Tinggi adab dan bahasa

Kejadian pertama seorang bapa meluahkan rasa kecewa gara-gara anaknya gagal dalam pelajaran. Bergelut dengan perasaan sedih, sebak, marah, kesal si bapa tetap meluahkan kata dengan beradab. Tiada caci maki, amarah dan kata kesat yang terbit dari mulut beliau. Kagum melihat beliau melontarkan kata dengan sopan dan menyusun kata dengan spontan. Sambil tunduk dan perlahan-lahan menggeleng kepala katanya, “Terima kasih cikgu kerana telah berusaha mendidik anak saya, cuma anak saya yang tidak belajar bersungguh-sungguh dan tidak menggunakan peluang yang ada”. Kejadian kedua seorang ibu memarahi anaknya dengan lembut. Katanya, “Kan mama sudah cakap, jangan buat masalah. Kalau pulang kampung selalu mama pesan.” Mendengar begitu anaknya diam dan tak lama kelihatan mengesat air mata. Dia tertunduk dan menangis. Anaknya membuat kesalahan dan dikenakan hukuman. Begitu pun si mama ada perasaan kecewa, marah, sedih yang sama dengan si bapa tadi namun beliau juga sama. Tidak menengking, memarahi, mengherdik anaknya. Saya begitu kagum dengan kedua-dua insan ini. Mereka tidak membiarkan keadaan menguasai diri. Mereka menjaga adab dan bahasa.

          Betapa hari ini kita bergelut dengan perubahan dunia yang berlaku begitu cepat sehingga menghakis nilai-nilai adab dan bahasa ibunda. Sering kali kita terbaca atau membaca berita atau menonton video tentang pergaduhan, pertengkaran atau perkelahian yang berpunca dari perasaan kecewa, tidak puas hati, marah sehingga individu yang terlibat tidak lagi berfikir dengan waras dan terbawa dengan emosi. Apabila marah sudah menguasai diri maka di sanalah akan terserlah karakter sebenar seseorang itu. Paling ketara dilihat dari lisannya. Adab dan bahasa tidak lagi penting yang penting dapat meluahkan apa yang ada dalam hati. Kesannya akan menjadi buruk apabila melibatkan keretakan hubungan dan akan menjadi kenangan pahit. Apatah lagi melibatkan kanak-kanak. Emosi mereka akan terluka, dan jika berpanjangan akan memberi impak kepada cara mereka berkomunikasi dengan orang lain. Bukan mudah melupakan apabila dimarahi, ditengking, dikeji maki. Ia tak mudah kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Adab dan budi bahasa bermula dari didikan ibu bapa. Mulakan dari kecil, biasakan anak-anak untuk menjaga adab dan bahasa apabila bergaul dengan orang di sekeliling. Pastinya mereka akan dikenali sebagai orang yang berbudi bahasa.

          Selain itu, gaya bahasa dan tatacara penulisan semakin dikesampingkan yang penting maksudnya sampai. Berbagai-bagai medium untuk berkomunikasi seperti wasap, telegram, chat, mesengger semakin popular digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Agak jarang kita membaca mesej yang ditaip menggunakan perkataan yang penuh, kebanyakannya singkatan. Dan ada yang tidak menitikberatkan tatabahasa dan kosa kata yang sopan. Bukan sahaja bahasa lisan tidak dijaga, malah bahasa tulisan juga sama. Apa yang ada di dalam akan terlihat di luar. Kalau biasa berbahasa kesat dan tidak menjaga adab sudah pasti akan ternampak dari lisan dan tulisan. Ini juga menggugat nilai-nilai adab dan bahasa kita. Jika kita lihat generasi dulu sangat mementingkan adab dan bahasa. Cuba tonton cerita-cerita dahulu contoh, Nujum Pak Belalang, Hang tuah dan sebagainya. Lihat adab sesama mereka berbicara dan bahasa yang digunakan. Jika berjalan di depan orang tua, mesti membongkok dan minta izin untuk lalu. Jika hendak makan pasti dipelawa orang tua terlebih dahulu. Begitu juga ucap salam ketika berjumpa, ramah menegur tatkala bersua. Inilah yang patut kita kekalkan.

 Atau apabila membaca buku-buku karangan tokoh lama seperti Buya Hamka karya beliau yang agung, Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk mampu membuatkan pembacanya mengalirkan airmata. Kita akan dapati sungguh tepat penyusunan kata dan indah berirama. Bahasanya halus namun maknanya mendalam. Saya terfikir bagaimana generasi dahulu sangat genius apabila mengaitkan alam dengan maksud yang hendak disampaikan. Kalaulah bahasa dan adab ini tidak lagi dititikberatkan pasti akan menghakis nilai-nilai budaya bangsa kita. Yang sejak dulu telah menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat. Kita biasa mendengar kata-kata bahawa bahasa menunjukkan bangsa. Ciri utama sesuatu bangsa ditandai dengan bahasa. Hilang bahasa lenyaplah bangsa. Kaitan rapat bahasa mestilah dicerminkan oleh adab. Kedua-duanya saling berkait. Adab ditunjukkan daripada cara seseorang itu berbahasa. Kita perlu menjaga dan mengekalkan adab dan bahasa agar kita dikenali dan dihormati kerana kita ada jati diri yang teguh. Biar maju bangsa jangan sampai adab dan bahasa binasa. Semua pihak perlu sedar, nilai adab dan bahasa kita sangat tinggi nilainya. Hormat menghormati, saling menghargai adalah asas perpaduan apatah lagi dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita.

Ditulis oleh Noorhayati Hashim @ Harun

Puan Noorhayati Hashim merupakan Timbalan Pengarah Kolej Teknik Vokasional Keningau.

*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak mewakili HIVE Educators.

One comment

  1. saya bersetuju dengan puan dalam penggunaan bahasa yang halus mampu melunakkan jiwa. Penulis dahulu kala bijak bermain dengan kata-kata seperti mana yang digambarkan oleh puan dalam karya-karya Buya Hamka dan ramai lagi pengarang yang lain.

    “Bahasa menggambarkan bangsa”

    Like

Leave a comment