Pentaksiran merupakan salah satu konsep yang penting dalam dunia pendidikan selain daripada penilaian dan pengujian. Pengertian istilah pentaksiran atau assessment adalah berasal daripada perkataan Greek “Assidere” iaitu bermaksud “duduk di sisi” (Adimin, 2011). Menurut Ghafar (2011) mendefinisikan pentaksiran sebagai suatu proses mengukur, proses penilaian secara bersistematik yang melibatkan aktiviti pengumpulan, penganalisisan dan penterjemahan tentang tahap pencapaian pelajar terhadap objektif pengajaran dan pembelajaran.
Terdapat dua bentuk pentaksiran yang dijalankan dalam bilik darjah untuk menilai keberkesan pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah pentaksiran tradisional dan pentaksiran alternatif. Pentaksiran alternatif merupakan suatu bentuk pentaksiran yang berlainan daripada formal seperti penilaian formatif dan sumatif yang digunakan oleh guru di dalam bilik darjah. Rajah 1 di bawah menunjukkan perbezaan di antara pentaksiran tradisional dan pentaksiran alternatif dalam pendidikan matematik.

Menurut Dikli (2003) menyatakan pentaksiran tradisional sering memberi tumpuan kepada kemampuan hafalan dan melihat kembali pembelajaran dari segi tahap kemahiran kognitif yang lebih rendah. Sebagai contohnya, pentaksiran secara tradisional biasanya dibuat melalui pilihan jawapan iaitu aneka pilihan seperti A,B,C dan D maka pelajar kemungkinan membuat pilihan jawapan yang betul walaupun tidak mengetahui jawapan yang sebenar. Selain itu, pelajar lebih banyak menghafal rumus, petua dan hukum-hukum matematik tanpa mengetahui konsep sebenar. Kaedah hafalan adalah pembelajaran yang tidak bermakna kerana ia tidak mementingkan pemahaman konsep matematik. Oleh itu, pentaksiran tradisional mampu menilai pelajar dalam konteks yang lebih rendah iaitu tahap pengetahuan, kefahaman dan ingatan.
Seterusnya, berbanding dengan pentaksiran alternatif, ia menggalakkan pelajar berfikir secara kritital untuk menyelesaikan bentuk soalan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Keadaan ini akan menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif (think out of the box) yang dikenali sebagai pemikiran aras tinggi dalam domain kognitif Taksonomi Bloom. Dengan ini kemajuan kendiri dapat digalakkan kerana pelajar bebas untuk berekspresimen dan menunjukkan kebolehan sama ada dalam bentuk try and error, kreativiti, pembentangan, dan role playing.
Contoh Aktiviti Kemahiran Berfikir Aras Rendah
- Tajuk : Perimeter dan Luas ( Tingkatan 1 KSSM)
- Jenis aktiviti : Aneka pilihan

Dalam latihan di atas pelajar menggunakan tahap pemikiran yang rendah iaitu mengingat dan memahami rumus perimeter untuk menyelesaikan kehendak soalan yang diberi.
Contoh Aktiviti Kemahiran Berfikir Aras TInggi
- Tajuk : Perimeter dan Luas ( Tingkatan 1 KSSM)
- Jenis aktiviti : Tugasan

Dalam tugasan ini pelajar menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi iaitu menganalisis dan menilai untuk menyelesaikan tugasan. Melalui tugasan ini pelajar dapat memahami tajuk perimeter dan luas dengan mendalam kerana cara melaksanakan pentaksiran ini dapat meningkatkan tahap kemahiran berfikir pelajar secara kritikal. Di samping itu, pentaksiran tugasan ini juga membantu pelajar dari segi kemahiran komunikasi yang berkesan untuk menerangkan strategi penyelesaian kepada orang lain serta menjadi lebih cekap dan mahir dalam bidang matematik.
Pentaksiran alternatif merupakan bentuk penilaian yang berdasarkan pencapaian sebenar yang ditunjukkan oleh pelajar di dalam bilik darjah setiap hari. Pentaksiran ini meliputi pentaksiran dari pelbagai aspek merangkumi pengetahuan pelajar, pemahaman mendalam, penyelesaian masalah, kemahiran sosial, sikap terhadap persekitaran dan simulasi terhadap situasi dunia sebenar. Selain itu, pentaksiran alternatif dikatakan pelajar dapat mengaitkan konsep-konsep matematik dengan kehidupan sebenar sekiranya menggunakan pengetahuan pelajar untuk menganalisis data dalam memahami isu atau masalah yang berlaku di sekelilingnya. Melalui pentaksiran ini pelajar yakin menggunakan matematik untuk menerangkan sesuatu aplikasi yang kompleks dalam dunia sebenar. Ianya lebih bersifat realistik dan praktikal bersesuaian dengan pembinaan pelajar menghadapi dunia dan cabaran yang sebenar.
Seterusnya, berbanding dengan pentaksiran tradisional lazimnya tidak menunjukkan keadaan sebenar mengenai apa-apa yang pelajar tahu dan faham. Pentaksiran tradisional seperti soalan subjektif yang berbentuk isi tempat kosong tidak dapat menilai tahap kefahaman pelajar secara mendalam namun ia hanya berfokus kepada kaedah dikotomus.
Contoh Aktiviti Yang Tidak Menunjukkan Keadaan Sebenar
- Tajuk : Lukisan Berskala ( Tingkatan 3 KSSM)
- Jenis aktiviti : Isi tempat kosong dalam ruang yang disediakan


Contoh Aktiviti Yang Menunjukkan Keadaan Sebenar
- Tajuk : Lukisan Berskala ( Tingkatan 3 KSSM)
- Jenis aktiviti : Projek
BERFOKUSKAN GURU DAN BERFOKUSKAN PELAJAR
Pentaksiran tradisional lebih berpusatkan guru manakala pentaksiran alternatif berfokuskan pelajar. Pentaksiran yang berpusatkan guru menyebabkan pelajar hanya melakukan tugasan seperti lembaran kerja yang diberikan oleh guru dalam bilik darjah sahaja malah tidak membuat latihan tambahan dengan usaha sendiri. Akibatnya, di bawah pentaksiran yang berpusatkan guru menyebabkan pejalar menjadi kurang kreatif, berinisiatif dan kurang aktif dalam pembelajaran matematik. Hal ini kerana ciri kepimpinan guru bersifat autokratik serta pelajar tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka. Dalam Model Sim (Ee Ah Meng, 2002), pemusatan guru merupakan interaksi yang melibatkan dua pembolehubah iaitu guru dan pelajar sahaja. Contohnya, pemusatan guru yang menggunakan kaedah tunjuk ajar dalam bilik darjah untuk membina sudut dengan menggunakan protractor bagi tajuk garis dan sudut menyebabkan pelajar hanya mengikut cara atau konsep guru sahaja untuk menyelesaikan soalannya.Pentaksiran berpusatkan pelajar pula pelajar memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran dan guru haruslah bersikap sebagai seorang fasilitator yang membimbing dalam menjalankan aktiviti pembelajaran secara kumpulan atau individu. Selain itu, pentaksiran alternatif yang berpusatkan pelajar akan mengeratkan hubungan antara pelajar dengan guru semakin rapat baik dan meningkatkan sifat ingin tahu serta berani memberi pendapat dalam menyelesaikan permasalahan bukan rutin yang diajukan oleh guru ataupun rakan sebaya. Pentaksiran berpusatkan pelajar juga dapat menggalakkan pembelajaran yang meluas, merangkumi pengalaman belajar secara aktif, penyelesaian masalah secara kritis dan kreatif, penggunaan simulasi, pembelajaran kendiri, kolaboratif dan koperatif (Noor Hisham Md Nawi, 2011).
KESIMPULAN
Oleh itu, pentaksiran tradisional lebih kepada pencapaian pelajar secara individu di mana diberikan gred atau markah berdasarkan peratus yang betul. Manakala berbanding pentaksiran alternatif pula lebih tertumpu teori konstruktivisme yang mana pelajar dapat membina pengetahuan melalui pengalaman sedia ada, menguji idea atau mengaplikasi situasi baharu melalui intelektual sedia wujudnya.
RUJUKAN
Adimin, J. (2011). Peperiksaan vs Pentaksiran. Retrieved from
http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2008&dt=0303&pub=DuniaPendidik
an&sec=Perspektif&pg=ps_01.htm
Choo, C. K., Selva, V. D., Krishnan, P., & Devi, R. (2018). Buku Teks Matematik Tingkatan 3
KSSM. Selangor: Pustaka Yakin Pelajar Sdn. Bhd.
Dikli, S. (2003). Assessment at a distance: Traditional vs. alternative assessments. The
Turkish Online Journal of Educational Technology. 2(3). 13-19.
Ee Ah Meng. (2002). Pedagogi II. Shah Alam: Fajar Bakti.
Ghafar, M. N. A. (2011). Pembinaan & Analisis Ujian Bilik Darjah (2 ed. Vol. 371.26).Skudai:
Penerbit UTM Press.
Huat, O. S., Yeoh, Y. K., & How, N. S. (2016). Buku Teks Matematik Tingkatan 1 KSSM.
Selangor: Pelangi Sdn. Bhd.
Noor Hisham Md Nawi. (2011). Pengajaran dan pembelajaran; penelitian semula konsep-
konsep asas menurut perspektif gagasan Islamisasi ilmu moden. Kongres
Pengajaran dan Pembelajaran. UKM
Adimin, J. (2011). Peperiksaan vs Pentaksiran. Retrieved from
http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2008&dt=0303&pub=DuniaPendidik an&sec=Perspektif&pg=ps_01.htm
Choo, C. K., Selva, V. D., Krishnan, P., & Devi, R. (2018). Buku Teks Matematik Tingkatan 3 KSSM. Selangor: Pustaka Yakin Pelajar Sdn. Bhd.
Dikli, S. (2003). Assessment at a distance: Traditional vs. alternative assessments. The
Turkish Online Journal of Educational Technology. 2(3). 13-19.
Ee Ah Meng. (2002). Pedagogi II. Shah Alam: Fajar Bakti.
Ghafar, M. N. A. (2011). Pembinaan & Analisis Ujian Bilik Darjah (2 ed. Vol. 371.26).Skudai:
Penerbit UTM Press.
Huat, O. S., Yeoh, Y. K., & How, N. S. (2016). Buku Teks Matematik Tingkatan 1 KSSM. Selangor: Pelangi Sdn. Bhd.
Noor Hisham Md Nawi. (2011). Pengajaran dan pembelajaran; penelitian semula konsep-
konsep asas menurut perspektif gagasan Islamisasi ilmu moden. Kongres Pengajaran dan Pembelajaran. UKM
Ditulis oleh THILLAIRAJ A/L KALIPAN

Thillairaj a/l Kalipan berkhidmat sebagai guru matematik dan Guru Data dan Maklumat (GDM) di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, Selangor. Beliau merupakan graduan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh, Perak dalam bidang pengkhususan Matematik Pendidikan Rendah. Beliau juga turut melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Pendidikan (Matematik) di Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan menerima Anugerah Graduate On Time Award. Beliau telah mencapai pensijilan sebagai Google Certified Educator Tahap 1.