Guru adalah role model bagi murid

 “Ibu, tadi cikgu syikin pesan, kalau ayah dan ibu balik rumah dari kerja picitlah kaki dan kepala ayah dengan ibu.”  

“Wow, pandainya anak ibu! jawab ibunya.” Kemudian si ibu dan ayah merasa seronok dan lega kerana penerapan nilai murni di sekolah telah berjaya diserap ke dalam diri anak mereka.

Pendidik terutama guru yang diberi kepercayaan untuk mengajar anak-anak penting baginya menonjolkan  suri teladan yang baik bagi mencorak anak menjadi manusia yang berakhlak mulia. Kanak-kanak belajar daripada orang dewasa dan otak anak-anak umpama span , cepat menyerap apa sahaja yang di ajar oleh orang dewasa. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda bawah sedar yang terbuka luas. Apa sahaja yang ada di depan mata akan diterima tanpa ada sebarang prejudis.

Pengaruh pendidik amat besar nilainya mampu memberi nilai murni dalam segala tindakan dan perlakuan . Guru bukan hanya bertanggungjawab ketika berada di bilik darjah tetapi kesannya adalah sepanjang kehidupan manusia itu sendiri. 

Guru yang memberi manfaat kepada anak murid akan mendorong pelajar itu menjadi orang bermanfaat kepada kehidupan, ia umpama ganjaran saham akan diterima guru itu. Jika guru mengabaikan tugasan membina akhlak mulia, guru berkenaan sebenarnya gagal sebagai seorang pendidik.

Kejayaan bagi seorang pelajar tidak boleh diukur hanya melalui kejayaan dalam peperiksaan, sebaliknya pelajar itu lebih berjaya sekiranya merasai kemanisan keperibadian yang mulia. Malah guru yang mengabaikan Pendidikan adab tatasusila dan akhlak, dengan menitik beratkan kepada kecemerlangan akademik semata-mata, tidak akan menjamin keseimbangan kejayaan kerana kejayaan dalam Pendidikan mesti seiring dengan keperibadian yang baik.

Kita semua pendidik yang bertanggungjawab mengajar dan belajar. Tidak kira ibu bapa, majikan, jiran tetangga, sahabat atau individu itu harus menjalankan peranan sebagai pendidik yang menjadi inspirasi kepada orang lain.

Jika kita pekerja sekalipun, harus selalu meningkatkan keperibadian diri dengan menyerlahkan sifat penyayang , pemaaf dan menghormati orang lain. Ini secara tidak langsung menjadi sumber Pendidikan bagi orang lain untuk mempunyai perilaku yang sama. 

Ramai guru yang mengajar, tetapi tidak mendidik. Dengan kata lain, hanya mengajar apa yang tertera di atas kertas. Bagi guru yang mempunyai jiwa mendidik akan selalu berusaha mendekati pelajarnya dengan nilai moral yang baik dan selalu memberi nasihat berguna kepada pelajarnya.

Untuk menjadi pendidik yang berkaliber, guru harus membuat transformasi dalam jiwanya yang bersifat lembut, berbicara dengan sopan, melayan anak murid seperti anak sendiri sudah tentu akan dapat melahirkan manusia yang baik budi pekerti serta dapat membina negara terdidik dengan sinaran akhlak yang tinggi.

Tambahan lagi, guru mempunyai pengaruh tinggi menentu tindak tanduk anak murid. Salah satunya sebagai motivasi kepada pelajarnya. Guru adalah persekitaran yang sangat berperanan dalam proses belajar dan meningkatkan motivasi pelajar dalam pelajaran tugas yang sangat penting bagi guru. 

Guru adalah pemberi nasihat dengan kasih sayang yang akan mempengaruhi tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah positif.  Guru seperti ini mampu memberi aura positif kepada pelajar yang tidak berminat kepada pelajaran kepada lebih baik sikap dan disiplin.

Kesimpulannya, Guru perlu memantapkan jati diri dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual dalam memastikan peranan serta tugasnya tidak tersasar daripada matlamat.

Ditulis oleh Quszaini bin Abd Manan

Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.

Leave a comment