PENGENALAN
Krisis kemiskinan sepatutnya tidak menjadi sebab untuk kanak-kanak didiskriminasi seperti kanak-kanak tidak diberi peluang dalam pembentukan modal insan. Akan tetapi matlamat tersebut masih menjadi satu hasrat yang belum lagi dikecapi lantaran seramai 333 juta orang kanak-kanak di seluruh dunia tergolong dalam kategori miskin tegar tanpa kita sedar. Menurut laporan terkini dari Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dan Bank Dunia, telah merekodkan satu daripada setiap enam orang kanak-kanak terpaksa bertahan dengan pendapatan kurang daripada AS$2.15 atau RM10 sehari (Astro Awani, 2023). Kemiskinan dan kanak kanak ialah satu isu yang berat, perit malah rumit untuk dikupaskan. Meskipun begitu, atas dasar kesedaran dan cakna menyebabkan isu ini menjadi satu keperluan untuk diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dan perlu untuk dibincang secara meluas kerana kesan negatif dari krisis kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak bukan sahaja dalam jangka masa pendek malahan kesan buruk dalam jangka masa panjang dan sentiasa berulang serta akan diwarisi dari generasi ke generasi jika tidak diatasi secara holistik.
Menurut data dari Utama Ranjau Sepanjang Jalan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia mendapati hampir 95% kanak-kanak tergolong dalam isi rumah keluarga berpendapatan rendah (B40) di Kuala Lumpur dan mereka hidup dalam kemiskinan. Tambahan pula, menurut Dr. Muhammed Abdul Khalid iaitu seorang pakar ekonomi dan juga felo penyelidik di felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebanyak 40% kanak-kanak telah dilaporkan tinggal dalam isi rumah di bawah garis kemiskinan. Oleh sebab itu, jelaslah bahawa statistik yang tertera kepada kita tersebut telah menunjukkan isu kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi pada tahap yang tinggi terutamanya di bandar yang melibatkan golongan B40. Natijahnya, isu kemiskinan akan memberi kesan buruk yang sangat dalam serta kesan yang berpanjangan kepada kanak-kanak terutamanya mereka yang masih bersekolah kerana impak dari kemiskinan akan menganggu tumbesaran kanak-kanak dan juga pembelajaran mereka di sekolah.
Kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan sempurna akan menyebabkan perkembangan terbantut walaupun minat dan bakat yang baik. Perkata ini menjadi persoalan dan tanda tanya apabila kemiskinan yang membelenggu golongan B40 seperti tiada jalan penyelesaian malah menunjukkan tren peningkatan yang drastik. Walau bagaimanapun, kemiskinan tegar di kawasan bandar menunjukkan tren penurunan (Sinar Harian, 2024).
KEMISKINAN MENAFIKAN HAK ASASI KANAK-KANAK
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (1999) telah mengariskan beberapa perkara yang menyentuh tentang hak kanak-kanak yang perlu diberi keutamaan. Perkara yang dimaksudkan ialah hak kanak-kanak kepada kelangsungan hidup dan keperluan-keperluan asas seperti makanan, air bersih dan tempat tinggal. Namun begitu, perkara yang tidak boleh dinafikan iaitu kemiskinan keluarga akan menyebabkan hak untuk mendapat makanan dan penjagaan kanak-kanak akan turut terjejas. Oleh sebab itu, kita dapat lihat kanak-kanak yang sepatutnya diberikan perlindungan dan hak asasi akan tetapi telah dinafikan hak mereka disebabkan kemiskinan. Dari segi pengalaman penulis sendiri, terdapat kes kanak-kanak mengalami masalah kurang makan, tidak makan seharian atau kebuluran di rumah. Perkara ini juga dibuktikan Tinjauan UNICEF (2024) iaitu anggaran 52% kanak-kanak mengalami kurang makan daripada tiga kali sehari, berbanding 45% sebelum wabak Covid-19. Selain itu, melalui kajian ‘Living on the Edge: Longitudinal Study on Post-Covid-19 Impact Assessment Among Low-Income Households in Kuala Lumpur’ (2024) mendapati kanak-kanak yang terlibat telah terjejas ekoran daripada keadaan pendemik pada ketika itu dengan sebahagian besar daripada mereka tidak mendapat makanan yang seimbang sejak wabak Covid-19 melanda dunia. Sebagai contoh, terdapat ibu bapa yang tidak mampu untuk membelikan susu formula kepada bayi ataupun anak-anak mereka sehinggakan mereka terpaksa menggantikannya dengan susu pekat (tin) untuk menjadi sumber nutrisi dan mengenyangkan perut bayi mereka. Sedangkan tindakan sebegini akan memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang bagi tumbesaran dan perkembangan kesihatan anak-anak mereka. Dalam hal ini, jelaslah bahawa kemiskinan keluarga telah mendiskriminasi hak asasi yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak. Maka kegagalan ini akan memberi kesan kepada tahap kesejahteraan biopsikososial kanak-kanak sehingga mengganggu tumbesaran mereka dan lebih membimbangkan lagi jika pembelajaran anak-anak di sekolah semakin merosot.
MASALAH PEMBELAJARAN DI SEKOLAH
Kanak-kanak yang miskin, lapar dan tidak diberikan perhatian oleh ibu bapa di rumah akan mengalami tekanan emosi yang berat dan masalah ini akan terbawa-bawa sehingga ke sekolah. Kesan emosi negatig yang dapat kita lihat di sekolah iaitu kanak-kanak hilang fokus dan tidak dapat belajar dengan baik. Kendatipun begitu, kanak-kanak yang mempunyai minat terhadap sesuatu mata pelajaran, mempunyai personaliti yang baik dan berdisplin akan mengalami gangguan disebabkan isu kelaparan di sekolah yang akan menghimpit dan menganggu mereka untuk belajar dan memberi perhatian di dalam bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Maka kanak-kanak yang sepatutnya diasuh menjadi pelapis bagi membangun dan memajukan negara akan berhadapan dengan masaalh terbantut akademik dan mereka akan berhadapan dengan pelbagai masalah sosial yang lain di sekolah.
Kurangnya tumpuan dan minat mereka untuk belajar akan menyebabkan mereka mula menganggu pelajar lain, mengancam, bergaduh, membuli, ponteng sekolah, berjudi, panyalahgunaan dadah, pengambilan minuman beralkohol dan menggunakan kekerasan bagi memeras ugut untuk mendapatkan wang saku yang boleh digunakan untuk membeli makanan. Usaha untuk membangunkan sahsiah, emosi, intelektual dan mendidik kanak-kanak mungkin akan menjadi sia-sia atau seperti “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran”. Hal ini demikian kerana, keperluan asas yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak telah terganggu. Kesan jangka panjang ialah kita akan kehilangan ramai kanak-kanak yang berbakat, cerdik dan aktif dalam pelbagai bidang. Perkata ini disokong dengan laporan Berita Awani (2023) bahawa sebanyak 13% iaitu 175,304 orang kanak-kanak di hujung usia persekolahan sekolah rendah di Malaysia dilaporkan tidak mahir membaca manakala 1.01 juta (5.03%) rakyat Malaysia masih tidak mempunyai kemahiran literasi. Manakala, hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), (2019) menunjukkan bahawa sekitar 1.9 juta atau 5.8% rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah. Dalam pada itu, 72.1% kanak-kanak tidak menyambung pengajian mereka selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tuntasnya, senario ini menjadi persoalan yang belum lagi dijawab akan sebab berlakunya situasi sedemikian sehingga Tindakan proaktif bagi intervensi dari tenaga penggerak melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan pihak berkepentingan dari NGO yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak dan remaja sedang berusaha merancang dan membentuk dasar serta polisi, penghanjuran pelbagai program, suntikan dana dan aktiviti untuk meneruskan pengukuhan sektor pendidikan di Malaysia supaya penghasilan generasi yang berkualiti terjamin.
PENUTUP
Kemiskinan ialah suatu isu yang harus dinoktahkan walaupun jalan untuk menuju ke arahnya masih lagi jauh. Maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menjaga, menegakkan keadilan sosial, kebajikan dan memakmurkan kesejahteraan sosial kanak-kanak kerana tiada satu pihakpun yang terkecuali daripada berhubung dengan kanak-kanak. Oleh sebab itu, kita perlu mewajibkan usaha untuk membina satu negara bangsa yang bertamadun untuk masa hadapan yang lebih terjamin. Usaha pada peringkat mikro, mezzo dan makro harus rancak dilaksana dan harus diperluas lagi untuk membantu kanak-kanak mencapai keperluan asasi mereka di samping membantu kita untuk mengatasi isu kemiskinan yang berpanjangan ini dengan tindakan holistik.
RUJUKAN
Mukhriz Mat Husin. (08 Mei, 2024). Majoriti Kanak-Kanak Keluarga B40 di Kl Hidup Dalam
Kemiskinan, Sinar Harian, 2.
Astro Awani, (15 September 2023). Seramai 333 juta kanak-kanak seluruh dunia terlalu miskin.
6.
The Basic Facts About Children in Poverty. (2021). Dicapai pada 15 Mei 2024 daripada
https://www.americanprogress.org/article/basic-facts-children-poverty/
Adriana Mroon Ambrose (09 Mei 2024). Dicapai pada 14 Mei 2024 daripada
https://majoriti.com.my/berita/2024/05/09/kanak-kanak-miskin-di-kl-kelaparan-puncanya-harga-makanan-meningkat
Faida Rahim (13.01.2024). Lebih 170,000 Murid Sekolah Di Malaysia Tidak Mahir Membaca. 8.

Ditulis oleh Sutharssan A/L Nadarajan
Beliau ialah seorang Pegawai Kerja Sosial Perubatan yang sedang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (Sarawak) sejak tahun 2023. Kini sedang menyiapkan tesis PhD tentang Kesejahteraan Psikososial Pelajar Sekolah. Kajian dan kepakaran beliau tertumpu kepada bidang sosial perubatan, Psikososial Remaja dan pendidikan sejarah.

bersama Muhammad Hafiz Bin Abdul Rahman Beliau merupakan seorang Pegawai Kerja Sosial Perubatan yang sedang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2020. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial pada tahun 2016 dan Sarjana Kerja Sosial pada tahun 2018 dari Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau merupakan seorang terapis neuro-linguistik di bawah Standard Kemahiran Kerjaya Baharu (SKKB) sejak 2021.