Wahai Guru, Hargailah Masa Terluang

Masa adalah lukisan waktu yang tercipta oleh garis kehidupan kita. Setiap detik masa adalah satu peluang untuk menciptakan kisah indah, kenangan dan merangkai segala erti perjalanan hidup kita. Mengikut Kamus Dewan, masa merujuk kepada waktu atau ketika. Masa ini akan mengajarkan kita akan erti kesempatan dan kenikmatan.

Bagi para guru, ramai yang tertekan dengan detik masa terutama melibatkan hal-hal di luar bilik darjah. Setiap daripada mereka terpaksa mencari penawar sendiri dalam menguruskan masa agar mereka tidak terperangkap dengan masa yang menjerat untuk melakukan hal-hal yang bermakna.

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa masa itu emas. Oleh itu, setiap guru harus manfaatkan masa yang ada. Jauhi sikap bersenang lenang atau goyang kaki setiap kali ada masa lapang. Masa lapang yang terisi kebiasaannya adalah berkaitan dengan hobi atau minat seseorang. Bahkan seorang ulama terkenal dengan karya-karya sektakuler iaitu Buya Hamka mengatakan bahawa masa adalah guru yang tidak pernah lelah memberikan pelajaran berharga.

Sebab itulah semua guru perlu menghargai masa yang ada kerana masa mengajar tentang kekuatan dan kebijaksanaan. Masa sudah semestinya akan menawarkan kesempatan untuk guru belajar dan mengukir jejak kejayaan yang abadi.

Guru boleh melakukan beberapa aktiviti untuk mencipta kebahagiaan tersendiri.

Antaranya melakukan aktiviti berfaedah dan menyihatkan seperti bersukan dan bersenam. Guru boleh pergi ke taman permainan, padang, pantai atau ke tempat yang boleh melakukan aktiviti bersenam yang lain. Aktiviti ini sudah pastinya dapat mengeluarkan peluh dan menyihatkan tubuh badan.

Seterusnya, guru juga boleh mengunjungi pusat sumber atau perpustakaan yang terdekat. Di sana guru boleh membaca pelbagai buku dan artikel yang bermanfaat. Percayalah, membaca adalah satu terapi menenangkan fikiran dan juga boleh membuatkan otak berkembang dengan mengetahui perkembangan semasa di dalam dan luar negara. Paling penting, bahan ilmiah yang dibaca boleh diisi dalam Sistem Pengurusan Latihan (SPL) bagi mendapat mata tambahan.

Selain itu, guru yang berminat dengan kerja bercucuk tanam juga boleh melakukan perkara ini. Selain untuk kegunaan diri sendiri dan juga jimat belanja, guru juga boleh menjual hasil tanaman untuk dijadikan sumber pendapatan tambahan. Juallah kepada jiran, ibu bapa serta rakan guru yang terdekat.

Di samping itu, jika ada masa terluang terutama hari minggu guru boleh menyertai aktiviti komuniti setempat yang diadakan di surau, masjid, balai raya, pusat Internet dan sebagainya. Sebagai contohnya, di masjid guru boleh mengikuti kelas agama, ceramah dan juga bengkel. Sudah pastinya aktiviti yang bermanfaat ini juga boleh  diisi dalam Sistem Pengurusan Latihan (SPL) bagi mendapat jam kredit sebagai aktiviti luar KPM.

Akhir sekali, bagi yang minat dengan alam sekitar guru boleh mengunjungi tempat menarik yang terdekat dengan tempat tinggal. Guru boleh mengunjungi air terjun dan sungai serta tempat rekreasi yang lain. Di sini guru boleh berehat serta menenangkan fikiran. Guru boleh lari dari hiruk-piruk dengan mengunjungi tempat yang dimaksudkan ini. Sudah pastinya tempat ini akan menjadi satu terapi minda setelah penat seharian bekerja.

Kesimpulannya,  banyak lagi aktiviti yang boleh cikgu lakukan untuk berehat. Jadi cikgu-cikgu, ingatlah satu peribahasa orang tua dahulu yang berbunyi tepuk dada tanya selera. Maka tekadkan dalam diri cikgu untuk melakukan kegiatan yang mendatangkan faedah kepada diri sendiri.  Secara tuntasnya cikgu harus belajar untuk menghargai waktu yang ada, kerana waktu yang telah berlalu adalah sesuatu yang tidak boleh kembali lagi.

Ditulis oleh Ahmad Safarman Dollah

Ahmad Safarman Dollah, lahir di Kota Bharu Kelantan. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Sastera (Pengkhususan Bahaa dan Linguistik Melayu) di UPM, Serdang Selangor. Kemudian menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLL) dalam bidang Pengajian Melayu Di IPGM Kampus Perlis.  Seterusnya ditempatkan mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaaan (SJKC) Ayer Kala Lenggong, Perak. Selepas itu bertukar sekolah di Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik Perak sehingga kini.  Guru subjek Bahasa Melayu dan Sejarah ini sangat aktif di Hulu Perak terutama dalam bidang koakademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bahas, bercerita, pidato, pantun, cerpen, sajak, teater solo dan sebagainya.

Boleh dihubungi melalui laman  https://www.facebook.com/Cikgu.ahmad.safarman/

*This piece is solely the personal opinion of the author and does not necessarily reflect HIVE Educator’s stance.

Leave a comment