Alamak! Hari ini perlu menulis karangan lagi?
Itulah antara ungkapan yang sering didengari oleh guru apabila mengutarakan perancangan mereka untuk membuat latihan karangan di dalam kelas. Sebahagian pelajar kini kurang menunjukkan minat terhadap penulisan karangan kerana tidak mempunyai motivasi dan berpendapat bahawa tiada kelebihan untuk mereka menulis. Antara sebab – sebab lain pelajar kurang berminat dengan penulisan adalah seperti berikut:
Kurang Minat dalam Topik : Pelajar tidak suka menulis jika tajuk atau topik yang diberikan oleh guru tidak menarik minat mereka. Kesukaran untuk membuat kaitan antara topik dan kepentingan peribadi telah mengurangkan motivasi mereka. Keterujaan itu semakin pudar dan akhirnya mereka memilih untuk tidak bersungguh – sungguh melakukan tugasan tersebut. Contohnya tajuk karangan berbentuk fakta atau memerlukan pendapat. Menurut kajian Jamian et al. (2011), pencapaian murid dalam kemahiran menulis karangan lemah kerana tidak menguasai topik karangan.
Tidak Ada Ruang Kreatif: Sekiranya pelajar merasa bahawa mereka tidak diberi peluang untuk mengekspresikan kreativiti atau pendapat peribadi mereka dalam penulisan, mereka kehilangan minat dalam aktiviti menulis. Hal ini terjadi apabila penekanan yang diberikan oleh sesetengah guru yang ingin mendorong pelajar untuk menulis mengikut format yang betul membuatkan sesetengah kreativiti disekat.
Tanggapan Negatif atau Kritikan Berlebihan: Kritikan yang tidak konstruktif atau respons negatif terhadap penulisan pelajar membuatkan mereka kehilangan keyakinan dan semangat untuk terus menulis. Faktor ini sering diutarakan oleh kebanyakkan pelajar apabila diminta untuk menulis seperti “kalau tulis pun salah, nanti cikgu marah”.
Beban Kerja yang Tinggi: Penulisan karangan memerlukan idea yang banyak dan pengolahan isi yang baik bagi membolehkan kelancaran penulisan tersebut, namun disebabkan bebanan kerja sekolah yang lain juga membuatkan pelajar tidak mempunyai masa untuk bersengkang mata menulis karangan.
Pilihan Media Alternatif: Dalam era digital, pelajar lebih tertarik menggunakan media alternatif seperti video atau grafik, dan ini mengurangkan minat mereka dalam menulis secara konvensional. Pada pendapat mereka, menulis meletihkan dan mereka malas untuk melakukannya. Mereka lebih gemar menekan menggunakan jari berbanding menggerakkan pen dengan tangan.
Artikel ini ditulis kerana amat penting untuk mengenali dan memahami alasan-alasan ini agar pendidik dapat merancang pendekatan yang sesuai untuk meningkatkan minat dan kemahiran menulis di kalangan pelajar. Jika dilihat kepada kualiti penulisan kini, lebih ramai pelajar yang memilih jalan mudah dengan hanya sekadar menghasilkan karangan tanpa meletakkan minat dan kesungguhan. Siti Zabidah (2006) dalam kajiannya menyatakan tujuan penggunaan kepelbagaian strategi dan pendekatan dalam pengajaran kemahiran menulis di sekolah adalah untuk memastikan pengajaran kemahiran menulis tidak membosankan murid. Dalam pada masa yang sama, guru – guru harus peka akan keadaan di mana faktor kurangnya membaca telah membuatkan pelajar – pelajar ini tidak berani untuk mengolah ayat menjadi karangan.
Rujukan
Jamian, A. R. (2021). Permasalahan kemahiran membaca dan menulis Bahasa Melayu murid-murid sekolah rendah di luar bandar. Jurnal pendidikan bahasa melayu, 1(1), 1-12.
Mohamed, S. Z. (2006). Kesan pendekatan penyebatian kemahiran berfikir kreatif dalam pengajaran karangan deskriptif dan karangan imaginatif dalam kalangan pelajar tingkatan IV. Universiti Sains Malaysia: Disertasi PhD.
Tonge, M. L., & Mahamod, Z. (2020). Kesan pembelajaran berasaskan projek terhadap kemahiran menulis karangan murid sekolah rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 45(1), 12-20.
Ditulis oleh Yang Qammarina Mohd Toha

Beliauy merupakan guru tuisyen di Tuisyen Celik Jaya dan juga merupakan calon PhD di University Malaysia Terengganu.