Memperkasakan kemahiran murid berkeperluan pendidikan khas melalui subjek kemahiran vokasional spesifik (refleksologi kaki, tangan, dan telinga)

Kurikulum Pendidikan Khas memainkan peranan penting dalam membantu  murid-murid yang luar biasa dalam menghadapi cabaran dalam pembelajaran  sehinggalah memasuki alam pekerjaan. Setiap individu perlu membuat keputusan  mengenai kerjaya. Mereka perlu menyesuaikan masalah yang berkaitan dengan  pemilihan kerjaya kerana kerjaya merupakan kegiatan utama dalam menentukan cara  serta gaya hidup seseorang. Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompleks,  pemilihan kerjaya telah menjadi masalah utama. Dalam hal ini, pemilihan kerjaya  melibatkan tiga perkara, iaitu mengenal potensi diri, mengenal dunia pekerjaan dan  menyesuaikan kemahiran diri dengan peluang pekerjaan. 

Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun 2017 bagi menggantikan  Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah yang mula dilaksanakan pada tahun 1988.  KSSM Pendidikan Khas digubal bagi memenuhi keperluan dasar baharu di bawah  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mahu  meningkatkan standard kandungan dan standard pembelajaran supaya setanding  dengan standard antarabangsa, serta memastikan kurikulum yang sesuai dan relevan  disediakan bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK). 

Kumpulan mata pelajaran kemahiran terdiri daripada mata pelajaran asas kemahiran dan kemahiran vokasional spesifik. Mata pelajaran asas kemahiran berhasrat menghasilkan MBK yang berpengetahuan dan berkemahiran teknikal, mengamalkan budaya kerja sistematik dan selamat, dan bersedia menguasai kemahiran vokasional spesifik di tahap yang lebih tinggi serta mengamalkan sikap keusahawan. Elemen transisi ke kerjaya turut diterapkan dalam semua mata pelajaran sejak awal pembelajaran di sekolah menengah sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan keterampilan MBPK ke arah kehidupan berkerjaya. Penyediaan  kurikulum mata pelajaran kemahiran vokasional spesifik adalah berpandukan National  Occupational Skills Standards (NOSS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan  

Kemahiran. Usaha ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan  Malaysia (KPM) agar MBPK turut mendapat pengiktirafan dari agensi luar di samping  pensijilan oleh KPM, dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran MBPK. 

Salah satu subjek kemahiran vokasional spesifik yang dilaksanakan adalah subjek Refleksologi Kaki, Tangan Dan Telinga. Subjek kemahiran ini dapat memberi  peluang kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) untuk memperoleh  ilmu dan latihan kemahiran yang berkaitan dengan pekerjaan sesuai dengan kekurangan mereka. Subjek kemahiran vokasional spesifik untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ini lebih fleksibel, berfokus, menarik dan bersesuaian  dengan keupayaan serta kebolehan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran.  Oleh itu, subjek vokasional spesifik ini sangat sesuai untuk Murid Berkeperluan  Pendidikan Khas (MBPK kerana ianya dapat membantu murid tersebut untuk  memperolehi kemahiran-kemahiran yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan 

untuk hidup berdikari. Tambahan pula, setelah menamatkan sesi Latihan dalam  bidang Refleksologi kaki, tangan dan telinga , murid yang terampil layak  dianugerahkan sijil kemahiran Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan  Kemahiran Malaysia mengikut tahap-tahap kemahiran yang diperolehi. 

Subjek kemahiran vokasional spesifik dilaksanakan bertujuan untuk  menyediakan murid yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam  menghasilkan rawatan refleksologi dengan mengamalkan budaya kerja yang  sistematik, selamat, berdikari dan berupaya untuk meningkatkan kemahiran ke tahap  yang lebih tinggi supaya menjadi penyumbang tenaga kerja dalam industri  refleksologi. 

RAJAH 1 :Murid melaksanakan aktivti amali refleksologi kaki bersama guru 

RAJAH 2 : Murid melaksanakan sesi ujian penilaian amali refleksologi kaki 

RAJAH 3 : Murid melaksanakan aktivti amali refleksologi tangan bersama guru 

RAJAH 4 : Murid melaksanakan aktivti amali  refleksologi telinga bersama guru

RAJAH 5 : Murid melaksanakan aktivti “On Job Training” sebagai persediaan sebelum penilaian akhir SKM

Murid Berkeperluan Khas Pendidikan (MBPK) yang mengambil subjek  kemahiran vokasional spesifik refleksologi kaki, tangan dan telinga ini berpeluang  untuk mengenali kerjaya dalam industri refleksologi, mengenal pasti fungsi  refleksologi; mengenal pasti jenis urutan refleksologi, memilih dan menggunakan  bahan dalam urutan, mengamalkan kebersihan dan keselamatan semasa bekerja, dan mengamalkan nilai murni dan berkomunikasi dengan baik dan berterusan. 

Ditulis oleh Arifin bin Jolis

Cikgu Arifin Bin Jolis merupakan seorang guru Pendidikan khas di SMK  Selayang Bharu, Gombak Selangor. Berpengalaman selama 7 tahun dalam subjek  kemahiran refleksologi dan telah memenangi beberapa anugerah inovasi dalam  bidang kemahiran ini. 

Leave a comment