Sukan merupakan wadah bagi membangunkan bakat murid. Anjakan paradigma yang dilakukan oleh mana-mana pihak bagi melestarikan pencapaian sukan negara seharusnya mendapat sokongan padu oleh masyarakat kita supaya kejayaan sukan terus menyinar hingga ke peringkat dunia. Kejayaan ahli sukan negara sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa segalanya bermula dengan minat dan pencapaian yang diperolehi sejak di bangku sekolah lagi. Impian besar bagi melahirkan jaguh sukan negara bakal tercapai apabila adanya usaha pembangunan sukan yang berterusan dalam kalangan murid sejak kecil lagi. Matlamatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencungkil bakat murid serta mengelakkan daripada ketandusan pelapis sukan negara dan dapat menandingi atlet-atlet luar negara. Oleh itu, kegiatan aktiviti sukan dalam kalangan murid bermula dari sekolah rendah memberikan seribu makna kepada individu, sosial mahupun negara.
Kegiatan sukan di sekolah amat menyokong aktiviti pembelajaran di luar kelas. Aktiviti pembelajaran murid tidak terhad berlaku dalam satu-satu kawasan yang tertumpu di dalam kelas sahaja. Pemerolehan ilmu boleh dicapai melalui kegiatan aktiviti luar bilik darjah melalui aktiviti sukan. Perkara ini sememangnya sudah pasti memberikan pengalaman yang bermakna dan dirasai sendiri oleh murid-murid. Perkara ini dapat dilihat apabila murid-murid dapat menyeimbangkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk diimplementasikan dalam pembelajaran mereka di dalam bilik darjah. Secara tidak langsung, murid dapat mengaitkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada untuk membentuk pengetahuan yang baharu. Natijahnya, murid memiliki kepelbagaian pengalaman untuk disepadukan dan digabungjalinkan antara bidang sukan dengan akademik.
Penulis bersama rakan guru dan murid SK Sungai Jejawi sebagai pengelola Kejohanan Skuasy Majlis Sukan Sekolah Daerah Hilir Perak (2024) di Universiti Teknologi Petronas (UTP)
Selain itu, aktiviti sukan juga membantu seseorang meningkatkan daya berfikir dan menyelesaikan masalah. Setiap sukan yang disertai oleh murid memiliki cabaran yang tersendiri. Murid berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan membuat keputusan dengan lebih cepat sewaktu beraksi dalam perlawanan yang disertai. Secara tidak langsung, mereka dapat merancang strategi kemenangan untuk memastikan pihak diri sendiri mahupun pasukannya mencapai kemenangan dalam perlawanan yang disertainya. Oleh itu, melalui penyertaan murid dalam aktiviti sukan sebenarnya dapat mengasah ketajaman fikiran untuk mereka lebih fokus semasa bertanding dengan pihak lawan. Impaknya, murid mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta merangsang mindanya untuk lebih bermotivasi tinggi agar lebih bersemangat untuk bermain.
Di samping itu, aktiviti sukan dapat melahirkan murid yang cergas dan cerdas. Penyertaan murid dalam aktiviti sukan sememangnya mampu melahirkan murid yang proaktif dalam kehidupan seharian. Perkara ini membantu murid-murid mengatasi masalah kesihatan seperti penyakit kardiovaskular, diabetis mahupun obesiti. Murid dapat menghindari daripada penyakit tersebut apabila mereka bergiat aktif dalam aktiviti bersukan kerana membantu jantung untuk mengepam darah bagi melancarkan pengaliran darah ke seluruh anggota badan serta menyingkirkan toksin melalui pengeluaran peluh daripada tubuh badan. Impaknya, penglibatan murid dalam aktiviti bersukan dapat membantu murid lebih fokus sewaktu belajar. Oleh itu, murid dapat menumpukan pelajaran dengan sebaiknya di dalam kelas.
Penulis bersama Shahril Shahidan Jurulatih Skuasy Kebangsaan sewaktu menjadi pengadil Kejohanan Skuasy Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023
Kemudian, penglibatan murid dalam kegiatan sukan menyediakan laluan kerjaya yang menguntungkan kepada murid. Perkara ini memudahkan murid lebih bersedia memahami dan mengetahui karier yang bersesuaian dalam hidup mereka pada masa hadapan. Pemilihan karier ini mendorong mereka untuk lebih berusaha mencapai kejayaan hingga ke peringkat yang lebih tertinggi kerana adanya ganjaran yang lumayan menanti mereka. Misalnya, kejayaan hidup Dato’ Lee Chong Wei dalam sukan badminton, Datuk Nicol Ann David sebagai ratu skuasy dan Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang digelar sebagai ‘Raja Pecut Asia’ dalam lumba basikal trek menjadikan sukan tersebut sebagai karier hidupnya, wajarlah diikuti oleh anak-anak muda. Laluan kerjaya ini memberi “tuah” kepada mereka yang cenderung ke arah bidang kesukanan berbanding bidang akademik. Oleh itu, murid yang berbakat besar dan cenderung ke arah bidang sukan tidak akan melepaskan peluang keemasan ini untuk melanjutkan pelajaran di sekolah yang berfokuskan bidang sukan supaya mereka dapat memantapkan lagi kemahiran sukan.
Akhir sekali, aktiviti sukan juga mampu memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan murid yang pelbagai kaum. Perkara seharusnya dipandang tinggi oleh semua pihak untuk memastikan keutuhan perpaduan kaum di negara ini kekal terpelihara. Penglibatan sukan oleh murid-murid pelbagai kaum dalam sebuah pasukan wajar dicontohi oleh semua pihak kerana memperlihatkan usaha murni ini untuk menangani krisis pepaduan kaum yang semakin menjadi “barah” dalam institusi kemasyarakatan. Murid dapat mengenali rakan sepasukan mereka dengan lebih rapat lagi apabila mereka digandingkan antara satu sama lain melalui latihan sukan mahupun penyertaan kejohanan sukan. Oleh itu, kita sewajarnya menjadikan sukan sebagai agenda utama pendidikan negara yang berupaya ke arah penyatuan kaum.
Tuntasnya, kegiatan sukan di sekolah banyak memberi faedah kepada murid-murid. Untuk melihat kemenjadian murid pada masa akan datang, kita perlu melihat kesan jangka panjang dalam pembangunan sukan. Amatlah rugi sekiranya tindakan ini tidak dilaksanakan secara serius, akan merencatkan kesinambungan legasi wira dan wirawati negara dalam bidang sukan. Jika, kerjasama, bantuan dan penyediaan infrastruktur sukan yang lengkap dan menyeluruh di setiap kawasan mahupun daerah, tidak mustahil bahawa kejayaan sukan oleh murid-murid akan mengulangi lagi sejarah kegemilangan sukan tanah air. Oleh yang demikian, kerjasama semua pihak sama ada daripada kalangan ibu bapa, guru, organisasi kerajaan mahupun swasta amatlah diharapkan agar merealisasikan kemenjadian murid sejak akar umbi lagi.
Ditulis oleh Muhammad Affan bin Ahamad

Beliau merupakan Edufluencers 3.0 & Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Skuasy Hilir Perak. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Ikon Guru Sukan Daerah Hilir Perak (2024), Anugerah Ikon Guru Muda Berpotensi sempena Hari Guru Daerah Hilir Perak (2023) & Anugerah Khas Bakat Murid Daerah Hilir Perak (2022 & 2023). Jurulatih dan pengadil kejohanan skuasy dalam Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah Perak (MSSPk) & Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sejak tahun 2017 hingga kini. Turut terlibat aktif dalam bidang akademik sebagai penceramah kajian tindakan dan penceramah Sektor Pembelajaran Bahasa Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta merangkul anugerah emas, perak dan gangsa dalam pertandingan inovasi dari peringkat daerah hingga ke peringkat antarabangsa. Jurulatih Utama Pembelajaran Bahasa Melayu Berasaskan Projek (PBMBP) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di daerah Hilir Perak. Penerima Anugerah Guru Berwibawa Guru Hebat Bahasa sempena Hari Guru Kebangsaan di Melaka (2023) dan Johan Anugerah Guru Hebat Bahasa sempena Hari Guru Negeri Perak dan Daerah Hilir Perak (2022) dan banyak penulisan artikel diterbitkan di media akhbar mahupun jurnal berwasit serta terlibat aktif dalam penerbitan penulisan kreatif.