Pupuk amalan 3F melalui penggunaan bahan maujud untuk murid pendidikan khas

Penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) merupakan elemen penting dalam proses penyampaian ilmu yang berkesan di sekolah. Pemilihan BBM yang sesuai dapat membantu guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran secara maksima. BBM yang biasa digunapakai oleh guru dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran adalah seperti bahan grafik, model, bahan maujud, digital interaktif, podcast, peta pemikiran, LCD projektor dan klip animasi. 

Dalam hal ini, guru perlu bijak dan kreatif untuk memilih BBM yang sesuai agar input pengajaran dapat diterima dan difahami dengan baik dan jelas oleh murid. Tambahan pula, ia menjadi tarikan dan memberi rangsangan terhadap murid untuk belajar.

Melihat kepada keperluan kaedah yang efisien untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), sememangnya bahan maujud menjadi pilihan terbaik untuk menambat perhatian seterusnya mempercepatkan proses pemahaman mereka. Bahan Maujud bersifat nyata, konkrit dan dapat memberi peluang kepada murid untuk mengikuti kembara ilmu dengan deria sama ada melalui sentuhan, dihidu, dilihat, didengar mahupun dirasa. 

Di samping itu, penggunaan bahan maujud boleh menyumbang kepada suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dengan penglibatan murid secara aktif. Matlamat utama yang mahu disasarkan terhadap setiap murid perlu mencakupi tiga aspek penting iaitu fokus, fikir dan faham (3F).

  1. Murid fokus semasa guru mengajar.

MBPK terutama anak autisme dan hiperaktif atau Attention Defisit Hyperactivity Disorder (ADHD) mempunyai gangguan kurang daya tumpuan terhadap sesuatu perkara dalam satu-satu masa. Pola perilaku sebegini memerlukan satu daya tarikan yang kuat bagi ‘memancing’ minat mereka untuk lebih fokus. 

Oleh demikian, penggunaan bahan maujud semasa sesi pengajaran sangat sesuai diimplementasikan oleh guru. Tambah-tambah lagi jika BBM tersebut berwarna-warni dan aneka rupa bentuk. Kelebihan ini merangsang murid untuk memberi fokus dalam satu tempoh yang lebih lama berbanding penerangan secara lisan semata-mata.

Cikgu Saifullah menggunakan boneka tangan semasa sesi pengajaran komunikasi bagi menarik minat murid untuk mengikuti aktiviti pembelajaran.

Dalam masa yang sama, bahan maujud yang digunakan boleh menjadi hiburan kepada anak-anak istimewa kerana wujud keseronokan dalam diri untuk mencuba, memperoleh pengalaman kendiri seterusnya bereksplorasi sambil belajar. Secara tidak langsung, objektif yang ditetapkan dapat dicapai dengan lancar dan mudah.

2. Merangsang daya fikir murid.

Daya pemikiran murid akan berhubung dan berkembang apabila timbul keinginan untuk mencuba serta meneroka sesuatu perkara. Bahan maujud yang ditunjukkan oleh guru membuatkan murid lebih teruja lantas berfikir berkaitan fungsi alat dan cara penggunaan. Semangat untuk turut serta dan memperoleh ilmu yang diajar sedikit demi sedikit akan membudayakan gaya belajar yang positif. 

Di samping itu, penglibatan MBPK tersebut membantu meningkatkan kemahiran moto halus dan moto kasar mereka. Contoh jelas boleh dilihat apabila guru menggunakan bancuhan tepung untuk membuat kraf doh tepung atau kit acuan kadbod untuk aktiviti seni kolaj. Walaupun tampak mudah dan biasa pada penilaian kita, namun menguji keupayaan dan tahap pemikiran mereka. Outcome yang ditunjukkan oleh murid dapat membuktikan bahawa bahan maujud itu sangat bermanfaat dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang.

Murid pendidikan khas berfikir semasa melakukan tugasan melibatkan bahan maujud berupa acuan kadbod dan doh tepung.

3. Murid faham isi pengajaran dan tugasan.

Pada penghujung sesi pengajaran, semestinya guru mahu setiap murid memahami dan dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik. BBM berbentuk bahan maujud yang sesuai mampu menjadi penyumbang kepada pencapaian tahap kefahaman MBPK. Sensori deria yang digabungjalinkan secara menyeluruh semasa proses pembelajaran dan tugasan mampu memberi impak berkesan seterusnya menguatkan daya ingatan mereka.

Kemahuan murid untuk mencuba melakukan tugasan dan membuat pergerakan kendiri juga dapat melatih kemahiran  lokomotor yang menyokong perilaku MBPK. Dalam masa yang sama, tahap keyakinan dan interaksi murid turut dipupuk kerana mereka dilatih untuk memberi respon terhadap persoalan yang dikemukakan oleh guru.

Integrasi sensori murid terhadap bahan maujud yang digunakan di dalam bilik darjah.

Konklusinya, kebijaksanaan dan kreativiti guru untuk menyediakan BBM yang terbaik khususnya bahan maujud sangat dituntut demi memastikan MBPK tidak bosan, seronok untuk belajar dan mencapai objektif pengajaran yang sewajarnya.

Ditulis oleh Mohd Saifullah bin Abd Rahim

Mohd Saifullah bin Abd Rahim berkhidmat sebagai guru pada 2010 di SMK Bukit baru, Melaka. Seterusnya berpindah ke SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sungai Siput (U) pada 2022. Beliau yang merupakan graduan Universiti kebangsaan Malaysia pernah dianugerahkan Anugerah Tokoh Kecemerlangan Sukan, Kesenian Dan Kokurikulum Pendidikan Khas Melaka (2019) dan Anugerah Guru Pendidikan Khas Berwibawa peringkat daerah Kuala Kangsar (2023) serta negeri Perak (2023). Beliau juga terlibat dalam penulisan buku latihan tambahan bahasa Melayu Sekolah Rendah (SK dan SJKC), antologi puisi, cerpen, artikel Pendidikan dan alam sekitar. Karya kreatif nukilan beliau turut tersiar dalam laman sesawang kendalian penyair antarabangsa, akhbar tempatan dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak semestinya mewakili pendirian HIVE Educators.

Leave a comment