Berdasarkan Statistik daripada Laman Web Rasmi AADK Kebangsaan, walaupun trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja yang berusia 13 – 18 tahun semakin menurun namun, isu ini masih wujud dan perlu diambil perhatian sebelum menjadi lebih membimbangkan.
Program PPDa atau Kes Khas yang melibatkan penyalahgunaan dadah termasuk dalam salah satu daripada fokus utama dalam perkhidmatan Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah (UBK) iaitu dalam bidang Pengurusan Disiplin dan Sahsiah Murid. Program PPDa mula diperkasakan secara meluas merentas Kurikulum di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui jaringan strategik bersama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Majlis Daerah dan sebagainya.
GBK berperanan untuk menyebar luas jaringan kerjasama bersama semua pentadbir, Ketua-ketua bidang dan Ketua-ketua Panitia Mata Pelajaran untuk memberi sokongan dalam usaha menyebarkan maklumat dan informasi hidup sihat dan bahagia tanpa dadah melalui aktiviti penulisan karangan, pertandingan buku skrap, kuiz, poster anti dadah dan sebagainya sebagai usaha ke arah kesejahteraan murid.
Penyertaan dan sokongan terhadap aktiviti kokurikulum khususnya dalam bidang ko-akademik misalnya melalui pengajuran kem kepimpinan Pengawas, Kelab Skim Lencana Anti Dadah (SLAD), Kelab Bimbingan & Kerjaya serta pemerkasaan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) juga dilihat membantu perkembangan positif murid-murid bagi membina resilien dan jati diri kukuh untuk mendepani isu dan cabaran masa kini.
Tidak ketinggalan juga, peranan rakan kolaboratif juga sangat penting dalam usaha mendepani isu penyalahgunaan dadah. Misalnya, di peringkat sekolah, pihak UBK bekerjasama dengan semua pentadbir sekolah, PIBG serta komuniti setempat untuk menjayakan aktiviti PPDa peringkat sekolah. Antara program pencegahan umum yang dijalankan sepanjang tahun adalah seperti Mesej 5 Minit Anti Dadah, Sambutan Hari / Bulan Anti Dadah, Lorong / Sudut PPDa serta kempen Anti Dadah peringkat sekolah.
Penyertaan anggota PIBG dan komuniti setempat memainkan peranan penting bagi menyokong aspirasi KPM untuk menjayakan misi “Sekolah Bebas Dadah” kerana segalanya bermula dari rumah. GBK juga seharusnya lebih kreatif dalam menggunakan pelbagai platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Youtube Channel, Twitter dan sebagainya untuk menyebarluas informasi berguna dalam membanteras isu penyalahgunaan dadah.
Di Sarawak khususnya, pihak PEMADAM Negeri Sarawak aktif dalam menyokong usaha pihak sekolah untuk menjalankan aktiviti PPDa dan menyalurkan dana melalui PPD untuk menghias lorong-lorong Anti Dadah dan usaha yang memberi manfaat kepada semua murid. Secara ringkasnya PEMADAM berperanan mendidik orang ramai mengenai bahaya dadah melalui rancangan pencegahan, pendidikan dan penerangan. Seterusnya, mengumpul dan menyampaikan pandangan pakar mengenai dadah melalui penganjuran seminar, dialog, forum serta kursus berkaitan. Di samping itu juga, pihak PEMADAM membantu dalam penyediaan khidmat kaunseling serta bekerjasama dengan pebagai agensi bagi mencegah isu-isu berkaitan dadah.
Pihak AADK juga memainkan peranan yang sangat penting bagi memberi sedikit informasi mengenai rawatan dan pemulihan dadah melalui Program Saringan Urin, Ceramah Anti Dadah dan Kem S.H.I.E.L.D.S (Kem Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya). Program Jom ke Sekolah juga dilihat usaha yang baik bagi memberi sokongan kepada murid untuk hadir ke sekolah dan menjaga keselamatan diri sepanjang masa. Kerjasama pihak KKM dengan KPM juga dilihat sebagai satu usaha murni iaitu saling bekerjasama dalam menangani isu kesihatan mental melalui Program Saringan Minda Sihat bagi membantu GBK merangka pelan intervensi dan merujuk murid yang memerlukan bantuan lanjut kepada fasiliti kesihatan terdekat.
Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan untuk membanteras isu penyalahgunaan dadah di peringkat sekolah.
Ditulis oleh Dayang Rafidah dan Munawwar Ismail

Dayang Rafidah merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa / Guru SPADA (Specialty in Alcohol and Drug Abuse) dari SMK Padawan, Sarawak

Encik Munawwar Ismail merupakan Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid (PPDa) dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan merupakan Setiausaha Eksekutif PEMADAM Sarawak.