Menurut Laila Ibrahim (1989), remaja ialah perantaraan dari keadaan kanak-kanak kepada keadaan dewasa.Bagi Drs Awang Sudjai (1977), remaja ialah peringkat umur di mana seseorang itu mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup untuk berkahwin. Bukan itu sahaja menurut Khadijah Haidi Khalid (1994), remaja ditakrifkan sebagai zaman peralihan dalam proses perkembangan manusia di antara belia dengan dewasa.Alam remaja merupakan satu tempoh yang datang hanya sekali sepanjang tempoh kehidupan seseorang manusia. Tempoh tersebut merupakan zaman yang paling manis, mencabar dan paling kekal dalam ingatan. Semua peristiwa dan kenangan berlaku pada zaman remaja ini banyak mempengaruhi kehidupan remaja dalam menempuh zaman dewasanya (Robiah Kulop Hamzah , 1997).
Perubahan yang pasti berlaku semasa peralihan dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja ialah perubahan susuk badan, iaitu daripada tidak mempunyai bentuk sehinggalah susuk badan dan perwatakan menyerupai orang dewasa. Beberapa perubahan fizikal dan fisiologikal berlaku semasa baligh dan perubahan ini membuka lembaran baharu dari alam kanak-kanak ke alam remaja.Dengan itu, melalui temu bual yang telah saya laksanakan sesama seorang remaja lelaki yang berumur 15 tahun, dia berkongsi bersama saya pengalaman dalam mengalami perubahan fizikalnya.Antaranya ialah mendapati pertumbuhan misai dan janggut. Remaja tersebut menyatakan bahawa dia mula merasa perubahan fizikalnya pada umur 13 tahun iaitu selepas menjejak kaki ke alam sekolah menengah. Tidak semua remaja bersedia untuk menghadapi zaman remaja yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Hal ini kerana remaja juga menghadapi masalah menerima bentuk tubuh yang baru.Begitu juga dengan remaja tersebut turut mengalami kenaikan berat badan secara mendadak serta ketinggian turut meningkat. Pertumbuhan fizikal remaja adalah dalam kadar sederhana, iaitu tidak terlalu pesat seperti pada zaman bayi dan kanak-kanak. Perubahan fizikal juga mampu mempengaruhi emosi dan psikologi remaja, dimana zaman inilah yang menjadi penentu masa depan dan kehidupan diri mereka.
Sehubungan dengan itu, remaja tersebut mudah berasa stress dan marah apabila orang memaksa dia untuk membuat perkara yang dia tidak suka ataupun mengganggu dia serta mengambil barang dia tanpa kebenaran dia.Contohnya, pada suatu hari, rakan sekelasnya mengambil botol airnya tanpa kebenarannya lalu memecahkan botol airnya.Ini menyebabkan remaja tersebut berasa marah tetapi pada masa yang sama dia mampu menahan emosinya dan keadaan ini turut dapat mengelakkan diri dia terlibat dalam pergaduhan.Bukan itu sahaja, remaja tersebut mengawal emosinya serta menenangkan fikirannya melalui bermain video game serta membuat video you tube sendiri.
Perkembangan kognitif seseorang itu tidak hanya ditentukan dari pertumbuhan dan kematangan sistem saraf pusat mahupun periferi sahaja, namun juga cara ia memproses informasi, meningkatkan daya ingat dan kapasiti memorinya, dan kedekatannya dengan suatu objek pengetahuan.Dengan itu, remaja yang saya temu bual itu menyatakan bahawa dia sentiasa membaca dan melayari pelbagai multimedia untuk menambah ilmu pengetahuannya.Seterusnya, dia turut berkongsi ilmu pengetahuan yang diperolehnya bersama rakan dengan hati yang terbuka, melalui ini dia memberitahu saya bahawa dia dapat mengingat apa yang dia telah peroleh selama-lamanya. Di samping itu, remaja tersebut mampu memikirkan perkara abstrak dan berfikir secara logik, reflektif serta sistematik.Contohnya, remaja tersebut sentiasa berfikiran rasional sebelum melakukan sesuatu perkara iaitu dia sentiasa berfikir baik buruk sesuatu perkara sama ada perkara tersebut mendatangkan kebaikan untuk dirinya atau tidak.Secara analoginya, remaja tersebut bertindak rasional dan wajar apabila rakan-rakannya mengajak dia untuk melepak, merokok dan sebagainya.Bukan itu sahaja, remaja tersebut sentiasa mengambil kehidupan abangnya sebagai contoh bagi mengelakkan pengaruh negatif serta remaja tersebut turut berkawan dengan orang dewasa untuk mempelajari kehidupan serta meningkatkan kematangan.
Remaja dan masalah-masalah berkaitan dengan moral adalah tidak dapat dipisahkan malahan semakin memburuk. Dengan teknologi yang semakin canggih, pelbagai perkara dapat dipelajari di alam maya sesuai dengan kata-kata yang sering diungkapkan kini iaitu ‘ilmu di hujung jari’, tetapi bagi remaja dengan kewujudan teknologi kini membuatkan mereka lebih mudah untuk meneroka apa sahaja perkara baharu yang bersesuaian dengan perkembangan mereka yang terarah kepada sifat ingin tahu yang tinggi.Perkara-perkara seperti rempit, vandalisme, gangsterisme dan penyalahgunaan bahan terlarang seperti penyalahgunaan dadah dapat dipelajari melalui teknologi terkini, contohnya internet. Penggunaan internet yang semakin popular di kalangan remaja membolehkan mereka untuk meneroka lebih jauh mengenai sesuatu perkara sebagai contohnya berkaitan dengan tajuk mengenai penggunaan bahan terlarang seperti dadah.Dalam internet, kini terdapat pelbagai maklumat mengenai dadah daripada am sehinggalah kepada spesifik. Terdapat laman web yang memaparkan mengenai cara-cara untuk menghasilkan dadah dan perkara ini boleh memberi impak negatif kepada remaja.Definisi dadah menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sejenis bahan yang digunakan sebagai ubat yang boleh menyebabkan khayal atau tidak sedarkan diri dan ketagih. Namun begitu, setiap kandungan dadah di dalam ubat adalah berlainan.Sekiranya sesuatu ubat diambil dalam kuantiti yang banyak lebih menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan khayal dan tidak sedarkan diri. Masalah dadah adalah masalah serius dan mengancam secara berantai yang bermula dari penyeludupan dan pengedaran, kemudian membawa kepada penyalahgunaan dan seterusnya penagihan dadah. Secara prinsip, puncanya masih sama dan tidak pernah berubah, tapi langkah penyelesaian masih kurang berkesan. Justeru, sudah tiba masanya usaha memerangi dadah sebagai musuh utama negara perlu dilancarkan dengan pendekatan-pendekatan baru. Kita perlu mencari cara penyelesaian yang baru yang bukan sahaja menekankan kepada aspek moral dan kemanusiaan, tetapi mengambilkira kemestian untuk memusnahkan sumber dadah dalam jaringan kalangan remaja.
RUJUKAN
John W Santrock, Life Span Development, Perkembangan Masa Hidup, (Jakarta:
Erlangga, 2002).
M. P Knoers, F. J Monks dan Siti Rahayu Haditomo, Psikologi Perkembangan, (Yogyakarta:
Gajah Mada University Press, 1982).
Syambu, Yusuf. Psokologi Perkembangan Anak dan Remaja, (Bandung: Remaja
Rosdakarya, 2002).
Ditulis oleh Kineesha a/p Pannir Selvam

Kineeshaa a/p Pannir Selvam merupakan seorang guru akademik dan Ketua Panitia Pendidikan Moral di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Desa Cemerlang, Johor. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Selain itu, beliau juga merupakan seorang Pakar Neuro-Psikologi Profesional yang sah, serta seorang Jurulatih Atletik Kanak-Kanak. Beliau telah mencapai pensijilan sebagai Google Certified Educator Tahap 1 & 2 dan turut merupakan Psychology First Aider. Beliau merupakan graduan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pahang, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang dan diiktiraf sebagai pelajar cemerlang dalam Praktikum dan Internship Bimbingan dan Kaunseling. Beliau turut terlibat dalam pembinaan Modul Intervensi Krisis dan Sijil Kompetensi Penjagaan Warga Emas Universiti Malaya. Selain itu, beliau adalah penulis bagi beberapa bab dalam buku terbitan UMS Press dan juga dalam buku berjudul ‘Di Sini Karyaku Bermula…’.
*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak mewakili HIVE Educators.