Pedagogi kontemporari: Perkembangan pedagogi seiring arus globalisasi

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, kontemporari membawa maksud “pada masa yang sama, semasa atau sesama atau pada masa kini”. Maka, pedagogi Kontemporari adalah pedagogi yang sesuai dengan tuntutan perubahan masa kini dan semasa. Ini bermakna, pedagogi kontemporari ini akan sentiasa berkembang dan bersesuaian dengan tuntutan pendidikan semasa. Pada abad ke 21 ini, pedagogi kontemporari ini membuka mata warga pendidik agar sentiasa membangunkan pandangan baharu dalam pedagogi pengajaran dan sentiasa luwes terhadap perubahan yang memberi kesan secara langsung kepada proses pengajaran dan pembelajaran, kurikulum dan pentaksiran di institusi sekolah. 

Program Tranformasi Sekolah 2025 (TS25) adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti dengan mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran selaras dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Bagi menjayakan hasrat ini, guru harus mengoptimumkan potensi dan sentiasa menambahbaik serta memperbaharui teknik pedagogi dalam pengajaran.  

Salah satu elemen penting dalam pedagogi kontemporari ini adalah pembelajaran secara kolaboratif. Aktiviti kolaboratif merupakan aktiviti secara kumpulan yang melibatkan aktiviti berbincang, berkongsi idea, membuat keputusan bersama dan bekerjasama untuk mencapai hasil yang diinginkan. Satu contoh yang boleh kita gunakan ialah pembelajaran koperatif. Melalui proses interaksi dalam kumpulan pelajar berpeluang untuk mengemukakan idea, berdebat, mempertahankan atau mempersoalkan hujah, menilai dan mensentesis maklumat daripada pelbagai pihak dengan pengetahuan dan pemahaman yang lebih baik. Dengan itu, akan dapat menjana strategi penyelesaian masalah yang lebih berkesan di samping menggalakkan pemikiran kreatif dan kritis pelajar (Warhsah et al.2021). Antara kaedah-kaedah pembelajaran koperatif yang sesuai digunakan pada abad ke 21 ini adalah kaedah jigsaw,TPS, Gallery walk dan sebagainya. 

Penggunaan teknologi  dalam pengajaran dan pembelajaran juga ditekankan dalam pedagogi kontemporari. Guru bukan lagi satu-satunya sumber maklumat bagi pelajar, tetapi pelajar mengawal secara langsung ke atas pemerolehan pengetahuan mereka dan mereka belajar secara terarah kendiri. Salah satu contohnya adalah pembelajaran Teradun (Blended learning). Pembelajaran teradun merupakan gabungan antara pembelajaran bersemuka (guru dan pelajar) dan  pembelajaran secara talian dengan menggunakan teknologi sebagai medium utama pembelajaran (Wayne, 2012). Pembelajaran ini telah menjadi amalan dan diyakini oleh ramai pengamal dalam bidang pendidikan  di seluruh dunia.  Banyak kajian juga telah dijalankan dan secara umumnya hampir keseluruhan dapatan kajian telah membuktikan bahawa pendekatan ini mampu membawa kesan positif kepada hasil pembelajaran pelajar (Bottge et al. 2014; Briggs, 2014 ; Lee & Hung, 2015).

Selain itu, pedagogi kontemporari juga menekankan aspek pembelajaran bermakna murid. Dalam sistem pendidikan kita sendiri, KPM berusaha untuk meningkatkan kemenjadian murid melalui TS25 dan memberi  tumpuan kepada pembelajaran bermakna melalui  Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB).  Menurut Fullan et. Al (2018), kepentingan pembelajaran bermakna adalah ia dapat meningkatkan jangkaan individu itu sendiri dan orang lain terhadap pembelajaran dan pencapaian melalui penyediaan proses pembelajaran. Pembelajaran bermakna menggalakkan murid untuk membangunkan pemahaman yang mendalam tentang konsep atau subjek dengan melibatkan diri dalam pelbagai perspektif, menggalakkan pemikiran kreatif dan kritis dan menggunakan pengetahuan dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Pada abad ke 21 ini, guru berhadapan dengan perubahan amalan pengajaran yang lebih mencabar.  Walaubagaimanapun, dengan adanya kemudahan-kemudahan yang tersedia seperti teknologi digital yang mudah dicapai, ia mampu menjadikan dan merealisasikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Amalan pedagogi kontemporari dan persekitaran pembelajaran baharu serta terkini harus dijadikan kebiasaan kepada golongan guru dalam usaha peningkatan kemenjadian murid. 

Rujukan

Bottge, B. A., Ma, X., Gassaway, L., Toland, M. D., Butler, M., & Cho, S. J. (2014). Effects of blended instructional models on math performance. Exceptional children80(4), 423-437.

Briggs, K. C. (2014). Pembelajaran Teradun vs Face-to-Face Instruction : A Quantitative Evaluation of Students Achievement in Algebra I. Northcentral University.

Fullan, M.Quinn, J.& McEachen, J. (2018). Deep Learning : Engage the World Change  the  World. SAGE Publications. 

Keempat, K. D. E. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lee, L.-T, &Hung, J. C (2015). Effects of blended e-learning : a case study in higher education tax learning setting. Human-Centric Computing and Information Science, 5(1), 13 . http://doi.org/10.1186/s13673-015-0024-3

Warsah, I., Morganna, R., Uyun, M., Afandi, M., & Hamengkubuwono, H. (2021). The impact of collaborative learning on learners’ critical thinking skills. International Journal of Instruction14(2), 443-460.

Wayne, J. (2012). Effective Learning – Pembelajaran Teradun and Virtual Learning Environment. Retrieved from http://www.selfgrowth.com/articles/effective-learning-blended-learning-and-virtual-learning-environment 

Ditulis oleh Fairol bin Hamid

Fairol bin Hamid pernah berkhidmat sebagai guru pada  2013 di SK Beladin Betong Sarawak. Seterusnya berpindah ke SK Nanga Abu Saratok pada 2015. Pada 2023 beliau berkhidmat sebagai pensyarah akademik di IPG Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan Sarawak. Beliau merupakan graduan IPG Kampus Tun Abdul Razak  pada 2013 dalam pengkhususan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pengajian Sosial pendidikan rendah) dengan kepujian. Pendidikan tertinggi ialah Sarjana dalam bidang Kurikulum dan pedagogi di Universiti Kebangsaan Malaysia dan bergraduasi pada tahun 2017. Kepakaran adalah dalam bidang pedagogi dan sekarang bertugas dalam Jabatan Ilmu Pendidikan, IPGKTAR. 

Leave a comment