“Timer Rules” dalam aktiviti berkumpulan

Masa itu emas adalah peribahasa Melayu yang membawa maksud masa itu sangat berharga dan janganlah dipersia-siakan. Pengurusan masa yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan kunci keberhasilan pendidikan. Bermula daripada guru melangkah kaki masuk ke kelas, masa tetap terus bergerak dan tidak boleh diundur semula. Oleh sebab itu, perancangan masa yang efektif oleh seseorang guru akan membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.


Pembelajaran berpusatkan murid yang melalui aktiviti secara berkumpulan selalu diterapkan di dalam kelas. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran murid berkerjasama dan berkomunikasi semasa membincangkan aktiviti yang diberikan oleh guru. Kadangkala, murid menghadapi masalah tidak cukup masa untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan, dan sekaligus menyebabkan proses perbincangan tidak mencapai matlamat yang dipersetujui. Apabila hal seperti ini berlaku, pengurusan masa dalam kelas turut terjejas kerana ada segelintir murid meminta guru menambah masa perbincangan. Justeru, situasi ini akan menyebabkan perancangan aktiviti lain dalam kelas akan terjejas.


Penggunaan “Timer Rules” dalam aktiviti berkumpulan dapat membantu guru dan murid memanfaatkan masa yang diberikan dan semasa pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, guru merancang untuk menjalankan aktiviti berkumpulan selama 45 minit sahaja, maka
dengan menggunakan “Timer Rules” , semua murid perlu patuh kepada arahan guru yang mereka perlu selesaikan tugasan dengan masa yang diberikan sahaja. Secara ringkasknya, guru-guru boleh menggunakan panduan seperti berikut:
i. 5 minit pertama adalah masa yang diperuntukkan aktiviti pengenalan. Contohnya 5 minit pertama untuk murid membaca soalan atau tema perbincangan. Guru boleh pasang video “5 minutes timer” semasa aktiviti berjalan. Video tersebut boleh didapati di Youtube. Selain itu, guru boleh menggunakan jam yang mempunyai penggera juga.
ii. 10 hingga 15 minit untuk aktiviti perbincangan. Murid akan berbincang bersama ahli kumpulan berkaitan dengan tugasan yang diberikan. Guru boleh gunakan video “10 minutes timer” untuk dipasang sepanjang aktiviti tersebut.
iii. 5 minit untuk aktiviti penutup seperti pembentangan, atau refleksi. Terpulang kepada aktiviti yang telah dirancang oleh guru sebelum masuk ke kelas.

Antara kesan positif yang diperolehi apabila menggunakan “Timer Rules” ini dalam aktiviti berkumpulan adalah dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih bermakna. Ini kerana, setiap masa yang diberikan kepada murid untuk menjalankan aktiviti akan digunakan sebaik mungkin. Murid akan sentiasa lebih peka terhadap baki masa yang tinggal dan murid akan lebih menghargai masa. Dalam masa yang sama, perbincangan dalam aktiviti berkumpulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Komunikasi antara murid dalam ahli kumpulan juga akan lebih berkesan kerana mereka tidak akan membincangkan perkara yang tidak berkaitan.


Selain itu, jika guru menggunakan video “timer”, murid akan lebih seronok dan menganggap video tersebut sebagai panduan kepada mereka agar lebih menepati dan patuh kepada masa yang diberikan. Guru hanya bertindak sebagai pemudahcara kepada murid semasa mereka menjalankan aktiviti berkumpulan dan guru tidak perlu mengingatkan murid berapa lama masa
yang tinggal kerana murid boleh merujuk kepada video “timer” yang dipasang. Justeru, masalah
tidak cukup masa dalam melaksanakan aktiviti dapat dielakkan kerana murid telah diberikan masa yang cukup untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru. Secara tidak langsung, dengan menggunakan “Timer Rules” ini di dalam kelas, turut dapat membantu guru mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan terurus dengan baik.


Kesimpulannya, menggunakan “Timer Rules” dalam aktiviti berkumpulan adalah amalan yang patut diterapkan oleh semua guru bagi meningkatkan pengurusan masa secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru sudah pastinya akan dapat melaksanakan tugas dan tanggung yang diamanahkan serta kerja-kerja lain dengan lebih cemerlang. Seterusnya, amalan menggunakan “Timer Rules” dalam aktiviti berkumpulan dapat melatih murid mengurus masa dengan cekap dan bijak. Murid akan lebih berdisiplin kerana mampu merancang dan menyusun aktiviti dengan baik kerana tidak akan membazir masa yang diberikan. Selain itu, murid dapat memanfaatkan masa sebaiknya serta hasil kerja yang dilaksanakan akan lebih berkualiti. Dalam hal ini, murid akan bermotivasi dan pembelajaran berpusatkan murid akan lebih bermakna.

NOORDIANA BINTI SARAMALI

SEKOLAH : SM ST ANNE, WP LABUAN

SUBJEK DIAJAR: MATEMATIK, FIZIK

PENGALAMAN MENGAJAR: 12 TAHUN

Leave a comment