Kaedah Pengajaran Inovatif

Inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan suatu pembaharuan kreatif terhadap kaedah pengajaran yang digunakan bagi seseorang guru untuk memastikan objektif pengajarannya tercapai. Kaedah pengajaran inovatif dilaksanakan untuk menangani masalah pembelajaran seseorang murid. Dalam melakukan sesuatu inovasi dalam pengajaran, guru perlu menitikberatkan beberapa aspek (rujuk Rajah 1) supaya pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dijalankan dengan lancar.

Rajah 1: Aspek yang dititikberatkan dalam kaedah pengajaran inovatif.

            Terdapat pelbagai kaedah pengajaran inovatif yang boleh dilaksanakan oleh guru. Pertama, pembelajaran berasaskan projek. Kaedah ini merupakana pengajaran sistematik yang melibatkan murid dalam pembelajaran pengetahuan melalui proses inkuiri lanjutan. Menurut Barell (2006), proses inkuri bermaksud murid mencari jawapan kepada suatu persoalan tanpa bergantung sepenuhnya dengan guru. Guru hanya memainkan peranan sebagai pembimbing sepanjang sesi pembelajaran berlaku. Projek tersebut dilaksanakan dalam tempoh masa seminggu atau dua minggu dan selaras dengan silibus mata pelajaran. Kaedah pengajaran ini boleh diaplikasikan dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dalam topik Makanan Berkhasiat. Guru melaksanakan projek “Buku Skrap Ku”. Projek tersebut melibatkan murid mencari dan mengumpulkan gambar-gambar dari laman sesawang atau majalah dan dikompilasikan dalam bentuk buku skrap. Melalui kaedah ini, murid lebih memahami topik pembelajaran tersebut kerana berlakunya sesi pembelajaran melibatkan bahan berbanding hanya mendengar penerangan daripada guru sahaja.

            Seterusnya, kaedah pembelajaran elektronik (e-learning). Kaedah ini menggunakan alat-alat elektronik seperti komputer atau telefon bimbit dan mempunyai capaian internet. Pembelajaran berlaku mengikut kehendak dan keperluan murid serta dilaksanakan secara kendiri (Sawyer, 2019). Pembelajaran ini bersifat fleksibel dari segi masa dan tempat. Misalnya, guru memberikan bahan pembelajaran melalui e-mel murid. Murid dapat mengakses bahan-bahan tersebut dengan mudah melalui penggunaan alat elektronik dan capaian internet. Kaedah ini sangat berguna jika murid ingin mempelajari suatu mata pelajaran pada musim cuti. Misalnya, murid dapat mempelajari topik tokoh-tokoh sejarah dalam mata pelajaran Sejarah dengan bantuan bahan yang diberikan oleh guru. Walaupun tanpa kehadiran guru secara fizikal, bahan pembelajaran dalam e-mel murid tersebut dapat meningkatkan kefahamannya mengenai suatu topik. Oleh itu, guru memainkan peranan yang penting dalam memastikan bahan yang dikongsikan mempunyai elemen interaktif yang menarik supaya dapat menarik minat murid untuk belajar (Ismail, 2002). Misalnya, elemen visual yang menggunakan warna-warna yang menarik. Melalui kaedah pembelajaran e-learning, murid juga dapat belajar mengikut rentaknya sendiri tanpa paksaan.

            Di samping itu, pembelajaran berasaskan laman sesawang. Penggunaan laman sesawang dapat memudahkan guru mencari bahan untuk sesi pembelajaran. Selain itu, guru dapat menggunakan laman sesawang untuk memudahkan proses melaksanakan pentaksiran dalam bilik darjah. Terdapat pelbagai laman sesawang yang boleh digunakan oleh para guru dalam sesi pembelajaran. Misalnya, Wordwall, Google Classroom dan Zoom. Melalui pembelajaran sebegini, guru dapat berkongsi idea dan melaksanakan pentaksiran secara langsung (Pritchard, 2009). Tugasan dapat diberikan mengikut kreativiti guru-guru supaya objektif pembelajaran dapat dicapai. Contohnya, guru boleh mengadakan sesi kuiz interaktif menggunakan laman sesawang Wordwall. Kuiz interaktif selepas sesi pembelajaran dapat membantu guru untuk mengetahui tahap kefahaman murid mengenai suatu topik selepas sesi pembelajaran. Di samping itu, guru boleh melaksankan pembelajaran melalui laman sesawang Youtube. Melalui elemen video, murid lebih memahami topik yang diajar oleh guru. Misalnya, dalam mata pelajaran Sains, murid lebih memahami proses fotosintesis melalui tayangan video berbanding gambar dalam buku teks.

Kesimpulannya, kaedah pengajaran inovatif dapat memberi impak yang positif kepada murid dalam membantu mencapai objektif pembelajaran melalui kreativiti guru dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan. Selain itu, guru seharusnya memainkan peranan dalam merangsang kognitif murid untuk berfikir di luar kotak dan tidak hanya bergantung kepada guru sepenuhnya dalam mempelajari suatu topik mata pelajaran. Pembelajaran kendiri seharusnya turut diterapkan dalam diri setiap murid supaya dapat meningkatkan kefahaman dalam topik yang dipelajari sekaligus meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran tersebut.

RUJUKAN

Barell, F.J. (2006). Problem-Based Learning: An Inquiry Approach. United States: SAGE Publications.

Ismail Zain. (2002). Aplikasi multimedia dalam pengajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Pritchard, A. (2009). Ways of learning. United Kingdom: Taylor & Francis Group.

Sawyer, K. (2019). The Creative Classroom: Innovative Teaching for 21st-Century Learners. United States: Teachers College Press.

Ditulis oleh Eva Elvitah Jaukim

Nama yang diberi Eva Elvitah Jaukim. Berumur 26 tahun dan berasal dari Kota Belud, Sabah. Beliau berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Pemulihan) dari IPG Kampus Tawau. Kini beliau merupakan seorang guru pemulihan di SK Perapat Laut, Kudat. Beliau telah menghasilkan modul bacaan khusus untuk murid pemulihan, Modul Bijak Bestari. Beliau kini aktif dalam menghasilkan bahan-bahan pembelajaran khususnya untuk murid pemulihan dan dikongsikan melalui media sosial Telegram dan Facebook, Cikgu Eva Kongsi.

Leave a comment