Kaedah mendekati murid pendidikan khas

PENGENALAN

Islam merupakan agama yang konsisten dan merupakan rahmat buat sekalian insan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU . Firman Allah dalam surah Al Fath ayat 17:Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya. Ujian Allah ke atas murid ini merupakan satu penilaian keimanan terhadap Qada dan Qadar Allah. Kepada orang yang berada di sekelilingnya. Kita juga perlu tahu bahawa tidak ada yang sempurna melainkan Allah SWT. Semua manusia bergantung dengan Allah SWT.yang maha agung dan berkuasa.
Oleh kerana itu, setiap ujian yang diberikan maka kembalikanlah ia kepada Allah dengan pergantungan yang sebenar kepadaNya.


Firman Allah dalam Surah At Taubah ayat 51: Katakanlah (wahai Muhammad): (MuhammadAmiro Safwan Mohd Kamil, Cetakan ketiga 2016). Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang yang ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal. Allah juga menguji diri dan kesabaran kita bagaimana untuk menyantuni mereka dengan sebaik mungkin dan perludilindungi.


Menurut Barber dan Holdbart (1998), strategi penilaian yang berbeza diperlukan dalam mengajar kanak-kanak berkeperluan khas dalam menentukan keberkesanan pengajaran. Guru perlu kreatif dalam meneliti pendekatan yang sesuai bagi merancang pengajaran.Pendidikan khas menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak disediakan dalam kurikulum yang baku atau biasa atau perkhidmatan-perkhidmatan sekolah biasa (Ghafar, 2006).

KAEDAH MENDEKATI MURID PENDIDIKAN KHAS DENGAN BERKESAN


1.Memberi pendidikan yang sesuai dengan tahap mereka


Pelajaran merupakan asas kepada pendidikan. Kehidupan murid dapat dilentur dengan nilai-nilai dan aura positif ke dalam diri. Dalam konteks ini adalah perlu untuk memberikan pendidikan kepada mereka agar dapat mengurus diri sendiri atas kemampuan mereka sendiri. Kebolehan mereka mengurus diri adalah suatu kejayaan kepada semua.


2.Memberi kasih sayang yang tidak berbelah bagi


Menyantuni dan mengasihi mereka merupakan tuntutan syarak .Seperti mana sabda baginda Nabi Muhammad SAW ‘Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada dirinya’.(HR Bukhari 13) (al-Bukhari, 2009). Selain itu kita sebagai Muslim dikehendaki menyantuni semua golongan samada yang tua mahupun muda. Ini secara tidak langsung pemupukan nilai-nilai murni di kalangan murid-murid.

3.Menggunakan kaedah tunjuk cara


Kaedah tunjuk cara adalah satu cara untuk melatih murid memerhati dan melakukan sesuatu aktiviti mengikut prosedur. Ia melibatkan demonstrasi guru atau seseorang individu untuk menunjukkan demonstrasi atau aktiviti. Melalui kaedah ini dapat juga meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk menjalankan sesuatu aktiviti.


4.Main sambil belajar


Teknik ini merupakan aktiviti yang dijalankan secara spontan dan menyeronokkan yang membawa kepada pembelajaran. Main adalah ekspresi yang kreatif dan pembelajaran dan perkembangannya paling jelas pada peringkat kanak-kanak. Perlu diingat bahawa kanak-kanak suka akan permainan dan menyeronokkan. Jadi guru perlu membina suatu kaedah atau modul yang menyeronokkan. Ia secara tidak langsung dapat menarik minat murid dalam belajar sambil bermain. Rangsangan ini penting bagi menyuntik semangat dan motivasi belajar kesan dari keseronokan bermain. Antara jenis permainan dalam pengajaran ialah permainan fizikal dan permainan bahasa.

5. Gabung jalin pelajaran dengan muzik

Kaedah ini dikatakan mampu membantu kanak-kanak berkeperluan khas supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi dengan menggabungkan pengajaran dengan muzik, nyanyian dan tarian. Contohnya kanak-kanak autisme mempunyai bakat mereka tersendiri. Dengan kaedah ini murid-murid akan berasa seronok menjalani sesi pengajaran.

6. Kaedah pemudahcaraan

Kaedah ini lebih menitikberatkan kepada murid dimana guru berperanan sebagai fasilitator. Ia berfungsi untuk mendidik, menolong kana-kanak memujuk, mengukuh untuk mencapai matlamat pembelajaran yang dirancangkan. Melalui cara ini guru dapat menggalak murid supaya aktif dalam proses pembelajaran dengan memberi arahan dan panduan dengan jelas. Dalam hal ini guru adalah berperanan utama untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran murid itu sendiri.

Kesimpulannya, murid-murid pendidikan khas ini perlu dibelai dengan kasih sayang. Mereka juga mempunyai perasan dan keistimewaan sendiri. Kita sebagai orang di sekeliling perlu menyokong padu untuk memastikan mereka dapat hidup dengan selesa dan sempurna.

RUJUKAN


Al-Bukhari, M. i. (2009). Shohih al bukhari. Saudi Arabia: Saudi Arabia international library.


Ghafar, M. N. (2006). Bias Pengajaran Guru dalam pelajaran khas dan pelajaran normal. Sabah: Annual Conference on Teacher Education.


MuhammadAmiro Safwan Mohd Kamil. (Cetakan ketiga 2016). Al Quran Al Karim terjemahan dan tajwid berwarna. Shah Alam, Selangor: Karya Besatari Sdn.Bhd.

Ditulis oleh Quszaini bin Abd Manan

Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.

Leave a comment