“Pendidikan Manusiawi”, bagaimana? Apakah cabaran dalam bidang Pendidikan Khas? Kenapa Pendidikan Khas di Wujudkan? Pendidikan khas di Malaysia diwujudkan bertujuan menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada murid-murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) yang menghadapi cabaran dalam masalah penglihatan, pendengaran, dan pembelajaran. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tulus memberikan peluang yang setara kepada murid-murid berkeperluan khas, memastikan mereka menikmati pendidikan berkualiti dan kehidupan yang seimbang dengan rakan-rakan sebaya yang tidak menghadapi cabaran khas.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus prihatin dan komited dalam bantuan meningkatkan keupayaan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) sekali gus membolehkan golongan ini bukan saja seiring dengan rakan sebaya di arus perdana tetapi dapat meneruskan kelangsungan kehidupan selepas tamat persekolahan. Namun persoalannya, sejauh manakah penguasaan guru Pendidkan Khas dalam menyediakan kaedah metodologi pengajaran murid berkeperluan pendidika khas yang berkualiti yang mana pada akhirnya akan menatijah serta menterjemahkan kemenjadian MBPK dalam meneruskan kelangsungan kehidupan selepas tamat persekolahan.
Murid berkeperluan Pendidikan khas ialah murid yang berbeza daripada kanak-kanak yang sederhana ataupun biasa dalam ciri-ciri, keupayaan deria, dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal, dalam tingkah laku sosial- emosi, dalam keupayaan komunikasi atau dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai atau perkhidmatan pendidikan khas supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan maksimum.
Terdapat beberapa jenis masalah murid-murid berkeperluan khas seperti kerencatan akal, masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah tingkah laku/ emosi, masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Palsi Serebral, masalah pembelajaran spesifik, masalah komunikasi dan bahasa, masalah Autisme dan masalah pintar cerdas.
Penekanan kepada pengajaran dan bimbingan untuk menguasai kemahiran hidup kepada MBPK adalah sangat penting kerana setiap seorang daripada mereka mereka mempunyai kebolehan yang berbeza. Dalam banyak kes, MBPK memerlukan bantuan serta bimbingan tambahan atau bentuk pendidikan dan perhatian yang berbeza daripada murid tipikal dalam sistem pendidikan.
Sebenarnya MBPK mempunyai potensi yang tidak terhad, namun jika mereka tidak dibekalkan dengan pendidikan yang bersesuaian dengan kebolehan mereka, maka keperluan penguasaan kemahiran hidup yang diperlukan untuk membantu mereka berdikari sering kali diabaikan. Oleh itu, pihak yang menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini juga memikul sebahagian besar tanggungjawab kerana ia berkaitan dengan perkembangan kanak-kanak berkenaan dengan kemahiran hidup.
Oleh itu, antara usaha strategi Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) bagi meningkatkan penguasaan kemahiran berdikari MBPK ialah
- Guru perlu menggunakan strategi berpusatkan murid dan mengambil kira keperluan murid. Guru disarankan supaya lebih kreatif dalam menggunakan bahan bantu mengajar serta banyak membuat aktiviti amali yang bersesuaian dengan keupayaan murid. Pelbagai strategi dicadangkan seperti pembelajaran masteri, pembelajran berasaskan projek, simulasi, belajar melalui bermain, interaktif, latihan dan bimbingan berulang, ansur maju, tunjuk cara, modular, aktiviti main peranan, satu kepada satu, pendekatan bertema, mengambil kira elemen merentas kurikulum dan pembelajaran abad ke-21.
- Menggunakan bahan maujud seperti penggunaan Picture Exchange Communication System (PECS) yang membantu MBPK yang mempunyai kurang atau tiada kemahiran berkomunikasi untuk berkomunikasi menggunakan gambar. PECS adalah kaedah yang boleh diimplimentasikan untuk perkembangan Kemahiran berdikari kepada murid-murid pendidikan khas, guru boleh menggunakan kaedah PECS kepada murid-murid ini agar mereka lebih mudah dan cepat faham khususnya bagi MBPK kefungsian rendah.
- Metodologi seterusnya adalah dengan Meningkatkan kemahiran berdikari MBPK berkefungsian rendah. Murid kefungsian rendah amat memerlukan bimbingan khas dan berfokus dalam membantu mereka meningkatkan keupayaan kendiri. Oleh hal yang demikian, aktiviti, latihan dan bimbingan berterusan, aktiviti satu kepada satu, latih tubi berterusan, pengulangan dan rutin serta PdPc yang befokus penting untuk meningkatkan kemahiran berdikari MBPK. Strategi mestilah pelbagai, menarik dan kreatif mengikut kecenderungan dan minat murid dan memerlukan kerjasama ibu bapa.
- Penekanan diberikan kepada penerapan bimbingan kepada murid dalam pelbagai mata pelajaran serta memerlukan lebih masa PdPc. Contohnya perlu pengulangan yang banyak. MBPK melakukan kemahiran berdikari secara rutin harian di sekolah. Sebagai contoh, sebelum makan perlu cuci tangan dengan betul. Selepas makan perlu cuci bekas makanan dengan bersih. Selepas cuci bekas perlu gosok gigi. Pengulangan demi pengulangan disertakan dengan bimbingan perlu dilaksanakan dengan jelas dan mudah difahami oleh mereka.
- Metodologi yang berkesan dalam membina Kemahiran berdikari yang baik dalam kehidupan MBPK ialah dengan memberi penekanan berkaitan keyakinan MBPK dalam menjalani kehidupan seharian melalui aktiviti PdP mata pelajaran Pengurusan Kehidupan. Mata pelajaran Pengurusan Kehidupan serta pengurusan tingkah laku amat membantu dalan meningkatkan keyakinan murid dalam menjalani kehidupan seharian serta dapat membantu untuk modifikasi tingkah laku. Aktiviti PdPc yang terdapat dalam mata Pelajaran ini boleh disesuaikan dengan aktviti rutin, latih tubi dan aktiviti berkumpulan perlu dibuat serta bahan bantu mengajar perlu lengkap.
- Intervensi perlu dilaksanakan melalui rancangan pendidikan individu (RPI). MBPK berkefungsian rendah juga memerlukan pembimbing yang mahir yang boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK), Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) serta ibu bapa. Guru juga memerlukan kerjasama ibu bapa dalam meningkatkan keyakinan MBPK untuk menjalani kehidupan seharian.
Justeru itu, dalam menguasai dan menterjemahkan metodologi ini, guru pendidikan khas perlu menguasai input latihan komprehensif yang diterima sepanjang pengajian di universiti ataupun di institut perguruan serta sentiasa mencari ilmu tambahan setiap masa untuk meningkatkan keupayaan kendiri. Kesimpulannya, penyerapan ilmu guru pendidikan khas terhadap pengetahuan mengenai pendidikan khas masih perlu ditambah baik supaya pelaksanaan PdPc golongan istimewa ini dapat dilaksanakan dengan lebih holistik dan seterusnya memberi impak yang positif bukan sahaja kepada MBPK tetapi juga dapat menyumbang ke arah kemakmuran negara.
Kesimpulannya, dalam memastikan Pendidikan manusiawi ini dibentuk dengan penuh kamil termasuk untuk murid Pendidikan khas, keupayaan dan kepakaran pihak profesional sama ada badan kerajaan mahupun bukan kerajaan, seharusnya tidak disia-siakan dalam mewujudkan sistem pendidikan yang berkualiti. Seharusnya semua pihak bersatu-padu menyumbang kepada kemenjadian modal insan yang juga merupakan generasi masa hadapan dan bakal peneraju kepada negara. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memastikan kejayaan pendidikan khas di Malaysia tercapai dengan lebih berkesan.
Ditulis oleh MUHAMAD SYAHIR SILMIE BIN ZAINUDDIN

Muhamad Syahir merupakan graduan Sarjana Muda Pendidikan Khas dalam Masalah Pembelajaran dari Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Kedah. Beliau kemudian melangkah ke arena pendidikan sebagai Guru Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Sri Mersing, Johor. Prestasi cemerlangnya terbukti melalui pencapaian Anugerah Emas Inovasi Pendidikan Khas Negeri Johor dalam Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Madani MBPK 2023. Di samping itu, beliau juga dianugerahkan Gold Awards dalam National Innovation & Inventions Competition UTHM 2022 serta menerima Anugerah Guru Inovatif peringkat daerah Mersing pada tahun 2022.