Revolusi Pembelajaran Sains: Komik Sebagai Alat Pembelajaran yang Berkesan

Pembelajaran sains di peringkat sekolah sering dianggap mencabar oleh sebilangan besar pelajar, terutamanya apabila melibatkan konsep-konsep sains yang abstrak dan sukar seperti topik jirim, tenaga, dan kadar tindak balas. Ketidakupayaan pelajar dalam menggambarkan konsep-konsep ini dengan tepat boleh mengakibatkan mereka mengalami masalah kognitif ketika mempelajari sesuatu topik yang diajarkan. Kaedah pengajaran yang biasa dan konservatif iaitu lebih berpusat kepada teks semata-mata kadangkala tidak mencukupi untuk menerangkan konsep-konsep ini. Ini Lebih-lebih lagi bagi pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran visual.

Lantaran itu, terdapat sebilangan guru dan penyelidik yang inovatif telah meneroka penggunaan komik sebagai salah satu alat pembelajaran yang berkesan dalam meningkatkan kefahaman pelajar tentang topik-topik sains, khususnya dalam topik-topik yang mencabar (Akcanca, 2020). Pendekatan ini bukan sahaja dapat menarik minat pelajar, malah berkesan dalam memandu mereka mengaitkan konsep saintifik dengan menganalogikan situasi harian yang mereka alami.

Penerapan Komik 

Kini, komik boleh dikatakan sebagai medium yang popular di kalangan pelajar. Keadaan ini kerana komik menawarkan visualisasi yang menarik, dialog yang mudah dan senang untuk difahami, serta jalan penceritaan yang menghiburkan. Oleh itu, jika diterapkan dalam konteks pembelajaran, ia dapat membantu pelajar memahami konsep-konsep abstrak melalui ilustrasi gambar dan penceritaan yang ringkas. Ini berbeza dengan cara pengajaran yang hanya menggunakan bentuk ayat atau penerangan sahaja.

Selain itu, keistimewaan komik adalah mampu mengaitkan konsep  pembelajaran dengan pengalaman pelajar dalam hidupan seharian mereka. Contohnya proses pelarutan dan pembakaran yang mewakili tindak balas fizikal dan tindak balas kimia. Pendekatan ini menjadikan konsep tersebut lebih dekat dengan mereka dan mudah diingati.

Model Kemahiran Visualisasi 

Namun demikian, sebelum menghasilkan sesuatu komik pendidikan, perlunya merujuk kepada sesuatu model atau kerangka sebagai garis panduan agar komik yang dibangunkan lebih terpandu dengan unjuran kandungan yang lebih tersusun (Mnguni, 2014; Vavra et al., 2011). Antara pecahan kemahiran visualisasi yang boleh dijadikan konstruk adalah seperti berikut:

  1. Lukisan – Lakaran dan ilustrasi penceritaan dan boleh dimasukkan dalam aktiviti latihan. Teks ringkas juga boleh disertakan.
  1. Analogi –Mengaitkan sesuatu konsep yang dipelajari dan membandingkan dalam kehidupan seharian
  1. Peta Konsep – Pelajar merumuskan pengetahuan dan mencurahkannya melalui ringkasan secara bersusun dalam bentuk grafik.
  1. Pemodelan– Menyediakan ruang latihan untuk pelajar berimaginasi dan melakukan sendiri dalam bentuk maujud. Sebagai contoh pelajar melakukan latihan membina model menggunakan plastisin.

Lantaran itu, komik yang dibina berlandaskan kemahiran visualisasi ini, pelajar dapat melihat penerapannya dalam pembelajaran dengan jelas. Contohnya, bab komik mengenai proses pembakaran kayu, pelajar dapat melihat gambaran kayu yang terbakar (lukisan), perubahan molekul kayu dan oksigen (analogi dan pemodelan), serta mengingati proses pembakaran (peta konsep). Penerapan kemahiran visualisasi  ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan efisien.

Kesan Positif Komik dalam Pembelajaran Sains

Ironinya, sejajar dengan dapatan-dapatan kajian lepas telah mendapati bahawa pelajar yang menggunakan komik sebagai sumber pembelajaran menunjukkan peningkatan dalam kefahaman konsep-konsep sains berbanding dengan kaedah penerangan biasa (Gilmartin,1982; Hosler, & Boomer, 2011; Jee & Anggoro, 2012). Penggunaan kemahiran visualisasi telah membantu pelajar melihat kaitan antara kemahiran visualisasi yang mereka alami dengan teori saintifik yang diajar di sekolah dengan lebih terperinci.

Selain itu, komik juga menggalakkan kecenderungan pelajar untuk belajar sains. Penglibatan pelajar dengan jalan penceritaan dan unsur watak dalam komik, mengakibatkan perasaan ingin tahu dan  mengekalkan perhatian. Ini seterusnya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif dua hala dan menghiburkan. Pelajar menjadi lebih bersemangat untuk mengutarakan pertanyaan dan mengkaji konsep-konsep sains dengan lebih mendalam.

Cabaran dan Penyelesaian

Namun begitu, terdapat juga cabaran yang perlu diatasi apabila menggunakan komik. Salah satu cabarannya adalah menghasilkan komik yang seimbang antara elemen hiburan dan isi kandungan akademik. Komik yang terlalu ringkas dan lucu mungkin tidak cukup mendalam untuk menjelaskan konsep-konsep saintifik, manakala komik yang terlalu berfokus mungkin kurang menarik minat pelajar.

Untuk mengatasi masalah ini, penyusunan komik perlu dilakukan dengan teliti. Papan cerita perlu dibina terlebih dahulu agar penceritaan bukan sahaja lebih menarik dengan penjelasan yang padat, namun disampaikan dalam kandungan yang mudah difahami oleh pelajar. Penggunaan warna, ilustrasi yang jelas, dan dialog yang ringkas juga dititik beratkan agar penghasilan komik lebih sempurna.

Kesimpulan

Penggunaan komik dalam pembelajaran sains merupakan satu revolusi yang mampu membantu pelajar dalam meningkatkan kefahaman mereka. Melalui kemahiran visualisasi yang diterapkan dalam komik, pelajar dapat melihat fenomena saintifik dari perspektif yang lebih jelas dan holistik. Di samping itu, pendekatan ini juga dapat meningkatkan kecenderungan dan minat pelajar terhadap mata pelajaran sains. Natijahnya dengan potensi besar yang dibawa oleh komik sebagai alat pembelajaran, sudah tiba masanya kekerapan penggunaannya perlulah dipergiat dan dimaksimakan secara komersial bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran sains.

Pelangi Science Up Book: Global Warming, Earth, Human Body, Evolution, Sea,  Power, Earthquakes & Volcanoes, Universe, North Pole & Antarctica, Weather  | Lazada
KOMIK SAINS PERTAMA SAYA (10 JUDUL) - KOMIK PENDIDIKAN KANAK-KANAK -  PELANGI | Lazada

Rujukan:

Akcanca, N. (2020). An alternative teaching tool in science education: Educational comics. International Online Journal of Education and Teaching7(4), 1550-1570.

Hosler, J., & Boomer, K. B. (2011). Are comic books an effective way to engage nonmajors in learning and appreciating science?. CBE—Life Sciences Education10(3), 309-317.

Jee, B. D., & Anggoro, F. K. (2012). Comic cognition: exploring the potential cognitive impacts of science comics. Journal of Cognitive Education and Psychology11(2), 196-208.

Gilmartin, P P. (1982). “The Instructional Efficacy of Maps in Geographic Text.” Journal of Geography 81, no 4: 145–50. 

Mnguni, L. E. (2014). The theoretical cognitive process of visualization for science education. SpringerPlus3, 1-9.

Vavra, K. L., Janjic-Watrich, V., Loerke, K., Phillips, L. M., Norris, S. P., & Macnab, J. (2011). Visualization in science education. Alberta Science Education Journal41(1), 22-30.

Ditulis oleh Nur Hamizah Syahirah binti Ruhizat

Nur Hamizah Syahirah binti Ruhizat, merupakan seorang Guru Cemerlang Sains di sekolah menengah DG48 di Malaysia dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Teknologi Malaysia. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pendidikan sains dan sentiasa bersemangat untuk menyumbang kepada pembangunan ilmu melalui penulisan, inovasi serta perkongsian idea. Fokus mintanya adalah melibatkan kemahiran visualisasi, perwakilan tiga aras dan penggunaan komik dalam pembelajaran sains. Beliau juga aktif dalam projek-projek pendidikan yang melibatkan pelajar serta komuniti. Keterlibatannya juga adalah sebagai salah seorang penceramah teknik belajar sains. Beliau berharap agar penulisan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca dan semoga dapat merangsang minat terhadap ilmu pengetahuan.

Leave a comment