Perkembangan Media sosial
Media sosial merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan seharian pada masa kini. Tidak dapat dinafikan anak kecil seawal satu tahun telah didedahkan dengan media sosial menerusi aplikasi YouTube. Jika dahulu media sosial hanya dapat diakses melalui komputer, tetapi perkembangan kemajuan teknologi memudahkan ia dapat diakses menggunakan telefon pintar dengan mudah.
Keperluan pemilikan telefon bimbit meningkat pada tahun 2020, yang mana seluruh dunia dilanda wabak Covid-19. Pembelajaran di seluruh dunia, khasnya di Malaysia hanya bergantung kepada jaringan internet. Proses pembelajaran dilaksanakan secara atas talian melalui aplikasi media sosial yang dipilih oleh guru. Sepanjang tempoh PKP, kesedaran memiliki telefon pintar untuk kegunaan pembelajaran anak juga meningkat dalam kalangan ibu bapa.
Tingkah Laku
Menurut Freud (1910) dalam teori personaliti, telah diterangkan mengenai tingkah laku yang akan bergerak mengikut naluri manusia sendiri berdasarkan pengalaman kehidupannya. Tingkah laku juga berlaku apabila kanak-kanak mempunyai dorongan untuk membuat peniruan dan pemerhatian tingkah laku individu lain yang berada di sekelilingnya.
Tingkah laku terbahagi kepada dua iaitu tingkah laku positif dan tingkah laku negatif. Tingkah laku positif pula terbahagi kepada empat iaitu sikap ingin tahu, cepat belajar, proaktif dan pintar cerdas. Manakala tingkah laku negatif pula terbahagi kepada tiga iaitu tingkah laku distruktif, distruptif dan sikap bergantung.
Menurut Small (2008) rangsangan kepada otak yang sedang berkembang telah dibuktikan berkait rapat dengan kekurangan fungsi dan perhatian dalam melakukan sesuatu, kognitif lembap, pembelajaran terjejas, peningkatan kepada perlakuan mengikut emosi dan kurang kebolehan untuk mengawal selia diri.
Pengaruh media sosial terhadap tingkah laku kanak-kanak
Tingkah laku positif
Tingkah laku positif merupakan tingkah laku yang baik untuk perkembangan kanak-kanak. Tingkah laku yang baik menyebabkan kanak-kanak akan lebih bersemangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Kanak-kanak yang menonton video berunsurkan tingkah laku baik seperti sikap bekerjasama, tolak ansur, saling membantu; menghormati orang yang lebih tua; berkasih sayang sesama manusia; dan seumpamanya , berpontensi untuk mempengaruhi tingkah laku yang baik kanak-kanak.
Kanak-kanak di usia muda cepat belajar mengenai sesuatu perkara, sama ada secara belajar secara pengulangan atau meniru perlakuan yang dilihatnya. Sikap ingin tahu kanak-kanak akan membantu guru dalam meransang pemikiran kanak-kanak dan penting dalam perkembangan kognitif mereka. Banyak video kanak-kanak berunsurkan pembelajaran yang dapat menarik minat kanak-kanak. Apabila kanak-kanak ini didedahkan sedari awal video berunsurkan pembelajaran, tidak hairan apabila kanak-kanak ini dengan mudah mengenal kemahiran asas ABC, nombor dan warna dengan mudah sebelum mereka masuk ke Tahun Satu. Kanak-kanak yang cepat belajar juga memudahkan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
Tingkah laku negatif
Aplikasi media sosial yang baik mudah diakses, begitu juga aplikasi yang tidak bermanfaat, malah membawa kepada impak negatif. Video-video ini lebih berunsurkan buli, pergaduhan, perlakuan tidak senonoh, vandalisme dan sebagainya.
Naluri sikap ingin tahu mereka yang sangat tinggi memainkan peranan dalam tingkah laku negatif. Apabila menonton video berunsur keganasan, kanak-kanak ini akan mencuba untuk melakukannya terhadap orang sekelilingnya. Kadang-kadang, terdapat situasi yang mana ibu bapa hanya mengiyakan perlakuan negatif dengan alasan kanak-kanak masih kecil. Tetapi, mereka tidak sedar bahawa anak beranggapan itu adalah betul dan menjadikannya sebagai satu amalan. Inilah yang menyebabkan masalah disiplin dalam kalangan murid sekolah berlaku kerana mereka beranggapan ibu bapa akan menyokong mereka.
Pengaruh media sosial yang berlebihan menyebabkan kanak-kanak bersikap ‘introvert’ (Noraziah & Fadzliatun, 2014). Ini dapat dilihat apabila kanak-kanak kurang berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang di sekeliling. Kanak-kanak juga berpotensi untuk menghadapi masalah pertuturan dan komunikasi iaitu ” oral motor‟ yang menyebabkan berlakunya masalah lambat bercakap dan perkara ini akan memberi kesan kepada interaksi sosial apabila mereka meningkat remaja (Naquih Nahar et. al, 2017). Kanak-kanak ini biasanya sering bergantung pada orang lain dalam apa juga aktiviti yang dijalankan.
Kesimpulan
Masih banyak lagi kajian mengenai pengaruh medial sosial terhadap kanak-kanak dijalankan. Tetapi, pemantauan ibu bapa di rumah memainkan peranan yang penting untuk memastikan murid tidak terpengaruh kepada media sosial yang tidak baik. Ini kerana, apabila kanak-kanak ketagih dengan internet , lebih banyak implikasi yang tidak baik . Malahan, perkembangan kesihatan dari segi fizikal dan emosi murid juga akan terjejas impak daripada ketagihan internet.
RUJUKAN
Aina Rasyidah Samsuddin. 2020. Penggunaan Gajut Terhadap Perkembangan Kanak-kanak Pra Sekolah. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan Vol. 9, 2020 (113-126)
Arwansyah Kirin. 2022. Impak Negatif Media Sosial Terhadap Akademik Pelajar : Kajian Kes Pelajar UTHM. https://www.researchgate.net/publication/361576382_Impak_Negatif_Media_Sosial_Terhadap_Akademik_Pelajar_Kajian_Kes_Pelajar_UTHM
Ng Hiu Yu. Pengaruh Ketagihan Internet : Perubahan Tingkah Laku Murid Sekolah Rendah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH) (e-ISSN : 2504-8562) 2023, Volume 8, Issue 5, e002340
Nurul Solehah Che Ruml.2019. Kesan Penggunaan Media Sosial Terhadap Tingkah Laku Pelajar.Seminat Teknologi Multimedia & Komunikasi.
Wan Anita Wan Abas.2013. Media dalam Kehidupan dan Perkembangan Kanak-kanak. Jurnal Pengajian Media Malaysia 15, Bil. 2, 2013: 27–39
Ditulis oleh Prisca Sheila Paul Jaua

Beliau telah berkhidmat di SK Meninipir, Keningau sejak tahun 2007. Beliau mempunyai pengalaman selama 12 tahun sebagai guru pemulihan dan 5 tahun sebagai guru Bahasa Melayu (tahap 1).
*Artikel ini tidak semestinya mewakili pendirian HIVE Educators.