Pembimbing Rakan Sebaya Melahirkan Pemimpin Muda Berwibawa

Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah memainkan peranan yang penting dalam sistem pendidikan di negara kita. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling telah diperluaskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa sesuai dengan perubahan masa serta landskap pendidikan. Hakikatnya, peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) di sekolah sudah semestinya lebih mencabar sejajar dengan perkembangan era pendidikan global dan digital yang tiada sempadan.

Selain menawarkan khidmat bimbingan dan kaunseling, GBK juga menjalankan sesi konsultasi keibubapaan, psikopendidikan, khidmat kunjung bantu serta menjalinkan kolaborasi dengan pelbagai agensi untuk menjayakan program yang memberi manfaat kepada pihak sekolah khasnya kepada murid-murid. Jelaslah bahawa perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bukan hanya terhad kepada murid semata-mata malah memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah, pihak ibu bapa, penjaga, komuniti setempat dan rakan strategik sekolah yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan swasta.

Pelaksanaan Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di bawah seliaan Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah telah mula diperkenalkan di sekolah-sekolah secara tidak formal melalui projek perintis “Kaunselor Sebaya” yang dikendalikan oleh Allahyarhamah Prof. Madya Zuraidah Binti Abdul Rahman, Ketua Jabatan di Institut Aminuddin Baki pada tahun 1986.

Melalui program ini, murid yang berkebolehan akan menjalani proses saringan dan temu duga serta dipilih, dilatih serta ditauliahkan untuk mengemudi khidmat bantu dalam kalangan murid. Khidmat bantu murid merupakan satu khidmat sokongan yang penting dalam Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling kerana murid lebih selesa mencurah perasaan dengan rakan sebaya berbanding orang yang lebih dewasa daripada mereka. Murid yang terlatih dalam kemahiran asas menolong dapat membantu rakan dan sekaligus memantapkan lagi keberkesanan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah. Di samping itu, khidmat bantu dalam kalangan murid dapat mengasah bakat kepimpinan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran dalam perhubungan sesama manusia. Ahli PRS yang terlatih juga didedahkan dengan kemahiran asas kaunseling seperti kemahiran mendengar, kemahiran menyoal, kemahiran melayan dan sebagainya.

PRS merupakan murid yang telah dilatih dalam bidang kemahiran asas komunikasi dalam kaunseling. Mereka berfungsi sebagai rakan yang berkesan dalam memberi pertolongan. Mereka bukanlah penyelesai masalah namun, merupakan pendengar yang peka kepada perasaan rakan, mengambil berat dan berminat untuk memberi khidmat kepada rakan apabila diperlukan.

Sejajar dengan falsafah PRS iaitu “Bantu Diri untuk Membantu Orang Lain”, antara peranan utama ahli PRS adalah sebagai perantara antara rakan sebaya dan GBK. Ahli PRS yang terlatih akan mendekati rakan sebaya yang memerlukan bimbingan dan dorongan psikososial serta merujuk rakan sebaya kepada GBK untuk makluman dan tindakan selanjutnya.

Selain itu, GBK juga memainkan peranan penting bagi memastikan ahli PRS mendapat bimbingan dan latihan melalui Modul PRS Kebangsaan, bengkel, kursus yang bersesuaian serta membuat pemantauan berterusan agar PRS lebih berdedikasi dalam menjalankan perkhidmatan khidmat menolong. Bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan PRS di sekolah, GBK perlu sentiasa memberi ruang dan peluang serta pendedahan kepada ahli PRS untuk mengembangkan potensi serta bakat kepimpinan murid melalui aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan lawatan penanda aras ke sekolah lain untuk saling berkongsi amalan terbaik demi kemenjadian diri secara seimbang.

PRS juga mempunyai senarai tugas yang perlu diikuti, etika yang perlu dipatuhi dan tanggungjawab yang perlu dipikul seperti yang digariskan dalam buku panduan Buku Panduan Pengurusan Pembimbing Rakan Sebaya Sekolah Rendah Dan Menengah Malaysia. Bimbingan dan tunjuk ajar serta seliaan guru sentiasa dilaksanakan bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan PRS sentiasa relevan dengan keadaan semasa. Selain itu, ianya juga adalah untuk memastikan PRS diurus dengan berkesan dan dapat menjamin kesejahteraan dan memberi impak yang positif kepada emosi murid sekolah.

Secara keseluruhan, sejajar dengan matlamat PRS bantu diri untuk membantu orang lain akan dapat melahirkan pemimpin yang berketerampilan yang peka terhadap perasaan orang lain dan mengutamakan budaya kasih sayang dan sekaligus mewujudkan rasa tanggung jawab terhadap kesejahteraan emosi dan minda serta iklim yang sihat dalam kalangan murid dan sekolah. Minda yang sihat dalam kalangan warga sekolah sudah pastinya akan mewujudkan Murid yang Ceria, Guru Bahagia dan Sekolah Bitara, Negara Sejahtera.

Ditulis oleh DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN dan MAJANI BINTI HOSSEN

Cikgu Dayang Rafidah merupakan seorang guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa di SMK Padawan, Sarawak.

Puan Majani bin Hossen merupakan Ketua Nazir Cawangan Miri.

Leave a comment