Masalah tingkah laku dikalangan kanak-kanak pintar cerdas berbakat bersifat positif. Tingkah laku bermasalah positif menurut Nurul Bahirah Annual dan Mohd Jasmy Abd Rahman (2018) adalah seperti bersifat ingin tahu, dapat mempelajari sesuatu perkara dengan cepat, pintar, cerdas, berbakat dan proaktif. Namun, disebalik tingkah laku positif yang ditonjolkan oleh kanak-kanak pintar cerdas berbakat ini terdapat masalah tingkah laku negatif yang terbit yang dihadapi oleh mereka.
Esra Altıntas dan Sukru Ilgun (2016) mendapati kanak-kanak pintar cerdas berbakat dilihat oleh guru pendidikan mempunyai potensi yang melebihi tahap kanak-kanak biasa tetapi guru pendidikan terlepas pandang bahawa kanak-kanak ini memerlukan sokongan sama seperti kanak-kanak berkeperluan khas. Sekiranya keperluan mereka tidak bersesuaian, Fabian Guénolé dan Jean-Marc Baleyte (2017) menyatakan kanak-kanak ini boleh terdedah kepada gangguan dalam akademik, tekanan emosi dan sosial serta masalah adaptasi atau penyesuaian tingkah laku yang boleh dilihat melalui tindakan mereka kemudian. Kajian oleh Apistola, M. (2017) mengenai Suicidality and Giftedness mendapati kanak-kanak pintar cerdas berbakat juga mudah terdedah kepada bahaya tingkah laku yang cenderung kepada membunuh diri.
Stres
Sorotan literatur oleh Fabian Guénolé et. al (2017) mendapati kanak-kanak pintar cerdas berbakat adalah berisiko tinggi untuk mengalami masalah perkembangan emosi yang memberi impak kepada kesukaran dalam akademik dan sosial serta kecelaruan mental. Hal ini disebabkan oleh kanak-kanak ini mempunyai tahap kesedaran terhadap perkara sekeliling mereka pada usia yang awal. Oleh itu mereka lebih cenderung untuk mengalami stres di usia yang muda berbanding kanak-kanak tipikal. Tingkah laku stres dalam kajian Kennedy dan Farley (2018) terdapat sejumlah bilangan kanak-kanak pintar cerdas berbakat mengalami masalah pencapaian akademik yang rendah. Kanak-kanak tersebut menunjukkan tanda-tanda tingkah laku seperti kemurungan, sensitif, hilang minat dan tumpuan, kurang aktif, kerap bertukar sekolah, dan suka mengasingkan diri. Prestasi akademik turut merundum jatuh dan lebih mengejutkan apabila kanak-kanak tersebut mempunyai kecenderungan untuk bertindak disruptif iaitu mencederakan orang lain atau diri sendiri.
Hasil perbincangan dalam kajian Nor Aimi Harun (2018) mendapati faktor kendiri seperti gelaran genius menjadi punca stres dalam kalangan kanak-kanak pintar cerdas berbakat. Gelaran yang diterima menjadi beban kepada kanak-kanak tersebut. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak tersebut menidakkan kelebihan yang dimiliki dan bertindak untuk keluar daripada gelaran yang membebankan itu. Seharusnya unsur stres segera dikawal agar tingkah laku yang negatif tidak berlaku terhadap perkembangan potensi kanak-kanak pintar cerdas berbakat pada masa depan. Hal ini disokong oleh Haberlin (2015) yang menyatakan bahawa terdapat dalam kalangan kanak-kanak pintar cerdas berbakat yang mengalami stres menderita di tahap tinggi dan keadaan tersebut boleh mempengaruhi kejayaan atau kejatuhan seseorang kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat sepanjang kehidupan mereka.
Penyesuaian
Dalam kajian Hugo Peyre, Franck Ramus, Maria Melchior, Anne Forhan, Barbara Heude dan Nicolas Gauvrit (2016) mengatakan kanak-kanak pintar cerdas berbakat mengalami masalah emosi dan sosial menyebabkan tingkah laku keresahan dan depresi. Terdapat juga masalah yang dialami dari segi penyesuaian sosial. Dapatan kajian mereka mendapati tingkah laku tersebut hanya terjadi kepada kanak-kanak pintar cerdas berbakat yang berumur 7 tahun keatas atas faktor kewaspadaan dan kecenderungan untuk mempunyai tahap kerisauan yang tinggi. Hanna David (2017) mengkategorikan kanak-kanak pintar cerdas berbakat kepada dua iaitu 1) mempunyai masalah pembelajaran spesifik dan 2) mempunyai masalah emosi, sosial dan tingkah laku. Kategori pertama memerlukan kanak-kanak tersebut menguruskan masalah pembelajaran mengikut tatacara terapi dan strategi pengajaran yang bersesuaian. Manakala bagi kategori kedua, kanak-kanak ini terdedah kepada risiko stres emosi dan konflik sosial menyebabkan tingkah laku yang melibatkan penyesuaian. Kepada golongan kanak-kanak pintar cerdas berbakat yang majoriti mampu untuk mengawal tingkah laku mereka menggunakan intelek yang mereka ada namun terdapat kumpulan yang minoriti menderita dengan penyesuaian menyebabkan tingkah laku distruktif seperti gangguan cara pemakanan, kelumpuhan kesempurnaan, depresi dan memberi bahaya kepada diri sendiri malahan juga cubaan membunuh diri.
Masalah penyesuaian berpunca daripada jangkaan keluarga dan diri sendiri. Selalu yang berlaku adalah seperti jangkaan ibu bapa yang ingin anak pintar cerdas berbakat mereka ditempatkan di pengajian tinggi. Kanak-kanak tersebut akan menghadapi stres dalam menyesuaikan diri dari segi emosi dan sosial. Ini disebabkan oleh tahap fizikal, emosi dan sosial yang tidak sepadan dengan persekitaran di pengajian tinggi. Contoh tingkah laku lain yang ditonjolkan disebabkan penyesuaian ialah dengan menunjukkan minat yang rendah atau tiada dan semakin bersifat mundur dari segi perlakuan daan komunikasi. Ini bermakna mereka akan lebih mendiamkan diri dan tidak melibatkan diri dalam apa-apa perkara. Tingkah laku ini juga membentuk karakter kanak-kanak tersebut menjadi bermasalah tingkah laku disruptif dimana kanak-kanak tersebut mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran seperti mengganggu rakan sekelas atau guru. Manakala tingkah laku yang ditunjukkan bagi kanak-kanak pintar cerdas berbakat yang mengalami gangguan emosi ialah kelumpuhan dalam kesempurnaan. Kesimpulannya, kanak-kanak pintar cerdas berbakat adalah berisiko kepada masalah penyesuaian dan terdedah kepada masalah adaptasi. Banyak kajian yang dilakukan berpendapat hal ini disebabkan oleh tahap kognitif mereka yang tinggi menyebabkan mereka berasa stres dan terasing.
Tingkah Laku Membunuh Diri
Selain isu stres dan penyesuaian, isu masalah tingkah laku yang dihadapi yang lain ialah cubaan membunuh diri. Apistola, M. (2017) menyatakan tingkah laku membunuh diri adalah cenderung dikalangan kanak-kanak pintar cerdas berbakat. Tingkah laku membunuh diri datang dari depresi dan kemurungan seterusnya tercetus kepada pemikiran untuk melakukannya dan cubaan membunuh diri. Pan dan Arip (2018) menjelaskan kecenderungan membunuh diri merujuk kepada percubaan bunuh diri dengan tujuan untuk mati termasuk berfikir untuk membunuh diri dan cubaan membunuh diri yang hampir membawa maut. Cubaan bunuh diri dikategorikan sebagai inisiatif sendiri, berpotensi mendatangkan kecederaan diri dan bertujuan untuk mati. Kenyataan ini adalah berasaskan Teorotikal Kecenderungan Membunuh Diri. Tingkah laku ini juga dikenali sebagai tingkah laku distruktif dimana individu tersebut bertindak memusnahkan diri sendiri.
Yee Siew Kuan, Dharatun Nissa Fuad Mohd Karima, Jamaliah Hamdan, Noriah Mohd Ishak dan Mohd Izwan Mahmuda (2017) mendapati pelajar pintar cerdas dan berbakat mengalami tekanan hidup di tahap yang sama seperti rakan-rakan sebaya mereka. Namun begitu, disebabkan ciri-ciri unik yang mereka ada, mereka juga mengalami kemurungan, kebimbangan dan tekanan lain yang berkait rapat dengan kepintaran dan bakat mereka seperti kemurungan, tekanan dan kebimbangan. Neihart dan Pfeiffer (2015) menjelaskan pelajar pintar cerdas dan berbakat menghadapi pelbagai isu psikologi yang unik tetapi kelebihan yang mereka miliki seperti menambahkan kerumitan kepada perkembangan mereka. Seterusnya memberi mereka tekanan emosi dan sosial sehingga terfikir untuk membunuh diri.
Kajian oleh Cross dan Cross (2015) membincangkan tentang tanda-tanda tingkah laku yang dizahirkan oleh kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang cuba membunuh diri iaitu kurang tidur, penurunan dalam pencapaian akademik, mengasingkan diri daripada masyarakat atau orang sekeliling, hilang minat terhadap perkara yang disukai, perubahan terhadap penampilan diri seperti semakin tidak terurus, mengisi diri dengan pemikiran membunuh diri seperti mengkaji tentang kejadian membunuh diri atau menonton aksi membunuh diri di internet, masalah tingkah laku yang lain semakin meningkat, memberi benda yang disayangi dengan mudah, penggunaan dadah dan alcohol yang salah, mempunyai sejarah penderaan atau pengabaian, sejarah cubaan membunuh diri, kekerapan mengadu tentang kebimbangan berpenyakit, mengeluarkan kata-kata yang berkaitan dengan kematian, tidak membuat perancangan masa hadapan dan akhir sekali ialah sentiasa dalam kemurungan dan depresi. Kesemua ini merupakan simptom-simptom yang perlu diberi perhatian yang dicetus oleh mood dan hipersensitif.
Kesimpulan
Md Jais Ismail, Rorlinda Yusuf dan Loo Fung Chiat (2018) mendapati setiap kanak-kanak mempunyai kepintaran dan bakat yang tersendiri. Ada sesetengahnya pula mempunyai daya berfikir lebih tinggi dan mempunyai kebolehan yang unik jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya umur kronologi dengannya. Walau bagaimanapun, kanak-kanak ini tidak terlepas daripada mengalami isu masalah tingkah laku. Perhatian dan kesedaran masyarakat sekeliling amatlah diperlukan dalam mengatasinya.
RUJUKAN
Apistola, M. 2017. Suicidality and Giftedness. A Literature Review.
Cross, J.R. & Cross, T. L. 2015. Clinical and Mental Health Issues in Counseling the Gifted
Individual. Journal of Counseling & Development. 93:163-172.
Esra Altıntas & Sukru Ilgun. 2016. The Term “Gifted Child” From Teachers‟ View. Academic
Journals.11(10): 957-965. Doi: 10.5897/Err2016.2762.
Fabian Guénolé & Jean-Marc Baleyte. 2017. The Paradox of Gifted Children. Revue De
Neuropsychologie. 9: 19-26.
Haberlin, S. 2015. Don’t Stress: What Do We Really Know About Teaching Gifted children
Cope With Stress and Anxiety? Journal Gifted and Talented International. Vol. 30(1-2): 146-151.
Hanna David. 2017. A Double Label: Learning Disabilities and Emotional Problems Among
Gifted Children. International Letters of Social and Humanistic Sciences. 75: 22-3. Doi:10.18052/Www.Scipress.Com/Ilshs.75.22.
Hugo Peyre A. B., Franck Ramus A., Maria Melchior C., Anne Forhan D., Barbara Heude D. &
Nicolas Gauvrit. 2016. Emotional, Behavioral and Social Difficulties among High-IQ Children during the Preschool Period: Results of the EDEN Mother–Child Cohort. Personality and Individual Differences. 94: 366–371.
Kennedy, K., & Farley, J. 2018. Counseling Gifted Students: School-Based Considerations and
Strategies. International Electronic Journal of Elementary Education. Volume 10(3): 361-367.
Neihart, M., Pfeiffer, S., & Cross, T. 2015. The Social and Emotional Development of Gifted
Children: What Do We Know? Sourcebooks, Inc.
Nor Aimi Harun. 2018. Memahami Masalah Stres Dalam Kalangan Kanak-Kanak Pintar Cerdas
Berbakat. E-Jurnal Penyelidikan dan Inovasi. 5(2): 202-215.
Nurul Bahirah Annual & Mohd Jasmy Abd Rahman. 2018. Tingkah Laku Disruptif Dalam
Kalangan Pelajar. Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam. 563-570.
Pan, H. K., & Arip, M. A. S. M. 2018. Constructing Validity and Reliability of Suicide Tendency
Inventory. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences. 8(2): 475–489.
Yee Siew Kuan, Dharatun Nissa Fuad Mohd Karima, Jamaliah Hamdan, Noriah Mohd Ishak &
Mohd Izwan Mahmud. 2017. Jenis Personaliti MBTI dan Trait Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan Dalam Kalangan Pelajar Pintar dan Berbakat. Jurnal Psikologi dan Kaunseling. 8:85-95.
Ditulis oleh Nusaibah bt Wan Fatul

Nusaibah Bt Wan Fatul ialah seorang guru Bahasa Inggeris di Selangor yang memiliki B.ed (HONS) TESL dari UNISEL (2015) dan M.Ed dalam Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dari UKM (2021). Beliayu berpengalaman dalam mengajar pendidikan khas di PPDK Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS), YAWAS.
*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak mewakili HIVE Educators.