Pendidikan kini yang mementingkan kecemerlangan akademik telah menyebabkan pembelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif sekadar untuk memenuhi tuntutan peperiksaan semata-mata (Srikandi Saemah et al.,2020). Murid membuat persediaan iaitu membaca untuk memahami, menghasilkan sinopsis novel, cerpen dan prosa atau memahami maksud puisi, pantun, dan syair. Murid menyalin nota ringkas tanpa memahami dan menghayati karya sastera (Srikandi Saemah et al.,2020). Menurut Syahida Nadia Zakaria (2015), menjelaskan kebaikan pembelajaran bermakna telah membantu murid membina konsep atau pengetahuan baharu, guru perlu mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat diberikan dalam perbincangan dan murid menyesuaikan tugasan masing-masing untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah bentuk baharu tentang sesuatu ilmu pengetahuan dapat dibina.
Pembelajaran bermakna merujuk kepada konsep bahawa ilmu yang dipelajari dan difahami sepenuhnya oleh murid. Murid perlu mengetahui bahawa fakta tersebut berkaitan dengan fakta lain yang disimpan di dalam memori. Ini bermakna sekiranya pelajar dapat memahami dan berjaya menghubung kait ilmu baru dengan ilmu sedia ada, maka berlakunya pembelajaran bermakna. Atas kesedaran dan keprihatinan pengkaji sebagai guru mata pelajaran, kajian ini memberi fokus terhadap amalan pengajaran beliau dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif untuk menangani isu pembelajaran bagi melestarikan pendidikan MADANI.
Intervensi yang dilaksanakan telah dapat mencapai objektif kajian tindakan penyelidik iaitu murid dapat mengenal pasti elemen sastera serta dapat menulis esei dengan format yang betul untuk bentuk soalan perbincangan melalui pembelajaran bermakna yang diterapkan dalam aktiviti penghasilan projek. Berdasarkan dapatan kajian, semasa penghasilan projek murid dapat mengakses pelbagai sumber internet dapat memudahkan para pelajar berhubung dan berinteraksi dengan murid lain tanpa ada batasan waktu dan ruang. Penggunaan media sosial seperti Youtube dan Google Sites dalam penghasilan projek dapat menyokong autonomi murid dalam pembelajaran.
Dapatan-dapatan yang ditonjolkan telah dapat menjustifikasikan bahawa kaedah pembelajaran ini memberi peluang kepada murid untuk tampil dengan lebih produktif dalam dunia kini yang semakin mencabar. Intervensi ini menjadikan murid mengenal elemen sastera dan dapat memberikan hujah kritis. Murid juga dapat menghasilkan karya dengan dapat menghasilkan karya yang kreatif dengan menggunakan media baharu iaitu multimedia dan mengamalkan pembelajaran kendiri melalui penghasilan projek.
Pembelajaran bermakna melalui aktiviti penghasilan projek dan memanfaatkan teknologi telah memberi murid pengalaman sebenar dan murid dapat mengaitkan dengan kehidupan seharian mereka. Kemampuan murid dapat dilihat melalui elemen meneroka, mencipta, kolaborasi, berhubung, refleksi dan perkongsian pengetahuan dalam persekitaran. Perubahan positif pada guru adalah guru dapat memainkan peranan sebagai pembimbing dan pemudah cara dalam pembelajaran bagi memastikan kelangsungan pembelajaran tersebut. Guru dapat memerhatikan dan memastikan murid mempunyai kefahaman yang betul sepanjang berada dalam sesi pembelajaran. Guru boleh menjalankan tugas lebih mudah dengan memberikan sendiri tema projek kepada murid dan meminta murid menyediakan bahan – bahan untuk menyokong projek yang diberikan. Guru juga ada kesedaran untuk menggunakan pembelajaran terbeza pada proses dan hasil supaya semua murid yang pelbagai aras pada menguasai isi pelajaran dalam pembelajaran ini.
Walaupun terdapat arahan dari semasa ke semasa oleh guru berdasarkan kitaran kajian tindakan yang ditambah baik intervensi, murid telah berjaya melaksanakan arahan- arahan baharu untuk memperkembangkan potensi serta impak yang lebih baik dalam penghasilan projek yang diberikan oleh guru. Situasi ini telah memperkembangkan nilai sahsiah diri dalam kalangan murid apabila murid sendiri cuba menghasilkan projek. Penguasaan murid ini menepati Teori Kognitif Pembelajaran (Mayer, 2001) yang menekankan penggunaan aspek visual dan audio yang memberi pengesanan yang baik dalam penyampaian sesebuah maklumat.
RUJUKAN
Mayer, R.E. (2001). Multimedia learning. Cambridge, UK: Cambridge University Press.
Srikandi Saemah, Samaon and Mary Fatimah, Subet (2020) Teori Relevans dalam Pembelajaran KOMSAS. Borneo International Journal, 2 (4). pp. 47- 54. ISSN 2636-9826.
Syahida Nadia Zakaria. (2015). Kesan pendekatan konstruktivisme dan pendekatan tradisional dalam pengajaran dan pembelajaran Komponen Sastera Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 5 (2), 12−21.
Ditulis oleh Lila Anak Intai

Lila Anak Intai merupakan seorang guru tingkatan 6 di SMK Tun Abdul Razak, Sarawak.