PENGENALAN
Kini kita dalam fasa awal ramadhan.Pada tahun ini kita telah mula berpuasa pada 22 Mac 2023(Rabu) bersamaan 29 Syaaban 1444 H. Semestinya ibu bapa menghadapi kekangan mendidik anak yang baru belajar berpuasa. Bermacam kaedah dan cara yang perlu difikirkan oleh ibu bapa. Sekiranya betul kaedah dan caranya, sudah tentu ia memberikan suasana gembira kepada anak-anak.
Puasa (bahasa Arab:صوم)secara bahasanya boleh diertikan sebagai “menahan diri” . Dari segi istilah syarak, bermaksud “ Menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sidik sehingga terbenam matahari berserta niat”.
Semua umat islam diwajibkan berpuasa dalam bulan Ramadhan. Firman Allah S.W.T. : “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa..” -Surah al Baqarah:183).
Ibadat puasa dapat melatih disiplin dan ketahanan diri anak-anak. Ikuti beberapa panduan di bawah untuk mendidik anak-anak berpuasa.
- Menceritakan kepada anak-anak tentang kewajipan dan kepentingan bulan puasa supaya anak-anak mudah faham. Ini secara sendiri menjadikan anak-anak terbuka menerima dan berlapang dada untuk menunaikan amanah berpuasa di bulan ramadhan.
- Menyambut ketibaan bulan Ramadhan dengan membuat persiapan seperti menyediakan keperluan ibadat seperti songkok, telekung dan sejadah supaya anak-anak merasakan kemanisan ramadhan dalam diri mereka.
- Melatih anak-anak berpuasa beransur-ansur. Mulakan dengan beberapa jam dan kemudian beberapa hari mengikut tahap kemampuan anak. Ibu bapa/penjaga perlu terapkan dalam diri anak tentang ganjaran yang akan diperoleh apabila berpuasa. Manakala bagi anak kecil yang tidak berpuasa, raikanlah ketik berbuka dan bersahur.
- Melatih anak supaya menghidupkan bulan ramadhan dengan memperbanyakkan bacaan al Quran. Amalan bertadarus bersama guru dan keluarga juga digalakkan.
- Menjaga solat fardhu lima waktu dan menunaikan solat berjemaah dan bertarawikh di masjid.
- Mengingatkan anak-anak supaya memelihara kesempurnaan ibadah puasa dengan mengamalkan akhlak yang mulia dan menghindarkan diri dari kegiatan yang tidak berfaedah. Cuba melatih mereka dengan aktiviti bermanfaat di masa lapang.
Ditulis oleh Ustaz Quszaini bin Abd Manan

Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.