Belakangan ini, media sosial dan akhbar tempatan sering memaparkan isu tingkah laku murid sama ada di sekolah rendah mahupun menengah yang menyesakkan dada masyarakat. Namun, inilah realiti yang perlu dihadap dan seharusnya ditangani dengan bijaksana oleh semua pihak. Usaha memulihkan tingkah laku ke arah yang lebih baik penting bagi melahirkan pewaris generasi gemilang di negara ini.

Program Budaya Efisien Sahsiah Terampil (BEST) diperkenalkan bagi memupuk amalan baik dan pembentukan sahsiah terpuji dalam kalangan murid di sekolah. Murid-murid digalakkan melakukan amalan baik untuk meningkatkan sahsiah diri. Murid yang terampil dalam segala aspek termasuk jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial dapat dilahirkan apabila pemupukan amalan baik ini menjadi satu budaya di sekolah. Pembudayaan tingkah laku positif ini dilihat dari segenap aspek termasuk hubungan baik sesama rakan dan guru, kerjasama, tanggungjawab, aktif, kekemasan diri dan persekitaran serta rekod kehadiran penuh.
Di samping itu, program ini dapat membantu meningkatkan disiplin dan motivasi murid seterusnya membina kemenjadian murid sejajar dengan aspirasi negara. Anak-anak di bangku sekolah boleh dibentuk menjadi insan yang baik sekiranya acuan asuhan yang digunapakai sesuai dan wajar. Dalam hal ini, ketegasan ibu bapa, guru dan masyarakat sangat perlu agar murid tidak naik lemak dan terbiasa dengan kerenah yang tidak baik. Tidak salah jika menuruti kemahuan murid mengikut had tertentu tetapi sewajarnya dibatasi dengan satu peraturan yang bertujuan mendidik serta membimbing mereka menjadi seorang warga berdisiplin.
Secara dasarnya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) yang bertujuan merekodkan amalan baik dan salah laku disiplin murid di sekolah. Sistem pengurusan sahsiah KPM ini adalah satu usaha mementingkan amalan baik dan menggalakkan perlaksanaan nilai-nilai murni di sekolah. Di samping itu, kes salah laku disiplin seseorang murid juga turut direkodkan agar boleh dinilai dan dibantu ke arah kecemerlangan budi pekerti.
Walau bagaimanapun, rekod secara dalam talian ini tidak dapat dilihat secara maujud dan terang di hadapan mata mereka. Setiap murid barangkali tidak cakna tentang perekodan amalan baik yang dilaksanakan oleh pihak guru. Mereka mungkin sedar apabila dimaklumkan secara lisan oleh guru. Program Budaya Efisien Sahsiah Terampil (BEST) ini membolehkan murid melihat sendiri rekod amalan baik masing-masing di dalam buku khas. Setiap amalan baik akan merujuk elemen-elemen yang telah digariskan. Perbuatan baik yang dilakukan akan direkod melalui cap khas. Dengan cara ini, mereka akan lebih teruja untuk melakukan sesuatu amalan baik.
Kaedah perlaksanaan program BEST; guru di sekolah akan melihat amalan baik yang dilaksanakan oleh murid sepanjang waktu persekolahan. Peneguhan positif diberikan melalui cap bintang oleh guru di dalam buku khas yang telah disediakan mengikut 10 elemen yang ditetapkan. Ganjaran dalam bentuk cap ini boleh mendorong murid untuk mengulangi tingkah laku yang baik secara berulang membawa kepada kemajuan dalam perubahan sikap dan disiplin. Kelebihan ini sekaligus membantu meningkatkan mutu sahsiah murid.

Walaupun mungkin ada segelintir pihak yang mengatakan amalan itu boleh dibuat-buat oleh murid untuk mendapatkan cap tetapi sesuatu yang dilakukan secara berulang, lama-kelamaan akan menjadi satu budaya atau rutin yang diikuti. Antara elemen utama yang diberi perhatian dalam program ini adalah seperti berikut:
- E1 – Sukarela membantu guru
- E2 – Membantu mengemas kelas / bilik khas
- E3 – Menyiapkan kerja / tugas sekolah
- E4 – Suri tauladan kepada rakan
- E5 – Memberi ucapan hormat
- E6 – Kekemasan diri
- E7 – Penglibatan aktif dalam kelas
- E8 – Sukarela melaporkan salah laku rakan
- E9 – Kehadiran penuh bulanan
- E10 – Kepimpinan dan yakin diri
Program sebegini sangat relavan pada masa kini dan boleh diamalkan secara berterusan sama ada untuk murid di aliran perdana mahupun di program pendidikan khas integrasi. Amalan positif yang menjadi budaya murid sekolah akan mendorong rekod sifar kes disiplin di sekolah. Kelebihan ini sekaligus membantu melonjakkan pencapaian dan potensi sekolah ke arah yang lebih baik dalam pelbagai bidang sama ada sahsiah, kurikulum mahupun kokurikulum.



Ditulis oleh Cikgu Mohd Saifullah bin Abd Rahim

Mohd Saifullah bin Abd Rahim berasal dari Hulu Kinta, Perak. Mendapat pendidikan ijazah sarjana muda dalam bidang sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian menyambung pengajian ikhtisas Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dalam bidang Pendidikan Khas (Pembelajaran) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dianugerahkan Tokoh Guru Kecemerlangan Kesenian Kebudayaan dan Kokurikulum Pendidikan Khas Melaka 2019. Penempatan pertama beliau ialah di SMK Bukit Baru, Melaka (2010) dan kemudian telah bertukar ke SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sungai Siput (U), Perak (Jun 2022). Berpengalaman mengajar murid berkeperluan pendidikan khas dalam subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Seni Visual dan Kemahiran Vokasional Spesifik Asas Penyediaan Makanan. Pernah terlibat sebagai hakim dalam pertandingan NILAM, kaligrafi Islam, bercerita kisah nabi, nasyid, gerak kreatif dan tarian tradisional. Beliau juga terlibat dalam penulisan buku latihan tambahan bahasa Melayu Sekolah Rendah, Antologi puisi dan anekdot serta sumbangan bahan sastera di akhbar tempatan.