Bercerita tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu Sijil Vokasional Malaysia (SVM) di Kolej Vokasional (KV), guru-guru yang terlibat untuk mendidik pelajar-pelajar ini terutamanya dalam bidang akademik sememangnya mempunyai pelbagai cabaran dan rintangan bagi memastikan refleksi pembelajaran dapat dicapai sepenuhnya. Namun begitu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Itulah kata-kata pujangga dan penguat semangat buat semua guru di KV terutamanya guru Kolej Vokasional Batu Lanchang bagi memastikan pelajar-pelajar dapat menguasai pembelajaran bidang akademik dengan baik terutamanya dalam mata pelajaran akademik Bahasa Melayu.
Kita sedia maklum bahawa penguasaan kemahiran menulis yang kurang memberangsangkan boleh menyebabkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran akademik Bahasa Melayu secara khususnya akan terjejas (Yusfaiza Yusuff & Mohd Isha Awang, 2012). Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar ini perlu sentiasa dibimbing dan mendapatkan galakan sepenuhnya daripada para guru untuk terus berusaha dan mempelbagaikan kaedah pembelajaran terutamanya dalam bidang penulisan karangan . Oleh itu, seseorang guru berperanan besar bagi memastikan suasana serta gaya pengajaran guru bersifat releven dan bersesuaian dengan bentuk kefahaman dan pengetahuan pelajar (Khalip & Hariza, 2015). Hal ini boleh diumpamakan seperti usaha tangga kejayaan kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Gambar 1 : Cikgu Nurul Menyemak Latihan Penulisan Karangan Pelajar Tahun 1 SVM.
Berdasarkan Kurikulum Standard KV (KSKV) bahasa Melayu yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), pelajar-pelajar SVM KV masih meneruskan pembelajaran yang digarispanduankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Antara bahan rujukan utama pelajar-pelajar SVM KV ialah buku teks Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Kedua-dua buku ini menjadi wadah utama guru bahasa Melayu untuk merujuk dan menjadikan panduan dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran di samping penggunaan buku rujukan dan modul yang dihasilkan.
Menyedari hakikat bahawa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pelajar-pelajar SVM di KV masih termaktub di bawah penilaian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), pelbagai kaedah pengajaran perlu diterapkan secara kreatif dan inovatif oleh tenaga pengajar. Hal ini demikian kerana, penulisan karangan adalah salah satu silibus wajib yang perlu dipelajari oleh pelajar SVM di KV. Hal ini kadangkala mencetuskan “perang dingin” antara guru dan pelajar kerana guru perlu “mengejar” anak-anak pelajar yang cuba “melarikan” diri daripada menyelesaikan tugasannya untuk menulis karangan.
Gambar 2 : Pelajar Tahun 2 SVM Membuat Latihan Penulisan Karangan.
Tidak hanya mengharapkan pelajar, guru-guru juga perlu memikirkan kaedah dan teknik yang lebih mesra kepada pelajar sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini sesuai dengan pendapat (Safiah binti Harun & SafiahHarun, 2016), bahawa guru perlu menggayakan cara berfikir dengan perlu lebih kreatif, inovatif, berfikiran kritikal ketika membuat sebarang keputusan. Hal ini telah mencetuskan idea dan satu kaedah yang boleh diaplikasikan dalam penulisan karangan. Antaranya ialah kaedah formula. Kaedah ini membolehkan pelajar menghurai dengan lebih meluas isi-isi karangan. Formula yang diterapkan dalam pemikiran anak-anak pelajar ini adalah dengan mencipta akronim yang mudah diingat dan diguna pakai. Hal ini seiring dengan prinsip teori konstruktivisme iaitu guru berperanan sebagai perancang aktiviti, dan pemudah cara bagi mendorong pelajar menggunakan minda secara aktif, kritis, kreatif dan inovatif (Ikhsan & Ahmad, 2014).
Kaedahnya adalah dimulakan dengan formula K A C U F untuk perenggan pendahuluan karangan. Keterangannya adalah seperti berikut:
K – Keadaan negatif/positif (ceritakan kedaan semasa tentang isu karangan dalam stimulus).
A – Akhbar / media massa / poster / laman web (nyatakan ulasan).
C – Contoh (berikan contoh yang berkaitan dengan isu karangan).
U – Ungkapan / pendapat tokoh / peribahasa / simpulan bahasa.
F – Fokus soalan (nyatakan fokus dan tugasan soalan).
Keterangan Formula Menghurai Perenggan Pendahuluan
Kerangka Pasang Siap Menulis Perenggan Pendahuluan
Seterusnya, formula A M A C AP untuk perenggan menghurai isi karangan. Keterangannya adalah seperti berikut:
A – Apakah isi penting (nyatakan isi penting).
M – Mengapa (nyatakan mengapakah isi penting itu diperlukan/ berlaku).
A – Akibat (nyatakan akibat yang berlaku – boleh selitkan peribahasa/ungkapan).
C – Contoh (berikan contoh yang berkaitan dengan isi penting).
AP – Ayat penyimpul (simpulkan isi penting dan nyatakan harapan yang berkait dengan isi).
Keterangan Formula Menghurai Perenggan Isi
Kerangka Pasang Siap Menulis Perenggan Isi 1
Kerangka Pasang Siap Menulis Perenggan Isi 2 dan 3
Akhir sekali, untuk menulis perenggan penutup, formula C A K U H diperkenalkan. Keterangannya adalah seperti berikut:
C – Cadangan memantapkan isu (guna kata kunci hendaklah, perlulah, mestilah).
A – Akibat daripada cadangan (usaha) memantapkan isu (akibat baik/faedah/ kebaikan/manfaat).
K – kesan buruk / kesan negatif jika tidak dilaksanakan (usaha) tersebut.
U – Ungkapan (kaitkan dengan peribahasa/ simpulan bahasa/ slogan/ pendapat tokoh).
H – Harapan (guna kata kunci agar/ supaya).
Keterangan Formula Menghurai Perenggan Penutup
Kerangka Pasang Siap Menulis Perenggan Penutup
Gambar 3: Kaedah Inovasi – Penanda Buku Sebagai Bahan Bantu Mengajar.
Gambar 4: Penerangan Dari Kumpulan Inovasi – Penanda Buku Formula Menghurai Karangan.
Gambar 5: Ujian Formatif Dilaksanakan Bagi Mengukur Keberkesanan Kaedah Formula.
Imbas Kod QR Untuk Dapatkan Penanda Buku Formula Menghurai Karangan Pilihan
Secara kesimpulannya, penyerapan kaedah formula seperti ini mampu mengubah persepsi anak-anak pelajar tentang sukarnya menulis karangan. Kaedah ini bukan sahaja menjadi bahan bantu mengajar para guru, malah dapat meningkatkan kreativiti menulis karangan serta bertindak sebagai motivasi pelajar untuk menulis karangan dengan lebih baik. Berdasarkan percambahan minda tersebut, kemahiran menulis karangan amat perlu dikuasai oleh pelajar kerana melalui penulisan inilah pelajar boleh menyampaikan perasaan dan pendapat (NG & AMRAN, 2021). Segala idea dan olahan secara kreatif akan hadir dengan meluasnya jika latihan demi latihan sentiasa dipraktikkan oleh para pelajar. Untuk menghasilkan sebuah penulisan karangan yang baik, para pelajar perlu banyak membaca supaya hasil penulisan karangan mereka lebih bermakna. Lantaran itu, guru merupakan tonggak utama untuk memastikan proses pendidikan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya, sentiasa berkualiti dan bertanggungjawab untuk meningkatkan prestasi pelajar terutamanya dalam bidang penulisan karangan supaya lebih menarik dan efektif demi meningkatkan prestasi penulisan pelajar (Mahamod & Somasundram, 2017).
Rujukan
Ikhsan, S. A. H., & Ahmad, S. (2014). Kontrak Sosial Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Lisan: Tinjauan Terhadap Perspektif Pelajar. Procedia – Social and Behavioral Sciences, 134. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2014.04.249
Khalip, M., & Hariza, Abd. H. (2015). Kemahiran interpersonal guru dan hubungan dengan pencapaian akademik pelajar. Jurnal Pendidikan Malaysia, 40(2).
Mahamod, Z., & Somasundram, B. (2017). Effectiveness of Cooperative Learning on the Achievement and Motivation of the Student in Learning Malay Language. Creative Education, 08(15). https://doi.org/10.4236/ce.2017.815167
NG, C. W., & AMRAN, M. S. (2021). Pembelajaran Menggunakan Kaedah Koperatif ‘Stay and Stray’ Terhadap Kreativiti dan Motivasi Penulisan Bahasa. Sains Insani, 6(2). https://doi.org/10.33102/sainsinsani.vol6no2.278
Safiah binti Harun, & SafiahHarun. (2016). Pelajar bahasa melayu dalam kelas inklusif: Satu kajian kes. Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 10.
Yusfaiza Yusuff & Mohd Isha Awang. (2012). Aplikasi pembelajaran jigsaw ii dalam pengajaran penulisan bahasa melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2.
Ditulis oleh Nurul Aini Binti Mohd Yunus

Beliau merupakan guru Bahasa Melayu yang berasal dari negeri Perak. Namun, telah mendapat pekerjaan sebagai guru Bahasa Melayu di Pulau Pinang bermula pada tahun 2007 sehingga kini. Cikgu Nurul telah mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak. Penempatan pertama Cikgu Nurul adalah di Kolej Vokasional Balik Pulau, Pulau Pinang selama 11 tahun dan kini telah mengajar di Kolej Vokasional Batu Lanchang, Pulau Pinang. Beliau pernah aktif melibatkan diri menjadi hakim dalam pertandingan Kokurikulum Akademik. Juga, merupakan seorang pengacara majlis rasmi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di peringkat Zon KVSMT. Kini, beliau bergiat aktif dengan pertandingan inovasi dalam memartabatkan mata pelajaran akademik Bahasa Melayu di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.