Kaedah hadapi cabaran bagi seorang guru dalam mendepani arus pendidikan

PENGENALAN

Ramai orang mengatakan bahawa menjadi seorang guru adalah suatu pekerjaan yang menyeronokkan kerana banyak cuti dan gaji banyak. Tetapi, sebenarnya banyak tanggungjawab dan cabaran besar bagi guru  . Menjadi guru masa kini adalah bukan suatu perkara  mudah dengan ragam dan perangai murid pelbagai yang tidak mudah diuruskan.

Tugas guru bukan sahaja mengajar dan mendidik murid, malah tugas guru turut dikerumuni dengan tugas sampingan seperti mengambil kehadiran murid, pengurusan Rancangan Makanan Tambahan,pengurusan susu sekolah setiap hari, latihan rumah sukan, latihan badan beruniform, kelab,kelas tambahan, ceramah dan sebagainya. Tidak kurang juga aktiviti yang perlu dihadiri oleh guru, seperti perlu menghadiri kursus, ataupun perlu mewakili sekolah untuk persidangan dan pelbagai aktiviti sampingan.

Selain mengajar mengikut silibus yang diminta, penerapan nilai-nilai murni turut perlu diterapkan oleh guru kepada murid-murid. Ini adalah kerana melalui penerapan nilai ini akan menjadikan mereka sebagai pemimpin yang berwibaya pada masa akan datang. Ini selari dengan firman Allah SWT ”Bacalah!Dengan nama Tuhanmu..”(Surah Al Alaq:1) (Karim) Sekiranya kita mendidik anak-anak ini mengikut acuan Al Quran,nescaya ia akan melahirkan murid yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat(2007:232) (Pustaka, 2007) cabaran didefinisikan sebagai hasil mencabar(mempersoalkan,mempertikaikan, ajakam(untuk berlawan dan sebagainya). Secara umumnya, cabaran membawa maksud sesuatu hal atau perkara yang menguji kemampuan serta ketabahan seseorang yang ada kaitannya dengan sesebuah organisasi.

KAEDAH HADAPI CABARAN SEBAGAI GURU

Kuasai ilmu pengetahuan yang setaraf dengan era globalisasi.

Guru-guru perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan alatan yang semakin canggih dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.Kalau kita lihat dahulu teknologi dan instrumen dalam bidang pendidikan amat terhad dan guru-guru tidak berpeluang untuk mendedahkan diri kepada teknologi dalam bidang pendidikan.Hal ini menyebabkan sebahagian guru tidak mahir dalam  menggunakan teknologi. Isu ini harus dibendung segera kerana guru seharusnya mengikut perkembangan semasa dan mengajar teknologi ini kepada pelajar. Contohnya, guru perlu memahirkan diri dengan pengetahuan ICT agar dapat mendapatkan maklumat terkini dengan pantas dan berkualiti.Oleh itu, guru haruslah mempelajari teknologi yang pelbagai dalam pendidikan dalam usaha memajukan diri agar dapat mengikuti perkembangan semasa.

Menjadi pemimpin Pengajaran yang berkesan

Guru perlu bertindak sebagai ketua (leader) dan menguasai ilmu kepimpinan dengan berkesan. Menurut Glickman (1990)menegaskan bahawa peranan kepimpinan guru akan dapat dijalankan dengan berkesan sekiranya pemimpin tersebut mempunyai tiga kategori iaitu keperluan menguasai ilmu pengetahuan yang luas, tugasan dan tanggungjawab  dan keperluan mempraktik kemahiran dan kepakaran. Apabila memberi tugasan kepada murid, guru harus memberi  penekanan kepada matlamat setiap tugasan dan murid perlu tahu prosedur menimba ilmu dan penemuan diri.

Jangan malu bertanya dan menimba pengalaman dari guru berpengalaman.

Dalam usaha menimba pengalaman, guru baharu perlu banyak menimba ilmu selok belok perguruan dari guru berpengalaman. Ini adalah kerana tidak semua yang dipelajari di Institut Pendidikan Guru dapat diimpelementasi  dalam pengajaran di sekolah. Orang lain tidak boleh membantu melainkan dengan inisiatif dari guru itu sendiri. Kepakaran setiap guru adalah pelbagai. Jadi, timbalah ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin dalam usaha untuk membina anak bangsa yang berilmu, berketrampilan dan berwawasan.

Guru perlu memikirkan kaedah  dan wujudkan kajian tindakan terhadap permasalahan murid di sekolah.

Cuba selesaikan kajian tindakan terhadap murid sendiri di sekolah. Ini dapat memberi kefahaman yang menyeluruh berdasarkan kajian dan statistik. Sebagai contoh dalam subjek pendidikan islam, sekiranya murid tidak dapat membezakan huruf shin atau tsa, guru boleh menggunakan kaedah tertentu atau memperkenal suatu alat  bagi memastikan murid dapat membuat perbezaan dengan baik dan faham. Secara asasnya memudahkan murid adalah paling penting dalam sesi pembelajaran dan pengajaran.

Guru perlu sentiasa mengemaskini pengetahuan dan kemahiran dalam asperk pendidikan serta berusaha mengaplikasi kaedah-kaedah pengajaran dan pendidikan terkini.

Oleh itu, pihak berwajib telah menganjurkan kursus-kursus pendidikan untuk mempertingkatkan keupayaan , ketahanan dan prestasi,  bagi mendepani cabaran yang semakin mencabar.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Guru adalah ibarat permata dan dihormati oleh pelbagai golongan. Setiap gerak geri dan tingkah laku guru menjadi contoh dan idola sebahagian besar masyarakat.  Jadi guru perlu persiapkan diri dengan ilmu yang mantap dalam usaha untuk mendepani cabaran pendidikan yang kian mencabar. Motivasi dan kata-kata guru menjadi ingatan mendalam kepada murid itu sendiri. Dengan adanya kaedah , kajian dan penerapan nilai dari guru akan membuatkan sesuatu pengajaran dan pembelajaran itu menarik dan tersusun.Guru perlu menjalin hubungan erat (social interaction) dengan ibu bapa dan penjaga. Guru juga perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan dan kemahiran dalam aspek pendidikan serta berterusan mengetahui keedah baru dan aplikasi terkini dalam Pendidikan. Kesedaran ini penting dalam usaha memartabatkan anak bangsa yang serba boleh dan berjiwa saing.

RUJUKAN

  1. Al Quran. Surah Al Alaq, Juz 30
  2. Kamus Dewan Edisi Keempat,2007, muka surat 232.
  3. Glickman, C.D. Gordon, S.P., &Ross-Gordon, J.M.(2009). Supervision and instructional leadership:a developmental approach Allyn and Bacon, Boston, MA
  4. Mok Soon Sang(2011), Psikologi Pendidikan. Malaysia:Penerbitan Multimedia Sdn Bhd

Ditulis oleh Ustaz Quszaini bin Abd Manan

Nama yang diberi Quszaini bin Abd Manan. Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.

Leave a comment