MEMBINA KEYAKINAN DAN POTENSI MURID BERKEPERLUAN PENDIDIKAN KHAS MELALUI PAMERAN SENI

Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memberi kesedaran kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) untuk terus menyerlah dalam sesuatu bidang yang diceburi. Golongan istimewa ini harus bangkit membuktikan kemenjadian mereka setanding dengan masyarakat umum.


Penglibatan MBPK dalam aktiviti pameran seni ialah satu medium terbaik bagi meningkatkan tahap keyakinan diri berhadapan dengan orang ramai. Di samping itu, aneka karya yang dihasilkan oleh mereka seperti kaligrafi, catan dan anyaman dapat disebarluas kepada segenap lapisan masyarakat.

Pameran mini kaligrafi Islam Khat Kufi yang dihasilkan oleh murid-murid Pendidikan khas SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sungai Siput, Perak.

Pendedahan tentang bakat dan kemenjadian MBPK dapat membuka mata masyarakat akan potensi golongan tersebut. Orang ramai akan lebih peka dan cakna tentang kewujudan dan keunikan hasil tangan anak istimewa. kelebihan ini mendorong kepada kebolehpasaran produk yang dihasilkan oleh MBPK.


Setiap karya atau aktiviti seni yang dilakukan memerlukan bimbingan dan sokongan daripada semua pihak bukan sahaja pihak sekolah dan ibu bapa semata-mata malah ahli masyarakat juga. Mereka perlu memiliki satu hala tuju ke arah peluang kerjaya.


Penglibatan mereka dalam aktiviti pameran seni sama ada di peringkat sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri mahupun agensi luar secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat. Demonstrasi kaedah menghasilan karya seni yang dilakukan sendiri oleh mereka membantu membina keyakinan diri dan berinteraksi dengan pengunjung. Kelebihan ini sekaligus meningkatkan kemahiran sosialisasi MBPK.

Muhammad Shahril Adlin dan Muhammad Shah Indra menunjukkan kaedah penghasilan seni khat kufi dengan menggunakan kain felt.

Produk seni yang dihasilkan oleh MBPK boleh memberi pulangan yang lumayan jika berada pada cara dan landasan yang betul. Sesiapa sahaja pasti akan teruja dan yakin pada diri sekiranya hasil kerja kita mendapat pujian, penghargaan dan dibeli oleh orang lain. Keterujaan mereka ini akan memberi impak positif dalam proses memajukan diri dan menggilap potensi yang dimiliki dalam bidang seni dengan lebih giat.

Tambahan pula, nilai sesebuah karya seni dalam pasaran boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit. Ia bergantung kepada mutu, keunikan dan nilai estetika karya yang dihasilkan. MBPK harus membuktikan air tangan mereka mempunyai standard yang boleh dibanggakan. Potensi mereka wajar diserlahkan dalam aktiviti pameran sebegini agar dapat melahirkan MBPK yang hebat di samping membuka peluang ke kerjaya apabila sudah tamat persekolahan kelak.

Hasil karya MBPK yang dipamerkan semasa Perak Special Education Day : Stand Together Perak Sejahtera 2030 yang berlangsung di Hotel Towel Regency, Ipoh.

Shahrul Fitri dan Muhammad Alif Idham semasa sesi pameran di Universiti Teknikal Melaka, Malaysia.

Cikgu Saifullah bersama Muhammad Adam semasa mengikuti pameran seni sempena Special Education International Conference di Putrajaya Marriot Hotel.

Ditulis oleh Mohd Saifullah bin Abd Rahim

Mohd Saifullah bin Abd Rahim berasal dari Hulu Kinta, Perak. Mendapat pendidikan ijazah sarjana muda dalam bidang sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian menyambung pengajian ikhtisas Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dalam bidang Pendidikan Khas (Pembelajaran) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Berkhidmat di SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sungai Siput (U), Perak. Berpengalaman mengajar murid berkeperluan pendidikan khas selama 13 tahun. Pernah terlibat sebagai hakim dalam pertandingan NILAM, kaligrafi Islam, bercerita kisah nabi, nasyid, gerak kreatif dan tarian tradisional. Beliau juga terlibat dalam penulisan buku latihan tambahan bahasa Melayu Sekolah Rendah, Antologi puisi dan anekdot serta sumbangan bahan sastera di akhbar tempatan.

Leave a comment