TERAPI PELBAGAI SISTEM (MST) SEBAGAI SALAH SATU TERAPI DALAM INTERVENSI SESI KAUNSELING
Terapi MST merupakan salah satu cabang kerja sosial pemulihan.Kebanyakan para pengamal seperti Pelindung Kanak-Kanak, Kaunselor Kanak-Kanak,Polis dan Pegawai Akhlak yang perlu melaksanakan program pemulihan ini bukan daripada professional yang berkelulusan kerja sosial yang terlatih di dalam prosedur terapi MST.Menurut Fox dan Ashmore (2014) melalui penulisan mereka yang bertajuk Multisystemic Therapy as an Intervention for Young People on the Edge of Care menyatakan kejayaan perlaksanaan MST dalam pemulihan kanak-kanak yang terlibat dalam kegiatan jenayah adalah bergantung kepada kecekapan pekerja sosial atau pengurus kes dalam mengenal pasti jenis perkhidmatan yang diperlukan oleh klien mereka iaitu prinsip utama dalam MST.Pekerja sosial yang terlatih telah diajar bagaimana untuk mengenal pasti defisit-defisit klien, mengenal pasti jenis perkhidmatan yang bersesuaian untuk klien dan seterusnya menilai keberkesanan rawatan yang telah diberikan kepada klien mereka.Terapi MST berakar-umbi daripada Model Ekologi Sosial yang diperkenalkan oleh Urie Bronfenbrenner. Model ini melihat individu sebagai sarang dalam satu rangkaian kompleks yang saling berhubung-kait dengan alam sekitar
KELEBIHAN TERAPI MST
Memperkasakan Keluarga
Menurut Henggeler (2012), MST mempromosikan perubahan tingkah laku kanak-kanak dengan cara memberi penekanan kepada pembangunan terapi teraputik gabungan yang memberi keutamaan kepada pemupukan dan pengekalan penglibatan keluarga ke dalam rawatan.Oleh kepentingan ini, MST menangani setiap halangan yang menghalang keberkesanan keibubapaan seperti penglibatan ibu atau bapa atau ibu bapa dengan bahan terlarang dan penagihan alkohol.Kemudian MST turut memperkasakan penglibatan keluarga dan sistem sosial sekeliling dalam program terapi pemulihan kanak-kanak yang melakukan jenayah.
Menyediakan Rawatan Atau Latihan Kemahiran Berasaskan Keperluan
MST menyediakan pelbagai program rawatan pemulihan dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan peribadi kanak-kanak yang melakukan jenayah.Terapi MST menggalakkan kanak-kanak menjalankan proses rawatan di dalam kediaman atau di dalam persekitaran sosial mereka.Contohnya, sekiranya, kanak-kanak bergaul dengan rakan sebaya antisosial , program pemulihan untuk kanak-kanak tersebut memfokus kepada inisiatif-inisiatif yang menggalakkan kanak-kanak berkenaan untuk bergaul dengan rakan sebaya yang prososial.Sekiranya, ibu bapa mengalami masalah komunikasi bersama anak- anak, program rawatan pemulihan yang bakal disyorkan adalah program terapi yang mampu menerapkan pelbagai jenis kemahiran komunikasi yang membina antara kanak-kanak dengan ibu bapa mereka.Jelaslah bahawa di sini, setiap keluarga kanak-kanak atau klien MST memperolehi program rawatan yang berbeza-beza mengikut keperluan dan masalah mereka.
Membangunkan Sistem Sokongan Semulajadi
MST membangunkan sistem sokongan semula jadi yang merangkumi rakan sebaya, ibu bapa, kejiranan dan keluarga luas.Ini kerana, MST membantu kanak- kanak yang melakukan jenayah dan keluarga mereka kekal dalam rawatan terapi yang telah dikenalpasti untuk mereka.Para keluarga dalam rawatan Terapi MST disalurkan dengan serangkaian jaringan sistem sokongan sosial yang boleh mereka rujuk.Sistem sokongan ini bertindak sebagai penyokong atau pemberi semangat keluarga untuk meneruskan rawatan atau terapi sehingga tamat.
Menangani Pengaruh Negatif Rakan Sebaya
Terapi MST melihat pergaulan kanak-kanak dengan rakan sebaya delinkuen atau antisosial sebagai jangkaan yang paling berpengaruh kepada pembentukan tingkah laku jenayah atau antisosial kanak-kanak.Dalam rawatan MST, pengurus kes dan ahli terapi sedaya upaya membimbing dan memandu ibu bapa atau penjaga mengurangkan pergaulan kanak-kanak dengan rakan sebaya yang antisosial.Mereka juga menggalakkan kanak-kanak untuk bergaul atau berhubung dengan rakan sebaya yang prososial.
JENIS INTERVENSI DALAM TERAPI MST
Intervensi Keluarga
Terapi MST menyediakan pelbagai intervensi berdasarkan keperluan dan keutamaan keluarga.Ianya termasuklah penstrukturan dan strategi terapi keluarga, pendekatan system tingkah laku keluarga, latihan keibubapaan kondusif, intervensi tingkah laku keluarga dan terapi kognitif tingkah laku.Intervensi keluarga dalam Terapi MST mempunyai dua komponen iaitu penilaian keperluan program dan pemulihan hubungan kekeluargaan.Sebelum intervensi berasaskan keluarga dilaksanakan, ahli terapi terlebih dahulu menilai hubungan kekeluargaan dan melaksanakan pemulihan hubungan kekeluargaan klien mereka.Intervensi yang biasanya diaplikasikan oleh ahli terapi terhadap sesebuah keluarga, berpandukan keperluan dan kesesuaian keluarga.Antara intervensinya ialah intervensi secara individu.Melalui menggunakan intervensi ini, ahli terapi menangani masalah tingkah laku antisosial dan membangunkan program secara spesifik berdasarkan deficit keperluan yang dialami oleh kanak-kanak dan keluarga mereka.Seterusnya, intervensi multidimensi.Melalui intervensi tersebut, ahli terapi dapat menangani interaksi negatif antara ibu bapa bersama kanak-kanak, kekurangan kemahiran dan halangan-halangan kepada ibu bapa berkesan.Dalam intervensi ini, ahli terapi melaksanakan aktiviti-aktiviti terapi yang mampu meningkatkan kefungsian interaksi keluarga.Antara model yang sering diguna pakai oleh ahli terapi dalam intervensi ini ialah model penstrukturan dan strategi terapi keluarga.
Intervensi Rakan Sebaya
Menurut Henggeler et, al., (2009), persahabatan atau interaksi antara kanak- kanak dengan rakan sebaya memainkan peranan penting dalam perkembangan kognitif dan pembentukan moral, emosi serta pembangunan sosial mereka.Menurut Dodge (2008), interaksi dengan rakan sebaya turut menggalakkan perkembangan dan pembelajaran kognitif dan menyumbang kepada pembentukan norma-norma tingkah laku dan nilai-nilai moral kanak-kanak.Menurut Becker dan Luther (2002), kanak-kanak yang diabaikan oleh rakan sebaya berpotensi tinggi untuk terlibat dengan aktiviti berisiko.Kanak-kanak yang ditolak oleh rakan sebaya kurang cekap dalam interaksi sosial dan mempunyai deficit asset dalaman.Kebanyakan kanak-kanak yang berjaya berinteraksi secara berkesan dengan rakan sebaya mereka mampu mempamerkan kemahiran-kemahiran sosial berkenaan ke dalam pelbagai kumpulan sosial yang lain.
Intervensi Galakan Akademik Dan Kejayaan Vokasional
Menurut Schaeffer (2009), kebanyakan kanak-kanak yang menyertai probram MST terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman yang sama dan berulang iaitu pengalaman bergantung sekolah, ponteng sekolah, gagal dalam akademik dan mempunyai limitasi dalam kemahiran hidup. Justeru itu, Terapi MST membangunkan kerjasama atau penglibatan aktif para guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa dalam membantu dan melaksanakan program pemulihan kanak- kanak yang terlibat dengan jenayah.
Intervensi Pembangunan Sistem Sokongan Sosial Untuk Keluarga
Henggeler et al., (2009) mengatakan “working alone to save one’s child is extremely difficult”.Justeru itu, salah satu intervensi utama MST berusaha membangunkan modal sosial yang ada di dalam diri kanak-kanak dan keluarga ke dalam program terapinya.Antara aktiviti yang dilaksanakannya ialah Terapi MST akan mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa atau keluarga kekurangan sokongan sosial sekeliling.Seterusnya, memupuk kemahiran interpersonal kepada penjaga dan ibu bapa.Kemudian menghubungkan penjaga atau ibu bapa dengan system sokongan sosial.
KESIMPULAN
Terapi MST dapat membantu memulih sepenuhnya kanak-kanak yang terlibat dengan aktiviti jenayah dan sekaligus membentuk sesebuah masyarakat yang harmoni di mana berlaku pengurangkan aktiviti atau pengulang kesalahan jenayah khususnya melibatkan kanak-kanak. Justeru, semua pihak yang berkepentingan dalam sistem pengadilan kanak-kanak atau pemulihan pesalah kanak-kanak haruslah lebih peka dengan peranan dan tanggungjawab mereka dalam membantu memulihkan kanak-kanak yang terlibat dengan kesalahan jenayah.
Rujukan
Akta Kanak-Kanak (2001) (Akta 611). (2011). Kuala Lumpur: International Law Book Services.
Becker & Luther. (2002). Social-Emotional Factors Affecting Achievement Outcomes Among Disadvantaged Students: Closing the Achievement Gap. Educ Psychol, 37 (4), 197-412.
Bronfenbrenner, U. (1994). Ecology Models of Human Development. Diakses pada
16 September 2017 dari http://www.psy.cmu.edu/~siegler/35bronfebrenner94.pdf
Burns, B. J., Scheonwald, S. K., Burchard, J. D., Faw, L., & Santos, A. B. (2000). Comprehensive Community-Based Interventions for Youth with Severe Emotional Disorders: Multisystemic Therapy and the Wraparound Process. Journal of Child and Family Studies, 9 (3), 283-314.
Fox, S., & Ashmore, Z. (2014). Multysistemic Therapy as an Intervention for Young Peole on the Edge of Care. British Journal of Social Work, 1-7.
Gustle, L-H., Hansson, K., Sundell, K., Lundh, L-G., & Lofholm. (2007). Blueprints in Sweden. Symptom load is Swedish adolescents in studies of Functional Family Therapy (FFT), Multisystemic Theraphy (MST) and
Multidimensional Treatment Foster Care (MTFC). Nord J Psychiatry, 61, 443-451.
Henggeler, S. W (2012). Multisystemic Therapy: Clinical Foundations and Research Outcomes. Psychosocial Intervention, 21 (2), 181-193.
Henggeler, S. W., & Schoenwald, S. K. (2011). Evidence-Based Interventions for Juvenile Offenders and Juvenile Justice Policies that Support Them. Social Policy Report, 25 (1), 1-28.
Henggeler, S. W., Schoenwald, S. K., Borduin, C. M., Rowland, M. D., & Cunningham, P. B. (2009). Multisystemic Therapy for Antisocial Behavior in Children and Adolescents. New York: Guilford Press.
Icli, T. G., & Coban, S. (2012). A Study on the Effects of Family and Delinquent
Peers on Juvenile Delinquency in Turkey. Advances in Applied Sociology, 2 (1), 66-72.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (2017). Perintah Pemulihan Di Bawah Penjagaan Keluarga (Tidak diterbitkan).
Juvenile Courts Act, 1947 (Act 90). (1982). Kuala Lumpur: Malaysian Law Publishers Sdn. Bhd.
Ditulis oleh Kineeshaa a/p Pannir Selvam

Kineeshaa a/p Pannir Selvam merupakan seorang guru akademik dan Ketua Panitia Pendidikan Moral di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Desa Cemerlang, Johor. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Selain itu, beliau juga merupakan seorang Pakar Neuro-Psikologi Profesional yang sah, serta seorang Jurulatih Atletik Kanak-Kanak. Beliau telah mencapai pensijilan sebagai Google Certified Educator Tahap 1 & 2 dan turut merupakan Psychology First Aider. Beliau merupakan graduan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pahang, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang dan diiktiraf sebagai pelajar cemerlang dalam Praktikum dan Internship Bimbingan dan Kaunseling. Beliau turut terlibat dalam pembinaan Modul Intervensi Krisis dan Sijil Kompetensi Penjagaan Warga Emas Universiti Malaya. Selain itu, beliau adalah penulis bagi beberapa bab dalam buku terbitan UMS Press dan juga dalam buku berjudul ‘Di Sini Karyaku Bermula…’.
*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak mewakili HIVE Educators.