Kemuliaan insan merupakan salah satu nilai penting yang diangkat dalam al-Quran melalui surah al-Tin ayat ke-4, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” Selaras dengan pengiktirafan tersebut, Allah SWT telah mempertanggungjawabkan manusia dengan amanah sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini. Pemahaman terhadap tanggungjawab tersebut memerlukan manusia untuk menunaikan hak terhadap diri sendiri dan juga masyarakat dengan adil dan seimbang. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai elemen paling utama bagi memastikan tanggungjawab tersebut dapat ditunaikan dengan sebaik-baiknya.
Rentetan itu, iltizam kerajaan dalam mengislahkan sistem pendidikan negara berteraskan konsep karamah insaniah dilihat relevan dalam usaha melahirkan insan yang seimbang dari sudut intelek, rohani, emosi, jasmani, dan sosial. Aspek keseimbangan inilah yang menjadi teras untuk mengangkat gagasan karamah insaniah dalam usaha membangun masyarakat Malaysia yang sejahtera. Jika diperhatikan secara lebih mendalam, iltizam yang dikemukakan adalah seiring dengan Falsafah Pendidikan Islam yang berhasrat melahirkan insan kamil dengan matlamat mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Melihat dari perspektif ini, keseimbangan yang dimaksudkan dalam Pendidikan Islam adalah meliputi pendidikan sahsiah, agama, dan urusan keduniaan. Ia seharusnya dapat dicapai melalui kemampuan manusia dalam mengintegrasikan antara ilmu dan amal tanpa melebihkan atau mengurangkan salah satu daripadanya.
Integrasi Ilmu dan Amal dalam Pendidikan Islam
Konsep integrasi ilmu dan amal adalah merujuk kepada suatu bentuk kesepaduan antara ilmu yang bersifat teori, dengan amal yang bersifat praktikal (Mohd. Radhi Ibrahim, 2023). Dalam konteks pendidikan, secara umumnya, aspek ilmu berkait rapat dengan keupayaan kognitif murid dalam memproses maklumat yang diterima melibatkan elemen intelektual iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis, dan penilaian. Manakala amal pula boleh dilihat dari sudut afektif yang merangkumi tingkah laku dan nilai, dan psikomotor yang melibatkan tindakan atau pergerakan fizikal.
Dari perspektif Islam, keupayaan seorang Muslim untuk beramal dengan ilmu yang dipelajari digambarkan dalam al-Quran seumpama sebatang pohon yang baik, teguh pangkal dan akar tunjangnya, dahannya menjulang ke langit dan sentiasa mengeluarkan hasil buah-buahan dengan izin Tuhan. Al-Quran juga memberi petunjuk bahawa pembuktian kebenaran al-Quran sebagai sumber ilmu paling utama sering digandingkan dengan saranan beramal dengan perbuatan yang baik seperti mendirikan solat, menunaikan zakat, dan meyakini hari Akhirat sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Luqman ayat 2-5.
Bertitik tolak daripada asas ini, Pendidikan Islam dilihat mempunyai peranannya yang tersendiri dalam menerapkan elemen integrasi ilmu dan amal melalui kurikulum dan kokurikulum di peringkat sekolah mahupun peringkat pengajian tinggi. Matlamat utama Pendidikan Islam adalah untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Ia perlu direalisasikan dengan mengambil kira beberapa aspek sama ada dari sudut kurikulum, institusi pendidikan, pendidik, dan penuntut ilmu.
Kurikulum yang sepadu dari kaca mata Pendidikan Islam adalah melibatkan tiga asas atau rukun utama dalam agama iaitu akidah, syariah, dan akhlak. Perkara paling asas ini perlu diletakkan di atas neraca keseimbangan antara ketiga-tiganya bagi melahirkan modal insan Muslim yang sejahtera dunia dan akhirat. Al-Quran secara jelas memberi panduan tentang kurikulum yang berteraskan integrasi ilmu dan amal seperti yang dinyatakan dalam surah al-Mujadalah ayat 11 dan 12. Ayat ini menjelaskan tentang hubungan antara nilai ketinggian orang yang berilmu dengan tuntutan berakhlak mulia dengan mengangkat nilai keharmonian, hormat-menghormati, dan memuliakan sesama manusia.
Selain itu, institusi pendidikan juga memainkan peranan yang signifikan dalam membudayakan gagasan integrasi ilmu dan amal ini. Bagi merealisasikan peranan tersebut, Pendidikan Islam wajar dilihat sebagai wadah dan penggerak utama. Sumber Pendidikan Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah perlu dilihat secara inklusif dari sudut penerapan nilai-nilai murni dan etika yang wajar dijadikan panduan oleh seluruh warga institusi pendidikan tanpa mengira bangsa dan agama. Terbaharu, pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dibuat oleh KPM wajar diperluas kepada semua sekolah mahupun institusi pengajian tinggi dengan mengambil kira elemen utama yang ingin digarap iaitu adab, akhlak, dan integriti.
Seterusnya, keupayaan pendidik, khususnya guru Pendidikan Islam untuk menerapkan integrasi ilmu dan amal ini perlu diberi perhatian. Dalam konteks ini, pendidik perlu bertindak sebagai role model dan mengamalkan nilai moral dan adab yang baik untuk diteladani oleh muridnya. Tugas sebagai pendidik tidak hanya terhenti setakat pada menyampaikan ilmu, tetapi juga berperanan untuk memperkukuh amalan, menerapkan nilai murni, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Di samping itu, penuntut ilmu perlu membina kesedaran dalam diri untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari. Dalam Islam, amal menjadi bukti pengabdian diri kepada Allah, sama ada yang berbentuk wajib mahupun sunat. Seseorang memerlukan ilmu yang benar bagi menghasilkan amal yang betul dan sempurna. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan setiap Muslim untuk menuntut ilmu bagi menjamin kesahihan amal. Sebagai contoh, pengetahuan tentang sifat Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya sepatutnya menyedarkan murid tersebut untuk sentiasa berbuat baik dan menjauhi perkara buruk yang dilakukan secara terang-terangan mahupun tersembunyi sekaligus mengangkat nilai integriti dalam diri murid tersebut.
Kesimpulannya, penerapan gagasan integrasi ilmu dan amal ini dilihat memainkan peranan yang amat signifikan dalam dunia pendidikan amnya, dan Pendidikan Islam khasnya. Ia memberi nilai tambah dan pemangkin kepada usaha untuk mengangkat Karamah Insaniah seiring dengan matlamat pendidikan negara.
Ditulis oleh Amir Aiman bin Shariff

Amir Aiman merupakan guru Pendidikan Islam di SK Seri Merlong dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, UM dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan, USIM.
*This piece is solely the personal opinion of the author and does not necessarily reflect HIVE Educator’s stance.