Al Quran merupakan petunjuk kehidupan bagi orang bertakwa seperti firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 2 yang bermaksud : Kitab (Al Quran) ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya) ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.
Seluruh manusia di muka bumi ini amat beruntung kerana al-Quran terbukti berjaya mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kejahilan kepada kehidupan yang penuh konsisten dan terarah bertunjangkan pengabdian yang benar, hanya kepada Allah SWT. Sejak al- Quran diturunkan, masyarakat arab dan umat Islam khususnya ,berubah kehidupan kepada kehidupan yang lebih bermakna . Masyarakatnya hidup bersatu padu, tolong menolong atas dasar persaudaraan akidah, menjalani tatacara hidup yang lebih baik berteraskan al – Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Al Quran telah memberi impak positif kepada kehidupan pelajar atau masyararakat melalui impak hafazan terhadapt kesejahteraan mental dari aspek kecerdasan IQ. Hasil perbandingan tahap kecerdasan IQ adalah lebih tinggi dalam kalangan pelajar kategori tahap hafazan tertinggi iaitu yang telah menghafaz 21-30 juzuk. Dengan erti kata yang lain, semakin tinggi tahap hafazan al Quran semakin tinggi tahap kecerdasan IQ. Dalam kajian ini hubungan antara tahap kecerdasan dan tahap hafazan al Quran juga turut dikaji berdasarkan jumlah muka surat yang telah dihafaz dan didapati adanya hubungsn positif yang signifikan.
Allah SWT telah menjamin tidak akan berlaku sebarang kekurangan dan kesilapan terhadap ayat-ayat yang terkandung dalam al Quran sehingga hari akhirat. Al Quran akan kekal terpelihara daripada terpesong oleh tangan-tangan manusia. Jaminan ini telah termaktub dalam al Quran melalui firman Allah dalam surah al Hijr ayat 9 bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Quran dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya”.
Secara asasnya, bacaan al Quran apabila dihiasi dengan seni taranum (seni bacaan) beserta kemerduan suara pembacanya, tidak akan menjemukan, malah mengasyikkan, sekalipun dibaca secara berulang kali. Pada zaman nabi Muhammad SAW beberapa orang sahabat seperti Ubai bin Kaab, Abdullah Ibnu Mas’ud dan Muaz bin Jabal yang mempunyai kemerduan suara sering diminta mengalunkan bacaan al Quran kepada para sahabat. Tiada mana-mana puisi dan lirik yang boleh menandingi kehebatan keindahan al Quran.
Selain itu, menurut kajian Roche et al. (2009) menyatakan bahawa proses hafazan yang berpanjangan dan berulang-ulang boleh menajamkan dan meningkatkan daya ingatan. Proses ini dikaitkan dengan perubahan metabolic dalam hipokampus posterior kiri. Proses hafazan yang berulang-ulang meningkatkan daya ingatan kerana sinaps neuron akan memancarkan isyarat dengan lebih kuat.
Rasulullah SAW sebagai pendidik unggul menimplementasikan kemahiran pedagogi dalam dakwah dan pengajaran baginda kepada para sahabat r.a. Kemahiran pedagogi Rasulullah SAW inilah yang perlu dihayati oleh guru Al Quran agar menjadi murabbi yang berupaya membimbing murid menjadi insan berguna di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya Islam datang untuk merealisasikan seluruh kebaikan untuk manusia dan menjauhkan seluruh bentuk kerosakan dalam urusan agama dan keduniaan dari mereka.Hal ini adalah usul yang besar. Hal ini demikian kerana kejahiran terhadapnya akan menimbulkan tekanan dan kesukaran kepada manusia , menjauhkan mereka dari timbunan kebaikan dan menyamarkan gambaran Islam.
Dalam pada itu, terdapat cabaran untuk menguasai bacaan Al Quran. Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada cabaran dalam menguasai Bahasa al Quran.
- Kelemahan penguasaan bacaan al Quran di peringkat sekolah. Menurut kajian Nor Wardatun dan Siti Rosilawati (2021), pengajian al Quran telah diterapkan oleh ibu bapa sejak kecil, kemuadian diteruskan di peringkat sekolah kebangsaan pengajian secara formal selama 6 tahun melalui kurikulum khas j-QAF di seluruh negeri yang bermatlamat untuk mempelajari al Quran seawal usia dan memastikan semua murid Islam dapat mengkhatamkan Al Quran di peringkat Sekolah Rendah.
- Guru Kurang Berkemahiran. Program j-QAF merupakan satu pembaharuan dalam Pendidikan di peringkat sekolah Rendah Kebangsaan yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan Pendidikan islam bagi melahirkan pelajar yang berilmu, beramal, beradab dan berketrampilan berlandaskan al Quran. Namun begitu, sebahagian besar guru jQAFadalah di luar bidang pengkhususan yang menyukarkan mereka dalam penyampaian dan memberi penerangan ketika proses pengajaran.
- Ketiadaan Alat bantu Mengajar yang berkesan. Penggunaaan ICT merupakan pendekatan inovasi terkini yang bukan sahaja memberikan kemudahan yang lebih efektif dalam pengurusan kerja pentadbiran bahkan meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran guru.
Cara pembacaan al-Quran yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat terus diwaris dan dipelihara daripada generasi ke- generasi dengan pelbagai jenis qiraat( cara bacaan) yang diiktiraf. Begitulah Allah SWT telah mempermudah al Quran untuk dipelajari dan dibaca oleh semua kaum dan keturunan sebagai petunjuk kehidupan.
Secara keseluruhannya kesimpulan yang dapat dibuat adalah seperti berikut:
Pertama : Al Quran adalah mukjizat yang kekal sehingga hari ini dan satu-satunya petunjuk yang boleh membawa kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Al Quran wajib dipelajari , difahami , dihayati , dijadikan pedomam dan panduan oleh anak-anak serta teman sepanjang kehidupan.
Kedua: Murid hendaklah setiap hari memperuntukkan masa walau sesingkat mana untuk membaca dan mentadabbur al Quran . Mendidik diri sehingga membaca dan mentadabbur al Quran menjadi amalan harian.
Ketiga: Pentafsiran al Quran mestilah menggunakan sumber yang telah disahihkan oleh sarjana Islam kerana al Quran mesti ditafsirkan mengikut disiplin ilmunya dan tidak memadai hanya mengikut logik akal.
Keempat: Pengajaran al Quran wajib dihayati dan diimani secara keseluruhan, bukan dipilih berdasarkan pilihan hati dan nafsu .
Ramadhan merupakan bulan yang dijanjikan Allah kepada seluruh umat untuk mendapat pahala yang berlipat ganda. Lantas bulan ini harus di sambut dengan kesyukuran dan keinsafan.
Ini dapat dilihat Pihak Panitia pandidikan Islam SK Pasukan Polis Hutan tidak ketinggalan bersama-sama menganjurkan program penutup Ihya’ Ramadhan . Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang bulan Ramadhan. Program ini diadakan dengan kerjasama pihak sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan yang melibatkan semua murid tahap 1 dan dua.
Menurut guru Bahasa Arab, Ustaz Quszaini Abd Manan, semua guru dan pentadbir turut terlibat dalam menjayakan acara itu. Katanya, murid yang terlibat dilihat bersemangat kerana berpeluang membacakan surah pilihan serta menghayati pengertian surah yang dibaca. Tambahnya lagi, Ia dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara murid dan guru.
“Sekolah juga telah mengadakan Ceramah Nuzul Quran yang disampikan oleh Tuan Haji Quszaini bin Abd Manan, guru SK Pasukan Polis Hutan” Lanjutan dari itu, Murid miskin dan yatim turut diraikan dengan penyerahan duit Raya oleh Tuan Guru Besar , Encik Mohd Fadzil bin Ibrahim.
Manurut Guru Besar SK Pasukan Polis Hutan, Dengan adanya program tahunan sebegini, Ia dapat menghidupkan semangat ukhuwwah dan bekerjasama dalam kalangan warga melalui amalan solat berjemaah, solat tarawikh , berbuka puasa bersama dan sebagainya. Katanya lagi, “ dapat menghidupkan bulan Ramadhan dengan amalan bertepatan.
Menurut murid tahun 4 Kreatif , Wan Muhammad Yusuf bin Wan Mohd Khairul ,’ program ini dapat melatih kami untuk terus melakukan amal ibadat secara konsisten tanpa meninggalkan perkara lain wajib yang termaktub dalam rukun iman’.
Ditulis oleh Quszaini bin Abd Manan

Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.
*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak mewakili HIVE Educators.