Kepentingan menguasai ilmu penyelesaian harta pusaka (Faraidh) terhadap pelajar sekolah

PENGENALAN


Harta pusaka ialah sesuatu yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia, sama ada dalam bentuk harta benda atau hak yang akan diwarisi oleh waris.Islam menegaskan bahawa urusan harta perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin supaya tidak berlaku masalah kepada waris selepas berlaku kematian. Namun begitu, sikap memandang ringan terhadap urusan harta pusaka, telah menyebabkan umat islam mengalami kerugian kerana harta yang ditinggalkan oleh si mati, tidak dituntut atau menghadapi masalah untuk dituntut (Jasni Sulong, 2019) . Firman Allah SWT dalam surah An Nisa’ ayat 11 yang bermaksud: ” Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai dua anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja , maka bahagiannya ialah seperdua(separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya : seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati,Jika si mati mempunyai anak.Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik beradik) maka bahagian ibunya seperenam.Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorangmaka mereka bersekutu dalam pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya wasiat -wasiat yang betul hendaknya tidak mendatangkan mudarat kepada waris. (Tiap-tiap satu hukuman itu)ialah ketetapan dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui , lagi Maha Penyabar” (Surah An Nisa’:12).


KEPENTINGAN

  1. Ilmu faraid adalah salah satu daripada cabang ilmu fiqh yang sangat diambil berat dan dipandang tinggi dalam Islam. Rasululullah s.a.w sangat menuntut kita mempelajari ilmu faraid dan tidak mengabaikannya. Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Pelajarilah faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia. Sesungguhnya aku adalah manusia yang akan digenggam (diwafatkan) dan sesungguhnya ilmu tersebut akan digenggam (dicabut)dan nanti akan timbul fitnah-fitnah, sehingga nanti apabila dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara kedua-duanya.” (Riwayat al Nasa’ie).
  2. Faedah mempelajari ilmu faraid adalah seperti berikut:
    2.1 Mendidik waris supaya tidak bersikap tamak haloba dan merampas hak orang lain 2.2 Tuntutan fardhu Kifayah kepada umat islam supaya ilmu ini tidak dilupakan.
    2.3 Menyegerakan agihan harta pusaka dan membuat perancangan harta semasa hidup.
    2.4 Menghidarkan salah faham dan mengelakkan terputusnya hubungan silaturrahim.
    2.5 Mengelakkan waris atau sesiapa sahaja memakan harta secara haram. (Hisyam & Mohamad, 2019)

Laporan menunjukkan angka dan nilai harta ringgit; meningkat yang dibekukan dan tidak dituntut meningkat setiap tahun. Pada tahun 2007,jumlah harta yang dibekukan dan tidak dituntut bernilai 40 bilion, meningkat kepada 52 bilion pada tahun 2014, meningkat kepada 60 bilion ringgit pada tahun 2016 dan terus meningkat kepada 90 bilion pada tahun 2021 (Ali, 2021) . Sembilan puluh peratus daripada harta yang dibekukan ialah milik orang Islam. Dari fakta ini menunjukkan bahawa berlaku banyak harta umat Islam terbiar dan tidak dipindah milik kepada waris yang berhak. Kegagalan mengagihkan harta kepada waris dalam tempoh yang singkat menyebabkan berlaku kerugian besar kepada ahli-ahli keluarga dan juga kepada ekonomi umat Islam.


Allah S.W.T. telah mengingatkan manusia supaya tidak meninggalkan harta melainkan telah diuruskan dengan baik sebagaimana firman Nya dalam surah al -Baqarah ayat 180 bermaksud: Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia)membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara baik(menurut peraturan agama)sebagai suatu kewajipan ke atas orang-orang bertaqwa (Al Quran al Karim Tafsir Pimpinan Ar Rahman) . Ayat 180, surah Al Baqarah menegaskan bahawa harta yang ditinggalkan wajib diuruskan dengan segera dan diberikan haknya kepada ahli waris. Malangnya, terdapat sesetengah orang yang berfahaman salah, beranggapan tidak sesuai harta diuruskan dengan segera kerana bimbang akan dikatakan tamak ahli waris.

Pengurusan harta hendaklah dibuat jelas dan bertulis supaya tidak timbul salah faham dan keraguan ahli waris terhadap harta-harta yang dihibahkan, diwasiatkan dan diwakafkan (Abdullah, 2022). Ahli waris juga perlu diberitahu tentang peranan penama dan pemegang amanah bagi harta-harta si mati agar harta tersebut tidak disalahgunakan atau diambil dengan cara yang bukan haknya.


Penyelesaian harta pusaka perlu diberi perhatian serius dan perlu diutamakan dan sebaik- baiknya semasa hidup. Terdapat beberapa perkara penting yang boleh dilakukan dalam isu penyelesaian harta pusaka ini antaranya adalah:

Pertama : Mempertingkatkan kesedaran dan pengetahuan umum berkaitan harta pusaka, wasiat, hibah. Waqaf dan sebagainya.

Kedua : Sekiranya timbul kebimbangan terhadap harta pusaka yang tidak dimanfaatkan oleh ahli waris dan pihak pihak berkenaan selepas kematian, maka buatlah perancangan harta yang bijaksana melalui hibah, wasiat, wakaf dan sebagainya.

Ketiga : Masjid, surau, pejabat, institusi, persatuan dan badan-badan belia, menganjurkan secara meluas dan berkala program penerangan pengurusan harta pusaka kepada anggota masyarakat melalui ceramah, tazkirah dan taklimat.

RUJUKAN:

Abdullah, L. H. (2022). Pengurusan Harta Menurut Islam. Kuala Lumpur: UM Press.
Al Quran al Karim Tafsir Pimpinan Ar Rahman. (n.d.).
Ali, H. M. (2021). RM90b Harta beku tidak dituntut. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.
Hisyam, M., & Mohamad, M. (2019). Faraid dan Perancangan Pewarisan Harta Beku. Kuala Lumpur: IKIM.
Jasni Sulong. (2019). Faraid A-Z. Kuala Lumpur: DBP.

Ditulis oleh Ustaz Quszaini bin Abd Manan

Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.

Leave a comment