Pengenalan
Teori Pemusatan Insan disebut juga sebagai teori konsep kendiri atau teori fenomenologi yang digolongkan ke dalam psikologi kemanusiaan (humanistik), gestalt dan kewujudan. Teori Pemusatan Insan atau juga disebutkan sebagai Teori Pemusatan Perorangan merupakan teori yang dipelopori oleh Carl Ransom Rogers pada tahun 1930 yang menamakannya kaunseling bukan-arahan atau kaunseling pusatan-klien. la mencabar pendekatan-pendekatan pusatan-kaunselor dan kaunseling arahan yang mengandaikan bahawa kaunselor itu dalam semua hal dan berkeupayaan membantu kliennya di dalam semua bidang. Teori ini mencabar teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang berbentuk nasihat, saranan, arahan kaunselor, pujukan, pengajaran, diagnosis dan pentafsiran oleh kaunselor. Cabaran ini dilakukan oleh Rogers semata-mata kerana kepercayaan dan keyakinannya bahawa manusia itu memang baik, memang boleh dipercayai, dan memang mempunyai keupayaan yang banyak untuk memahami diri mereka sendiri serta menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami sendiri, tanpa campur tangan secara langsung oleh kaunselor.
Sejarah Hidup Carl Rogers
Carl Ransom Rogers dilahirkan pada pada 8hb Januari 1902, di Oak Park, Illinois, dan meninggal dunia pada 1987. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kuat berdisiplin, penuh keagamaan dan bermoral tinggi. Rogers mula belajar di University of Wisconsin dalam bidang pertanian, tetapi dua tahun kemudian dia menukar pengajiannya kepada bidang keagamaan di Union Theological Seminary di New York. Walau bagaimanapun, Rogers keluar dari kumpulan keagamaan kerana mempertikaikan beberapa doktrin agama serta mempersoalkan tentang makna kehidupan. Beliau lebih memikirkan dirinya sebagai seorang ahli psikologi klinikal dan seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Teachers’ College, Columbia University dan mendapat Ph.D pada tahun 1928. Semasa di Columbia lagi, Rogers sudah cuba mengharmonikan idea-idea yang bertentangan seperti fahaman wawasan Freudian dengan kaedah statistik saintifik, dan seterusnya fahaman keagamaan dengan fahaman saintifik, gerak hati (intuition) dengan objektif dan klinikal dengan statistik. Rogers mula bekerja sebagai pakar psikologi bertaraf Pengarah di Child Study, Department of the Society for the Prevention of Cruelty to Children, di Rochester, New York, Profesor Psikologi Klinikal di Ohio State University (1940-1943), Profesor Psikologi dan Pengarah Kaunseling di University of Chicago (1945-1957), Profesor Psikologi dan Psikiatri di University of Wisconsin (1957-1963), Pengarah di Western Behavioral Sciences Institute (19631968), dan Pengarah di Centre for the Studies of the Person (1968 – 1987).
Kisah Rogers Singa
Misalnya, tingkah laku manusia ada persamaan dengan tingkah laku seekor singa. Menurut Rogers, seekor singa merupakan binatang konstruktif dan boleh dipercayai dalam golongan makhluk singa. Walaupun singa biasanya digambarkan sebagai binatang buas tetapi makhluk ini mempunyai kualiti yang baik. Dia membunuh hanya apabila dia lapar, bukan membunuh dengan sewenang-wenangnya. Seekor singa membesar daripada anak yang begitu bergantung kepada kebebasan dan ia bertukar daripada menjadi makhluk yang mementingkan diri sendiri kepada makhluk yang sentiasa bekerjasama dan menjaga kepentingan kumpulan. Jadi, apa yang jelas di sini ialah pandangan Rogers terhadap manusia adalah begitu positif, sama seperti pandangan Maslow dan Goldstein yang menekankan bahawa organisme bergerak ke hadapan untuk mencapai potensi diri sendiri. Tidak ada penggerak yang destruktif dalam diri manusia, kesemuanya bergerak ke tahap personaliti yang sihat, self-actualising dan self-realising.
Kisah Rogers Kentang
Rogers menceritakan mengenai sebuah kisah hidupnya di zaman kanak-kanak, yang mempengaruhi pembentukan ideologinya dalam PCT. Menurut beliau, ketika musim sejuk, keluarganya akan menyimpan berguni-guni kentang di ‘basement’ rumah sebagai bekalan makanan. Suatu hari beliau turun ke ‘basement’ dan mendapati kentang-kentang tersebut bertunas. Ada tunas putih, ada yang hijau. Tunas-tunas itu juga tumbuh ke arah yang berbeza-beza. Melihat kepada kentang-kentang itu terus bertunas walaupun dalam keadaan gelap dan kurang cahaya, Rogers percaya manusia juga seperti kentang iaitu mereka memiliki kemampuan dan kecenderungan semula jadi untuk menuju kehidupan yang seimbang dan lebih baik walaupun berada dalam kehidupan yang rumit. Rogers menamakan kecenderungan ini sebagai “actualizing tendency”. Manusia secara semula jadinya “full of resources”. Dalam keadaan yang sukar, manusia akan menggunakan potensi dalaman untuk memperbaiki kehidupan. Seterusnya, terdapat kentang yang bertunas hijau, mungkin kerana mendapat sedikit cahaya. Ada yang bertunas putih kerana kurang cahaya. Rogers mengaitkan perkara ini dengan “berkembang mengikut kapasiti”. Sama seperti manusia, setiap daripada kita mempunyai kemampuan dan kelebihan hidup yang berbeza-beza. Ada antara kita yang bertuah berbanding yang lain, datang dari keluarga yang berpengaruh. Maka jika tidak memiliki kemahiran yang tinggi sekalipun, kita berpeluang untuk pergi jauh dalam kehidupan atau kerjaya kerana kelebihan ini tetapi ada antara kita yang tidak memiliki kelebihan dari mana-mana segi, maka kita perlu meletakkan usaha yang lebih dan kemungkinan tahap kehidupan kita tidak sebaik yang memiliki kelebihan. Namun, fokus kita adalah pada “berkembang mengikut kapasiti” kita. Pergi sejauh mana yang kita mampu. Dalam lingkungan kemampuan kita. Yang penting, kita “bertunas”. Akhir sekali, tunas kentang tumbuh pada arah yang berbeza. Setiap manusia punya jalan hidup masing-masing dan kita dengan sendirinya akan berkembang mengikut arah hidup kita. Rogers mengaitkan ia dengan “self-directed behavior”.

Menurut Suradi Salim (1996), manusia dianggap mempunyai sifat-sifat positif dan mempunyai keinginan untuk berfungsi penuh, iaitu hidup dengan seberapa berkesan yang boleh. Jika seseorang itu dibenarkan untuk berkembang dengan bebas, beliau akan berkembang dengan sempurna dan akan menjadi individu yang positif dan berjaya. Pandangan seseorang tentang dirinya dalam konteks persekitarannya menentukan tingkah lakunya dan kepuasan peribadinya. Jika diberikan atau disediakan dengan persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang dengan yakin ke arah nirwana kendiri – menjadi apa sahaja yang dia inginkan. Jika manusia tidak menerima kasih sayang dan sokongan orang yang penting baginya, kemungkinan besar manusia menganggap dirinya tidak berharga dan menganggap orang lain tidak boleh dipercayai, serta mereka akan bersikap mempertahankan diri dan perkembangan ke arah nirwana diri akan terhalang.
Kesimpulan
Melalui kisah hidup Rogers yang penuh inspirasi, seperti analogi singa dan kentang, kita menyaksikan keyakinannya dalam kemampuan manusia untuk berkembang dan menyelaraskan diri dengan lingkungan mereka. Pandangan ini menggambarkan pentingnya persekitaran yang menyokong dan kasih sayang dalam membentuk kualiti hidup seseorang. Dengan pemahaman ini, kita dapat melihat bagaimana manusia dapat mencapai kejayaan dan kepuasan diri melalui pertumbuhan dan perkembangan positif. Sebagai kesimpulannya, bagi membolehkan seseorang itu berkembang secara positif dan membina, mestilah wujud tiga suasana atau keadaan iaitu Kejujuran, keikhlasan dan kebenaran, penerimaan tanpa syarat dan perasaan ambil berat serta Kefahaman yang mendalam.
RUJUKAN
Marianne Minor. (1998). Kaunseling dan Bimbingan. Penerbitan Pelangi. Selangor
Othman Mohamed (1996) Teori-teori Kaunseling dan Psikoterapi. Serdang: IDEAL UPM
Rogers, Carl R., Counselling And Psychotherapy; Newers Concepts In Practise (1942)
Boston; Houghton Mifflin
Shertzer , B dan Stone, Sc., Fundamentals of Counseling (1968), Boston; Houghton Mifflin
Suradi Salim, Bimbingan dan Kaunseling (1996), Kuala Lumpur ; Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Sapora Sipon & Wan Anor Wan Sulaiman (2002), Pengantar Kaunseling. Kuala Lumpur.
Prentice Hall
Ditulis oleh Kineesha a/p Pannir Selvam

Kineeshaa a/p Pannir Selvam merupakan seorang guru akademik dan Ketua Panitia Pendidikan Moral di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Desa Cemerlang, Johor. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Selain itu, beliau juga merupakan seorang Pakar Neuro-Psikologi Profesional yang sah, serta seorang Jurulatih Atletik Kanak-Kanak. Beliau telah mencapai pensijilan sebagai Google Certified Educator Tahap 1 & 2 dan turut merupakan Psychology First Aider. Beliau merupakan graduan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pahang, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang dan diiktiraf sebagai pelajar cemerlang dalam Praktikum dan Internship Bimbingan dan Kaunseling. Beliau turut terlibat dalam pembinaan Modul Intervensi Krisis dan Sijil Kompetensi Penjagaan Warga Emas Universiti Malaya. Selain itu, beliau adalah penulis bagi beberapa bab dalam buku terbitan UMS Press dan juga dalam buku berjudul ‘Di Sini Karyaku Bermula…’.
*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak mewakili HIVE Educators.