Penyertaan aktiviti kokurikulum dalam menjayakan dasar ABC

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerapkan konsep Anak yang Baik lagi Cerdik iaitu diringkaskan dengan akronim ABC. Konsep ini dibawa oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali yang menyatakan bahawa mendidik anak-anak atau murid menjadi anak yang baik lagi cerdik. Konsep ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah lmemperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Tujuan utama aktiviti kokurikulum adalah menyokong kemenjadian murid secara menyeluruh dan seimbang dalam aspek JERIS iaitu Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual dan Sosial. Dasar ini sama dengan keberhasilan konsep ABC yang disarankan menjelang tahun 2023. Maka, secara logik dan tidak dinafikan bahawa Anak yang Baik lagi Cerdik dapat dibentuk melalui aktiviti kokurikulum di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Tetapi malangnya masih terdapat
sambutan dingin ibu bapa terhadap kegiatan kokurikulum di sekolah dan ada segelintir ibu bapa langsung tidak menggalakkan anak menyertai aktiviti kokurikulum dengan pelbagai alasan. Mereka menggangap bahawa menyertai aktiviti kokurikulum adalah satu kegiatan yang sangat membuang masa dan lebih baik masa tersebut digunakan oleh murid untuk fokus dalam pembelajaran. Ini merupakan cabaran yang dihadapi oleh semua sekolah dan jika tidak dibendung, konsep ABC sangat sukar untuk dicapai dalam masa terdekat.

Kejayaan seseorang murid tidak hanya diukur dengan jumlah A yang diperoleh semasa ujian. Sebaliknya, kejayaan seseorang individu dilihat daripada sikap dan pemikiran serta nilai insaniah yang dimilikinya. Maka, terjadilah kejadian di mana ramai murid yang cemerlang tetapi gagal semasa alam pekerjaan. Adakah ini generasi yang diingini oleh negara kita pada masa akan datang? Tentu tidak kerana golongan seperti ini hanya akan mengagalkan sesuatu organisasi kerana tiada perkara boleh diselesaikan seorang diri tanpa kerjasama berpasukan.

Justeru itu, seorang murid perlu menguasai kemahiran teknikal dan insaniah sebagai acuan kejayaan masa depan. Kemahiran teknikal merujuk kepada pembelajaran yang diajar secara formal di dalam bilik darjah Kemahiran ini merangkumi elemen menghafal, menganalisis data, mengingati konsep dan fakta serta sebagainya. Kemahiran insaniah pula bersifat keperibadian yang berperanan membentuk personaliti yang berkembang dari pelbagai aspek serta kematangan diri. Kemahiran ini tidak boleh diajar melalui buku sebaliknya murid perlu menguasai kemahiran ini secara kendiri dengan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum di dalam sekolah seperti kegiatan sukan dan permainan, pasukan badan beruniform dan kelab atau persatuan ataupun kegiatan kokurikulum di luar sekolah yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan ataupun jabatan- jabatan lain yang berkaitan.

Kegiatan kokurikulum bukan sahaja berperanan dalam perkembangan bakat murid serta meningkatkan kreativiti murid ke tahap yang maksimum tetapi ia juga mampu memantapkan pembentukan disiplin dan intelek diri murid yang memenuhi konsep ABC. Ini kerana aktiviti kokurikulum merupakan satu proses pembelajaran inkuiri setara dengan kurikulum masa sekarang terutamanya dalam bidang digital dan STEM. Banyak konsep yang dipelajari dalam kelas hanya sekadar teori dan praktikalnya adalah semasa penyertaan aktiviti kokurikulum. Tanpa aktiviti kokurikulum, maka murid hanya boleh menguasai domain kognitif Taksonomi Bloom sampai tahap analisis kerana menilai dan mereka cipta memerlukan sokongan daripada aktiviti kokurikulum.

Pengurusan emosi merupakan satu elemen yang perlu dikuasai oleh murid di bangku sekolah sebelum melangkah diri kea lam pekerjaan. Di manakah murid akan mempelajari tentang pengawalan emosi? Aktiviti kokurikulum jawapannya kerana melalui aktiviti kokurikulum, murid akan bekerjasama dengan pihak lain dan di sanalah terjananya emosi suka dan duka, emosi putus asa dan sebagainya. Guru merupakan insan yang penting dalam keadaan ini untuk membawa mereka ke arah emosi yang positif degan penambahan eleman kerohanian dan secara tidak langsung terjana motivasi intrinsik dalam diri mereka. Maka, penyertaan kokurikulum adalah satu kesempatan untuk membantu murid mengenal diri lebih mendalam dan mendekati diri dengan kerohanian jika menghadapi cabaran pada masa akan datang.

Di samping itu, kemahiran berkomunikasi dan bersosial merupakan satu eleman penting dalam penyertaan kokurikulum. Murid akan bergaul dengan rakan dari selah lain atau komuniti semasa menyertai aktiviti kokurikulum. Maka mereka akan mempelajari pelbagai teknik bersosial secara automatik dan ini akan meningkatkan keyakinan diri murid untuk menghadapi cabaran pembangunan negara pada masa akan datang.

Secara kesimpulannya, pihak sekolah perlu bekerjasama dengan ibu bapa untuk menggalakkan murid aktiviti kokurikulum demi kepentingan murid serta memastikan dasar ABC dapat dicapai dalam era ini.

Ditulis oleh Chow Mei Ling

Guru Matematik di SMK Medamit, Limbang, Sarawak. Berpengalaman selama 16 tahun dalam subjek Matematik SPM dan telah membimbing pelajar luar bandar memenangi pertandingan inovasi PdPc peringkat kebangsaan.

Leave a comment