Pengenalan
“Saya suka Sains tapi banyak fakta kena hafal ”.
“ Dalam tajuk sifat cahaya pun kita kena ingat cahaya bergerak lurus, bayang-bayang, pantulan, pembiasan, bahan lutsinar dan banyak lagi ”.
Ini antara respon murid dalam kelas Sains Tahun 4. Oleh itu, dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdpC) Sains, murid-murid saya diberi peluang membuat hands-on, penyiasatan dan penerokaan ilmu. Selain itu, saya mula mengikhtiarkan kaedah lain berdasarkan gaya pembelajaran murid-murid saya yang cenderung kepada visual, auditori, kinestetik bagi mengoptimumkan hasil pembelajaran.
Penggunaan ChatGPT dalam PdpC Sains.
Mulai Mei 2024, saya mendedahkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam PdpC Sains melalui kaedah yang berbeza. Murid-murid saya telah menggunakan ChatGPT untuk memperoleh maklumat yang terperinci dan teratur tentang tajuk Sains dalam Tahun 4 iaitu manusia, haiwan, tumbuhan dan sifat cahaya. Penggunaan ChatGPT membolehkan murid-murid saya mempelajari tajuk-tajuk tersebut dengan lebih mendalam dan memahami aplikasinya dalam kehidupan seharian. Murid-murid berasa kagum dan ghairah apabila menggunakan ChatGPT untuk menyelesaikan tugasan guru serta untuk tujuan pembelajaran kendiri.
“Sungguh menakjubkan! Saya boleh tanya apa sahaja tentang Sains dan ChatGPT selalu ada jawapan!”
“Ini sangat seronok! Saya mahu terus bertanya tentang eksperimen yang boleh saya lakukan!”
Rajah 1
Murid-murid menggunakan ChatGPT untuk menyelesaiakn tugasan dalam tajuk manusia, haiwan, tumbuhan dan sifat cahaya.


Pada bulan Ogos, saya membimbing murid-murid mencipta lagu berdasarkan tajuk sifat cahaya dengan menggunakan AI Suno me dari laman Web https://suno-ai.me/. Sebelum membuat tugasan ini, murid-murid perlu memahami tajuk sifat cahaya dan membuat rumusan terhadap apa yang dipelajari dalam tajuk sifat cahaya. Murid-murid menggunakan rumusan yang diperolehi untuk menjana lirik lagu dan muzik. Penjana muzik ini menjana muzik dan lirik berdasarkan input pengguna serta dapat mempertingkatkan lagu sedia ada. Ia sesuai untuk peminat muzik, pencipta dan mereka yang memerlukan inspirasi kreatif. Murid-murid hanya perlu memasukkan isi penting dalam tajuk sifat cahaya ke dalam tempat kosong yang disediakan dalam laman Web Ai Suno, kemudian klik pada butang ‘Menjana’, dengan ini dua buah lagu dijana dengan serta merta.
Rajah 2
Murid-murid mencipta lirik dan muzik dengan AI (suno-ai.me.)


Rajah 3 QR Code lagu “Sifat Cahaya” yang dicipta oleh murid dengan AI (suno-ai.me.)

Melalui pemerhatian ke atas tingkah laku dan respon murid, penggunaan AI (suno-ai.me.) ini mampu menarik minat dan meningkatkan kefahaman murid dalam tajuk sifat cahaya. Murid-murid bekerjasama dengan baik, saling memberi idea untuk menghasilkan muzik yang kreatif. Mereka mendengar dan menghargai pandangan rakan-rakan serta menunjukkan kreativiti dengan menggabungkan pelbagai elemen muzik dan berfikir secara kritis untuk memperbaiki hasil muzik mereka. Murid-murid juga menunjukkan keterbukaan untuk menggunakan teknologi dalam cara yang positif dan produktif, sambil memupuk kemahiran kerjasama dan kreativiti.
Antara perbualan murid seperti:
“Mari kita cuba tukar lirik dan bahasa ini dan lihat apa hasilnya.”
“ Apa kata, kita tukar kepada penyanyi lelaki!”
“Terlalu panjang ayat tu, kita “enter” ke bawah”
“Saya rasa menarik bagaimana AI boleh membantu kita menjana muzik! Saya tak pernah tahu kita boleh buat ini dengan teknologi.”
“ Kita jana beberapa buah lagi, nanti kita pilih yang terbaik!”
“ Setuju!”
Dengan mengintegrasikan AI Suno ini dalam pembelajaran Sains, ia boleh meningkatkan keupayaan kognitif, kemahiran bahasa, dan pembangunan sosial dan emosi murid-murid. Mendengar lirik yang berulang kali akan merangsang ingatan murid. Mereka akan lebih mudah mengingati fakta saintifik berkaitan sifat cahaya. Lagu tentang sifat cahaya boleh membantu murid memahami konsep-konsep seperti pantulan, pembiasan, dan spektrum cahaya dengan cara yang interaktif dan menyeronokkan. Murid-murid berusaha untuk membuat lirik lagu yang menggunakan ayat berstruktur dan berima serta mengatur ayat secara semula jadi. Murid-murid boleh menyanyikan lagu ini bersama-sama, menggalakkan kerjasama dan semangat berpasukan serta melakukannya dengan penuh emosi dan kreativiti. Selain itu, aktiviti ini dapat meningkatkan keyakinan diri dan mengembangkan kemahiran komunikasi mereka. Aktiviti menjana muzik dalam pembelajaran memberi peluang kepada murid untuk menunjukkan bakat mereka, meningkatkan keyakinan diri dan keberanian untuk berkongsi idea.
Penggabungan unsur muzik dalam pengajaran tajuk sifat cahaya menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan dan kreatif. Mengaplikasikan muzik dalam pengajaran merupakan suatu kaedah yang senang dikuasai oleh semua guru untuk memberikan pemahaman yang berkesan kepada murid-muridnya. Murid-murid merasa seronok dan tidak bosan kerana melalui irama dan bunyi-bunyian yang dihasilkan dapat memberi ketenangan dan keseronokan kepada murid-murid dan dengan ini dapat meningkat ingatan murid-murid terhadap isi pelajaran. Daripada soal jawab kepada murid Tahun 4 dalam tajuk sifat cahaya yang menggunakan Ai Suno, didapati semua murid memberi jawapan positif dengan kaedah ini.
Contoh komen murid tentang penggunaan AI Suno dalam pembelajaran sifat cahaya termasuk:
“Saya suka lagu yang dijana oleh AI Suno ini.”
” Penggunaan AI Suno membuat tajuk ini mudah difahami.”
“AI Suno membantu saya mengingati kandungan dalam tajuk sifat cahaya.”
” Bong juga berminat…dia menari dengan gembira sambil menyanyi.”
“Saya rasa lebih yakin untuk belajar tentang cahaya selepas menggunakan AI Suno.”
“Alangkah baik jika dapat jana lebih banyak lagu”
“Semua orang boleh menjadi bintang.”
“Saya juga boleh buat sendiri di rumah”
Komen-komen ini menunjukkan bagaimana teknologi AI Suno dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran murid.
Selepas pembelajaran tajuk sifat cahaya, murid-murid juga diberi borang soal selidik tentang penggunaan AI dalam PdpC Sains. Selepas analisis data, didapati semua murid memberi tanggapan yang baik terhadap penggunaan AI dalam PdpC Sains.
Rajah 4
Maklum balas dan respon penggunaan AI dalam PdpC Sains.
Kesimpulannya, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdpC) adalah satu langkah inovatif yang membawa banyak manfaat kepada pendidikan. AI mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dengan mempercepatkan akses kepada maklumat dengan contoh yang spesifik dan sistematik. Selain itu, AI juga berperanan penting dalam meningkatkan minat murid dalam pembelajaran Sains, menyediakan pengalaman yang interaktif dan menarik yang dapat menarik perhatian mereka untuk mengeksplorasi konsep-konsep Sains dengan cara yang lebih menyeronokkan.
Dengan menggabungkan AI dalam proses pembelajaran, kita dapat memberikan pendidikan yang mempromosikan kreativiti dan keyakinan diri, di mana murid merasa lebih yakin dalam menyelesaikan masalah. Di samping itu, AI membantu dalam mengembangkan kemahiran-kemahiran penting abad ke-21, termasuk kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif, berkomunikasi, menyelesaikan masalah, berkolaborasi, dan berkepimpinan. Semua kemahiran ini adalah asas yang penting untuk mempersiapkan murid menghadapi cabaran dunia moden yang kompleks dan sentiasa berubah. Oleh itu, pendidikan yang holistik dan berfokus kepada pembangunan kemahiran ini memastikan murid tidak hanya mencapai kejayaan akademik tetapi juga bersedia untuk untuk membentuk generasi masa depan yang lebih berdaya saing dan berinovasi untuk dunia kerja dan masyarakat masa depan.
Ditulis oleh Chin Suk Mei

Cikgu Chin Suk Mei merupakan seorang guru di SJK Chung Hua Buso. Mula berkhidmat sejak 2004, beliau telah berkhidmat sebagai seorang guru sains untuk 20 tahun.