Memperkasakan penguasaan konsep Matematik melalui kaedah MPPBL (Mini Project Phenomenon Based Learning)

Pendidikan masa kini merupakan pendidikan yang menekankan pengaplikasian konsep STEAM ke dalam penyelesaian masalah yang dihadapi untuk kesejahteraan global pada masa akan datang. Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik merupakan komponen yang tidak boleh diabaikan oleh setiap pendidik demi membentuk murid ke arah kecemerlangan berteraskan Visi KPM iaitu “Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Sekolah Sejahtera”. Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) merupakan pendidikan yang berupaya menyediakan murid yang berfikiran kreatif dan kritis di samping penerapan disiplin asas serta memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menjana idea baharu melalui penggunaan teknologi. 

Generasi murid yang berada di sekolah menengah merupakan generasi Z yang berada dalam zaman perkembangan teknologi yang semakin berkembang pesat, mereka seolah-olah tidak dapat terlepas daripada penggunaan gajet dan melayan aktiviti-aktiviti media sosial setiap masa. Berdasarkan perubahan yang drastik ini, murid zaman kini tidak seharusnya diajar secara teori sahaja tetapi perlu diajar tentang kemahiran untuk menghadapi perubahan yang semakin mendadak tahun demi tahun.

Berdasarkan perubahan dalam era pendidikan, kaedah PBL ( Problem Based Learning ) telah diterapkan dalam Matematik sejak awal lagi. Kaedah ini telah diubahsuai kepada PBL ( Projek Based Learning ) di mana murid diberi satu projek dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dengan menggabungkan kedua-dua kaedah ini, MPPBL ( Mini Project Phenomenon Based Learning) telah diperkenalkan untuk memperkasakan kedua-dua kaedah tersebut. 

Kaedah MPPBL merupakan satu kaedah PdPc yang diaplikasikan dalam kelas Matematik Tingkatan 4 & Tingkatan 5 di SMK Medamit, Limbang. Murid diberi satu projek mini yang melibatkan fenomena yang sedia ada di sekeliling mereka untuk diselesaikan oleh mereka secara bersama demi menjaga kesejahteraan komuniti sejagat atau untuk kegunaan murid pada masa akan datang. 

Dengan penggunaan kaedah MPPBL ini, murid berpeluang mengetahui fenomena yang ada di sekeliling mereka melalui temubual atau soal selidik. Murid akan mempelajari cara bergaul dengan orang awam dan meningkatkan keyakinan mereka bercakap di depan orang ramai. Selain itu, murid juga akan mengetahui lebih jelas tentang budaya komuniti dan menghormati agama serta bangsa orang lain. Data yang dikumpul akan dibuat analisis oleh murid dan terjemahkan data tersebut dalam bentuk jadual atau grafik. Kemahiran menganalisis data dalam kalangan murid akan ditingkatkan dengan adanya perbincangan dalam kumpulan melalui komunikasi Matematik. Murid akan mengaplikasikan konsep yang dipelajari dalam situasi yang sebenar berdasarkan data yang diperolehi secara kendiri. 

C:\Users\Win10\Downloads\Signups are open!.png

Rajah 1 : Pelajar mengumpul data fenomena sebenar di rumah panjang

Selain itu, murid juga dikehendaki menyelesaikan masalah yang dihadapi berdasarkan data yang diperolehi dengan mencipta atau mereka bentuk kaedah yang baharu untuk dicadangkan demi kegunaan sekolah atau kampung. Murid akan membentangkan hasil mereka sama ada dalam bentuk folio atau penulisan digital kepada pengurusan sekolah serta guru-guru subjek lain semasa pameran mini di dalam kelas. Murid-murid akan mempelajari banyak kemahiran setelah disoal atau dibimbing oleh guru-guru subjek lain seperti cara membuat pembentangan, cara mencari skop sasaran, cara menulis ayat dan sebagainya. Di samping itu, idea-idea yang bernas akan dicadangkan oleh guru-guru yang berpengalaman untuk memperbaiki kelemahan mereka. Penggunaan digital merupakan satu elemen yang diterapkan dalam kaedah MPPBL seiringan dengan perkembangan revolusi Industri 5.0. 

C:\Users\Win10\Downloads\Signups are open! (1).png

Rajah 2 : Pameran mini dalam kelas

C:\Users\Win10\Downloads\Signups are open! (2).png

Rajah 3 : Pembentangan murid untuk memperbaiki kelemahan diri

Kaedah MPPBL ini bukan sahaja dapat memperkasakan penguasaan konsep Matematik tetapi juga boleh dijadikan sebagai satu medium untuk pihak sekolah mengetahui keadaan sebenar yang terjadi di sekeliling supaya pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meningkatkan prestasi sekolah atau mengendalikan program Jalinan dan Jaringan. Hasil pembentangan atau hasil projek mini akan dijadikan sebagai eviden untuk pelajar memperolehi tahap penguasaan yang lebih tinggi terutamanya tahap 5 & tahap 6 dalam pentaksiran dan penilaian PBD. Selain itu, hasil mini projek juga boleh dijadikan sebagai bahan pameran STEM sama ada di sekolah mahupun peringkat bahagian atau dijadikan sebagai bahan untuk pertandingan inovasi PdPc. 

C:\Users\Win10\Downloads\Signups are open! (3).png

Rajah 4 : Hasil murid MPPBL menerapkan konsep kitar semula

C:\Users\Win10\Downloads\Signups are open! (4).png

Rajah 5 : Hasil murid MPPBL menerapkan konsep digital dan teknologi

Secara kesimpulannya, kaedah MPPBL sangat sesuai diaplikasikan dalam mempelajari konsep Matematik Tingkatan 4 & 5 kerana kaedah ini bukan sahaja dapat menggalakkan pelajar untuk pembelajaran kendiri tetapi dapat mengukuhkan konsep Matematik yang dipelajari dengan mengaplikasikannya dalam penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi oleh komuniti setempat. 

Ditulis oleh Chow Mei Ling

Guru Matematik serta Ketua Bidang Sains & Matematik di SMK Medamit, Limbang, Sarawak. Berpengalaman selama 15 tahun dalam subjek Matematik SPM dan telah membimbing pelajar luar bandar memenangi pertandingan inovasi PdPc peringkat kebangsaan anjuran ICBE tahun 2022. 

Leave a comment