Strategi menangani isu masalah tingkah laku untuk mendidik kanak-kanak pintar cerdas & berbakat

Kaitan Teori dan Model dalam Menangani Isu Masalah Tingkah Laku

Berdasarkan kupasan isu masalah tingkah laku yang dihadapi kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat dalam artikel yang bertajuk ‘Isu Masalah Tingkah Laku Yang Dihadapi Kanak-Kanak Pintar Cerdas & Berbakat‘ , jelas isu-isu stress, penyesuaian dan tindakan membunuh diri perlu diatasi. Terdapat tiga kaedah yang sering digunakan oleh ibu bapa, kaunselor dan guru dalam mengatasi isu-isu tersebut iaitu keibubapaan atau pengaruh ibu bapa dan keluarga dalam mendidik anak pintar cerdas dan berbakat, kaunseling dan daya tindak. 

Keibubapaan atau Parenting

Keibubapaan berkait rapat dengan Teori Model Rangka Kerja Eipstein yang mengetengahkan enam jenis penglibatan iaitu ibu bapa, komunikasi, sukarelawan, pembelajaran di rumah, membuat keputusan dan berkolaborasi dengan komuniti. Nor Aimi Harun (2018) mendapati isu terhalang daripada menerima bantuan dan sokongan optimum daripada ibu bapa berkenaan kaedah mengawal atau menangani tekanan. Isu stres mampu dihindari jika ibu bapa dan guru yang berperanan sebagai ibu bapa kedua di sekolah didedahkan dengan latihan dan kemahiran terapi stres. Manakala kajian oleh Yazdani dan Daryei (2016) membincangkan tentang faktor keibubapaan yang autoritarian dan permisif meruakan pengaruh primer hubungan antara kanak-kanak pintar cerdas berbakat tersebut dengan ibu bapa masing-masing dan kesejahteraan kanak-kanak tersebut. Kaedah didikan keibubapaan yang autoritarian dan permisif merupakan gaya tunjang dalam isu penyesuaian. Kajian lepas menunjukkan didikan keibubapaan yang bersikap bermusuhan atau hostile, terpisah atau detached dan menolak memberi impak negatif terhadap penyesuaian. Effa Rinny Octavia Paidin dan Abu Yazid Abu Bakar (2019) menjelaskan perkembangan kanak-kanak pintar cerdas berbakat dipengaruhi oleh persekitaran keluarga mereka yang bermula dari rumah. Oleh itu, gaya keibubapaan (autoritatif, authoritarian, permisif, pengabaian) banyak mempengaruhi emosi dan tingkah laku pelajar pintar cerdas dan berbakat. Dalam meneliti gaya keibubapaan terhadap mendidik kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini kajian oleh Leana-Tascilar, Ozyaprak, dan Yilmaz, (2016) memberi idea tentang mengadakan latihan kemahiran atas talian (online) dalam mengenal pasti dan meningkatkan kesedaran tentang ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Latihan kemahiran atas talian ini membantu ibu bapa mempelajari dan mendalami anak masing-masing. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan tahap kesedaran ibu bapa yang tinggi dalam kepentingan mendidik dan membesarkan kanak-kanak pintar cerdas berbakat. 

Kaunseling

Kaunseling di sekolah merupakan tindakan asas dibuat selepas keibubapaan dirumah. Kaedah kaunseling disokong oleh Teori Kaunseling dan Psikologi yang tersenarai dalam Melati Sumari, Ida Hartina Ahmed Tharbe, Norfaezah Md Khalid dan Azmawaty Mohamad Nor (2014). Evren Ersoy (2018) menyatakan antara peranan yang besar ditanggung oleh para guru ialah mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas dan membantu memberi sokongan yang diperlukan. Jean S. Peterson (2015) membincangkan tentang tiga peranan seorang kaunselor dalam menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada kanak-kanak tersebut. Pertama ialah kaunselor tiada bias dalam membina hubungan yang stabil untuk mendalami isu yang dihadapi kanak-kanak tersebut. Kedua, membina satu program khusus untuk kanak-kanak pintar cerdas berbakat dalam bidang yang diceburi. Ketiga, bertindak sebagai advokasi dengan mendekati dan menyantuni kanak-kanak genius ini dengan cara yang professional. Berbekalkan peranan khas kaunselor dalam memberi bimbingan dan kaunseling kepada kanak-kanak pintar cerdas berbakat ini terdapat juga pendekatan yang berbeza dalam kaunseling di sekolah. Pertama ialah penggunaan kanta perkembangan dimana kanak-kanak tersebut dibimbing untuk menghadapi isu tingkah laku berdasarkan perkembangan mereka. Kedua ialah pendidikan-psiko atau psychoeducation dimana kanak-kanak pintar cerdas berbakat belajar mengenali diri sendiri daripada kekuatan dan kelemahan serta cara menggunakan kelebihan yang ada untuk kebaikan dan mengatasi kelemahan dengan berhemah. Ketiga ialah pembentukan semula atau reframing dimana kanak-kanak pintar cerdas berbakat diajar untuk melihat atau mengambil kejatuhan sebagai batu loncatan dalam kejayaan. Keempat ialah change–loss–grief framework iaitu membimbing kanak-kanak ini supaya menerima kegagalan atau kesedihan yang dialami secara berperingkat kemudian menggantikan dengan kejayaan atau kebahagiaan yang baru. Akhir sekali ialah perbincangan kumpulan kecil iaitu dengan membina satu kumpulan kecil antara kanak-kanak pintar cerdas berbakat untuk meluahkan emosi dan berkongsi pendapat sebagai kesejahteraan psikologi. Manakala Kelly Kennedy dan Jessica Farley (2018) mengesyorkan kaunseling yang lebih kurang sama dengan menggunakan tatacara terapi iaitu 1) Cognitive-behavioral therapy (CBT) ialah pendekatan kaunseling yang mengaplikasi dasar-bukti yang menyatakan perasaan dan tingkah laku adalah ditentukan oleh pemikiran individu atau berpusatkan kognitif.   2) Solution-focused brief therapy (SFBT) ialah pendekatan kaunseling yang menggunakan dasar-kekuatan yang menumpukan kepada jalan penyelesaian sebagai kaedah membina semula konsep dan menyelesaikan masalah tingkah laku. Terapi ini berkesan dalam mengembangkan gaya pemikiran individu tentang isu dan penyelesaian. Kaedah kaunseling yang lain yang boleh mengubah tingkah laku dikalangan kanak-kanak pintar cerdas berbakat oleh Fisher dan Kennedy (2016) termasuklah kesedaran, meditasi, kaedah tarikan pernafasan, Progressive Muscle Relaxation (PMR) atau regangan otot dan bantuan pengimejan. 

Daya Tindak

Daya tindak menurut Mohamad Zunnur Ibrahim (2015) dikategorikan kepada dua iaitu problem-focused; usaha untuk membaik pulih daripada situasi stres dan emotional-focused; pengurusan tingkah laku terhadap stres. Manakala Ramadhawati Wahab, Habsah Ismail dan Samsilah Roslan (2015) merujuk daya tindak kepada usaha yang menggunakan kemahiran kognitif dan tindakan untuk menguruskan tekanan psikologi yang dihadapi kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat. Daya tindak sentiasa berubah untuk menguruskan matlamat khusus luaran dan/atau dalaman yang diukur sebagai perkara yang memberi tekanan atau di luar kemampuan seseorang individu untuk tujuan penyelesaian. Usaha ini melibatkan penggunaan strategi daya tindak yang terdiri daripada strategi daya tindak berdepan, menjarakkan diri, pengawalan diri, mencari sokongan sosial, penerimaan tanggungjawab, hindaran pengelakan, perancangan penyelesaian masalah dan penilaian semula positif. Mengikut teori daya tindak oleh Folkman dan Lazarus ini, ia dilihat sebagai respon seseorang individu dengan tujuan untuk mengurangkan beban fizikal dan psikologi yang datang daripada tekanan rentetan daripada sejarah peristiwa tertentu. Oleh itu, daya tindak ialah proses yang melibatkan penggunaan satu siri kemahiran dan strategi yang dipilih bertujuan menghadapi sesuatu situasi yang mempunyai tekanan atau kesukaran. Keupayaan daya tindak dapat dibentuk melalui proses pembelajaran dan mampu untuk memberi kesejahteraan dari segi psikologi. Dapatan kajian oleh Ramadhawati Wahab et. al (2015) mendapati murid pintar cerdas dan berbakat mengaplikasi kedua-dua jenis dimensi; strategi daya tindak tumpuan emosi dan strategi daya tindak tumpuan masalah dalam menghadapi stres. Pelbagai strategi daya tindak digunakan ketika berhadapan situasi yang membebankan mengikut tahap emosi dan kemahiran kognitif individu. 

Kesimpulan

Md Jais Ismail, Rorlinda Yusuf dan Loo Fung Chiat (2018) mendapati setiap kanak-kanak mempunyai kepintaran dan bakat yang tersendiri. Ada sesetengahnya pula mempunyai daya berfikir lebih tinggi dan mempunyai kebolehan yang unik jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya umur kronologi dengannya. Walau bagaimanapun, kanak-kanak ini tidak terlepas daripada mengalami isu masalah tingkah laku. Perhatian dan kesedaran masyarakat sekeliling amatlah diperlukan dalam mengatasinya. 

RUJUKAN

Effa Rinny, Octavia Paidin & Abu Yazid Abu Bakar. 2019. Gaya Keibubapaan Mempengaruhi

Emosi dan Sikap dalam Kalangan Pelajar Pintar Cerdas. Prosiding International Counselling Seminar (Icons). 66-70. 

Fisher, E. S., & Kennedy, K. 2016. Counseling diverse populations in schools. New York:

Oxford University Press.

Jean S. Peterson. 2015. School Counselors and Gifted Kids: Respecting Both Cognitive and

Affective. Journal of Counseling & Development. 93: 153-162. 

Kennedy, K., & Farley, J. 2018. Counseling Gifted Students: School-Based Considerations and

Strategies. International Electronic Journal of Elementary Education. Volume 10(3): 361-367.

Leana-Tascilar, M. Z., Ozyaprak, M. & Yilmaz, O. (2016). An Online Training Program for

Gifted Children’s Parents in Turkey. Eurasian Journal of Educational Research. 65: 147- 164. 10.14689/ejer.2016.65.09.

Md Jais Bin Ismail, Rorlinda Binti Yusuf & Loo Fung Chiat. 2018. Aktiviti Muzikal Yang

Sesuai Dijalankan Semasa Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Muzik Murid-Murid Pintar Dan Berbakat Di Malaysia. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities. Volume 3, Issue 5: 30-40.

Mohamad Zunnur Ibrahim (2015). Hubungan Tekanan, Strategi Daya Tindak dan Daya Tahan

Dalam Kalangan Penjawat Awam di Jabatan Kerja Raya (JKR), Langkawi. [E-LPTA] (Unpublished). 

Melati Sumari, Ida Hartina Ahmed Tharbe, Norfaezah Md Khalid & Azmawaty Mohamad Nor.

2014. Teori Kaunseling dan Psikoterapi. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Nor Aimi Harun. 2018. Memahami Masalah Stres Dalam Kalangan Kanak-Kanak Pintar Cerdas

Berbakat. E-Jurnal Penyelidikan dan Inovasi. 5(2): 202-215.

Ramadhawati Wahab, Habsah Ismail & Samsilah Roslan. 2015. Tahap Daya Tindak Dalam

Kalangan Murid Pintar Cerdas. JPBU. 8: 6-11.

Yazdani, S. & Daryei, G. 2016.  Parenting Styles and Psychosocial Adjustment of Gifted and

Normal Adolescents. Pacific Science Review B: Humanities and Social Sciences. http://dx.doi.org/10.1016/j.psrb.2016.09.019

Ditulis oleh Nusaibah bt Wan Fatul

Nusaibah Bt Wan Fatul ialah seorang guru Bahasa Inggeris di Selangor yang memiliki B.ed (HONS) TESL dari UNISEL (2015) dan M.Ed dalam Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dari UKM (2021). Beliayu berpengalaman dalam mengajar pendidikan khas di PPDK Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS), YAWAS.

*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak mewakili HIVE Educators.

Leave a comment