Remaja merupakan peringkat usia yang mencabar menurut salah seorang Psikologis berbangsa German-American iaitu Erik Erikson. Dalam Teori Perkembangan Psikososial, remaja merupakan peringkat perkembangan yang kelima iaitu Peringkat “Identity vs Identity Confusion” yang berlaku pada usia 12 hingga 18 tahun. Pada peringkat ini, remaja seolah-olah sedang mencari identiti melalui pengalaman serta interaksi dalam kelompok sosial.
Usaha pihak Kolej Komuniti Miri Sarawak (KKMS) menjemput Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) hadir secara dalam talian sebagai rakan kolaboratif memberi impak yang positif bagi mengulas dan membuat refleksi isu secara teoretikal dan profesional.
Idea penganjuran webinar ini tercetus semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) iaitu ketika Covid 19 melanda negara. Pada masa tersebut, segala aktiviti bersemuka amat terhad. Justeru, Unit Pengurusan Psikologi KKMS memikirkan idea kreatif bagi mendekati pelajar secara dalam talian. Asalnya, webinar diadakan tanpa topik tertentu dengan menggunakan hebahan media sosial seperti Facebook, Google Meet dan juga DUO. Setelah memasuki fasa kedua PKP, webinar dijalankan dengan lebih teratur. Webinar sesi II 2022/2023 telah berlangsung sebanyak 16 sesi dan mendapat penyertaan sebanyak 269 orang. Peserta terdiri daripada pelajar KKMS, pelajar sekolah menengah, pelajar IPT swasta dan juga alumni KKMS.
Setiap webinar mempunyai topik khusus berkaitan remaja. Ahli Pembimbing Rakan Inspirasi Siswa Siswi (PRiSS), KKMS diberikan peranan sebagai moderator untuk mengetuai perbincangan. Antara topik-topik menarik yang telah dibincangkan adalah Persahabatan, Cara Anda Release Stress, Duit oh Duit, Cinta Kampus, Beza Style Belajar Zaman Sekolah vs IPT, Adab di Media Sosial dan sebagainya.
Dari sudut pandang GBK, antara manfaat webinar adalah meningkatkan kefahaman dalam mengendalikan krisis berkaitan remaja di sekolah kerana isu yang dibincangkan sangat relevan dengan tema permasalahan yang dihadapi oleh remaja masa kini. Seterusnya, peningkatan dari aspek kemenjadian murid dalam berkomunikasi juga wujud dalam webinar ini melalui hasil perkongsian, pandangan dan cadangan yang disuarakan secara spontan.
GBK juga dapat belajar istilah baharu seperti “F.O.M.O” (Fear of Missing Out) iaitu individu yang taksub untuk melayari internet dan media sosial kerana takut ketinggalan maklumat, gosip terkini mahupun gaya hidup terkini. Manakala antara istilah lain yang sering menjadi sebutan remaja masa kini ialah “barcode”. “Barcode” merupakan perbuatan yang bertujuan mencederakan diri dengan menoreh anggota badan seperti tangan dan kaki mengunakan alatan tajam. Maklumat sebegini membantu GBK menambah “Kosa Kata” atau “Kod Singkatan” yang digunakan oleh remaja dalam interaksi harian.
Manfaat sebagai moderator pula, penganjuran webinar ini dapat memberi peluang untuk menambah ilmu, meningkatkan keyakinan diri serta berpeluang mendengar luahan daripada rakan sebaya yang memerlukan bantuan. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran mendengar, memberi maklum balas, serta melihat sesuatu isu daripada perspektif rakan-rakan yang lain. Kehadiran Alumni KKMS yang hadir dalam webinar ini memberi manfaat berkenaan perkongsian pengalaman berkaitan Latihan Industri, dunia pekerjaan serta cabaran semasa bergelar pelajar. Tips ini berguna khususnya kepada murid sekolah menengah yang menyertai sesi webinar.
Faedah kepada remaja pula, perkongsian ini membuka ruang untuk menjana strategi daya tindak serta membina resilien diri yang kuat sebagai pedoman hidup. Melalui perkongsian pengalaman daripada GBK, Pegawai Psikologi dan Pensyarah Kolej dalam webinar ini sedikit sebanyak memberikan kesan mendalam kepada perkembangan remaja. Misalnya, mewujudkan kesedaran dari aspek kesejahteraan mental remaja. Di samping itu juga, webinar ini dilihat dapat mengelakkan remaja dari melakukan aktiviti kurang berfaedah seperti melepak, merayau tanpa hala tuju serta “melepaskan diri seketika” daripada ketagihan penggunaan gajet untuk melayari laman sosial yang kurang berfaedah serta permainan secara dalam talian.
Bagi memanfaatkan hasil perkongsian dalam setiap webinar, GBK meringkaskan maklumat dalam bentuk ilustrasi grafik menggunakan aplikasi “Canva”. Aplikasi ini membantu GBK menterjemahkan maklumat penting untuk dijadikan bahan bacaan bagi menggalakkan murid membaca sambil mendapatkan maklumat penting. Risalah yang dihasilkan juga ditampal pada ruangan papan notis Bimbingan dan Kaunseling sekolah, papan notis asrama, papan notis kelas dan dijadikan bahan edaran kepada murid dalam sesi psikopendidikan.
Tuntasnya, usaha penganjuran webinar ini memberi impak positif daripada peserta daripada sekolah menengah. Berdasarkan interaksi aktif sepanjang webinar berlangsung serta maklum balas lisan dalam sesi kaunseling bersama GBK di sekolah. Pengakuan lisan daripada murid dalam sesi kaunseling menyatakan bahawa webinar ini dapat mewujudkan kesedaran untuk menjaga kesejahteraan diri, kepentingan melanjutkan pendidikan untuk membina kehidupan yang lebih baik serta menapis segala maklumat yang diperolehi daripada media sosial agar tidak memudaratkan diri.
Nota gambar: Hasil perkongsian dari webinar sebagai bahan bacaan dan edaran di sekolah.
DITULIS OLEH CIKGU DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN, CIKGU HILDA TAUNIE ANAK MANGGAT, PUAN NOORSAMSIAH BINTI KUNGGI

Cikgu Dayang Rafidah binti Awang Osman ialah Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masadi SMK Padawan, Sarawak.

Cikgu Hilda Taunie Anak Manggat ialah Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa di SMK Lingga, Sarawak.

Puan Noorsamsiah binti Kunggi merupakan Pegawai Psikologi di Kolej Komuniti Miri, Sarawak.