dapat memberi lebih tumpuan semasa proses pengajaran. N. Hussain & Ayub (2012) menyatakan gaya pengajaran seseorang guru dapat mempengaruhi sikap pelajar, persekitaran dan perlaksanaan pembelajaran.

Elemen Inovasi

Penerapan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membantu meningkatkan kefahaman pelajar melalui pendekatan pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre. Pengajaran berpusat kepada murid bermaksud pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru mengajar dan murid belajar.

Apakah sebenarnya definisi kreativiti dan inovasi ini. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang baru. Manakala inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan peluang semaksimum mungkin walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.

Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen ini semasa proses pengajaran. Sebagai penyampai ilmu, guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik. Mempunyai kemahiran sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.

Inovasi SmartCool 1.0.

Sepertimana yang diterangkan di atas, pemahaman prinsip, konsep dan fakta yang terkandung dalam teori adalah penting sebelum diimplementasikan dalam subjek praktikal. SmartCool 1.0 adalah merupakan satu projek inovasi yang dibangunkan untuk membantu pelajar memahami prinsip Kitar Penyejukan Asas. Prinsip ini merupakan topik asas yang perlu di pelajari oleh pelajar Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) yang mengambil kursus Penyejukan dan Penyamanan Udara. SmartCool 1.0 juga merupakan Alat Bantuan Pengajaran yang dapat membantu pelajar memahami kitaran penyejukan dan aliran bahan pendingin dalam sistem penyamanan udara. Ia mengandungi 4 komponen utama iaitu pemampat, pemeluwap, peranti pemeteran dan penyejat seperti mana penyaman udara sebenar. SmartCool 1.0 ini dibangunkan dari bahan kitar semula dengan kos minima.

Dengan menggunakan SmartCool 1.0 ini penerangan guru berkaitan proses aliran bahan pendingin menjadi lebih mudah dan membantu pelajar memahami topik Kitar Penyejukan Asas. Selain aliran bahan pendingin, SmartCool 1.0 ini juga dapat membantu guru menerangkan fungsi komponen, ciri-ciri komponen, proses pemindahan haba dan bagaimana komponen aksesori diperlukan untuk membantu kitaran penyejukan. Oleh kerana Kitar Penyejukan Asas adalah prinsip asas yang perlu dikuasai oleh pelajar maka adalah penting pengajaran disampaikan dengan berkesan dan pelajar dapat memahaminya.

Rajah 1
Rajah 2

Rajah 1 & 2: Penerangan guru menggunakan SmartCool 1.0 berkaitan prinsip Kitar Penyejukan Asas

Rajah 3 : Maklumbalas pelajar selepas sesi pengajaran dan pembelajaran.

Dengan bantuan produk inovasi seperti SmartCool 1.0 ini tentunya ia dapat memberi dan mengukuhkan kefahaman pelajar tentang Kitar Penyejukan Asas selain dapat menarik minat pelajar untuk melihat sendiri bagaimana kitar penyejukan dalam sistem penyamanan udara berfungsi. Inovasi ini juga telah mendapat pengiktirafan dalam pelbagai pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti berikut:

  • Pertandingan Reka Cipta Dan Inovasi (i-DEA 22) Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS)  – PINGAT EMAS
  • Pertandingan Poster Digital SnappEd Chuping Valley Accelarator Educational Programme (SCVAEP 2022) – PINGAT EMAS
  • Pertandingan Poster Digital Kolokium Pendidikan Dan Inovasi Kebangsaan Tahun 2022 – PINGAT PERAK
  • Borneo Innovation Festival 2022 Peringkat Kebangsaan – PINGAT PERAK
  • Pertandingan Inovasi Pembelajaran Peringkat Antarabangsa (PIP2022) – PINGAT GANGSA

Rujukan

Abdul Mutalib, Norhailmi. (2017). Pembelajaran Abad 21. Perlis: Percetakan Perlis Sdn Bhd.

Mohd Nor, Zainuren . (2020). Transformasi Pendidikan Vokasional. Selangor: Percetakan Sentosa Sdn Bhd.

Buntat, Yahya & Ensa, Norliza (2010, Sept). Minat Pelajar Wanita Dalam Mata Pelajaran Teknik Dan Vokasional Di Sekolah. Dimuat turun daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/10292/

Mohamad, Mimi Mohaffyza (2014, Mei). Conceptions Of Learning Through Learning Styles And Cognitive Dimension In Vocational Education. Dimuat turun daripada https://publisher.uthm.edu.my/ojs/index.php/JTET/article/view/884

N. Hussain & Ayub (2012). Learning Styles of Students and Teaching Styles of Teachers in Business Education: A Case Study of Pakistan. Dimuat turun daripada https://www.researchgate.net/publication/261991681_Learning_Styles_of_Students_and_Teaching_Styles_of_Teachers_in_Business_Education_A_Case_Study_of_Pakistan

Ditulis oleh Cikgu Nasrul Hakim bin Zakaria

Seorang guru Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) yang berkhidmat di SMK Bera Bandar 32 sejak Julai 2013. Mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (F) Keratong 8, Muadzam Shah dan pendidikan menengah di SMK Dato’ Bahaman Lanchang. Seterusnya peringkat menengah atas di MRSM Kuantan pada tahun 1995-1996.

Penempatan pertama beliau ialah di SMK Baru Bintulu pada tahun 2005 selepas tamat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam bidang Penyejukan & Penyaman Udara dari Maktab Perguruan Teknik Cheras, KL. Pada tahun yang sama juga diarahkan berpindah ke SMK Merbau, Miri bagi memulakan program MPV atau Matapelajaran Vokasional bagi kursus Menservis Peralatan Penyejukan & Penyamanan Udara sehingga Jun 2013. Beliau kini terlibat secara aktif dalam bidang inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ikuti beliau melalui blog rasmi https://cikgunas.net.

Leave a comment