Pentaksiran psikometrik (PPsi) merupakan salah satu pentaksiran yang penting dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Pentaksiran Psikometrik bukan sahaja mengumpul maklumat tret psikologi malah mengukur kebolehan semulajadi dan kebolehan berdasarkan pengalaman dan persekitaran murid. Tret psikologi yang diukur merangkumi aptitud serta personaliti murid. Hasil interpretasi PPsi membantu dalam perkembangan personaliti serta kerjaya murid.
Antara tujuan pelaksanaan PPsi:
- Membuat keputusan kerjaya
Murid dapat membuat keputusan yang tepat dan realistik mengenai kerjaya yang sesuai berdasarkan Inventori Minat Kerjaya.
- Penyebaran maklumat kerjaya
Maklumat kerjaya diperolehi berdasarkan pentaksiran psikometrik secara kendiri dan akan diinterpretasikan
- Mengenal pasti potensi diri murid
Murid dapat memahami kelebihan serta personaliti dan persekitaran pekerjaan yang sesuai diceburi.
- Mendapat bimbingan dan nasihat
Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) menjadi sumber rujukan untuk mendapatkan maklumat serta peluang pendidikan yang dapat membantu murid membina kerjaya pilihan.
Bagi murid sekolah menengah, pelaksanaan inventori psikometrik berbeza mengikut tingkatan iaitu:
- Tingkatan 1: Inventori Minat Kerjaya (IMK)
- Tingkatan 2: Inventori Tret Personaliti (ITP)
- Tingkatan 3: Inventori Minat Kerjaya (IMK) dan Inventori Kecerdasan Pelbagai (IKP)
- Tingkatan 4: Inventori Tret Personaliti (ITP)
- Tingkatan 5: Inventori Minat Kerjaya (IMK)
Setiap inventori mempunyai keperluan khusus Inventori Minat Kerjaya (IMK) digunakan untuk menentukan minat kerjaya individu terhadap aktiviti pekerjaan dalam 6 bidang iaitu Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Enterprising dan Konvensional.
Inventori Tret Personaliti (ITP) pula membantu murid mengenal pasti potensi diri dari aspek personaliti, minat dan nilai untuk membuat pilihan dan menentukan hala tuju kerjaya. Terdapat 15 konstruk personaliti yang dinilai dalam ITP iaitu Autonomi, Kreatif, Agresif, Ekstrovert, Pencapaian, Kepelbagaian, Intelektual, Kepemimpinan, Struktur, Resilien, Menolong, Analitikal, Kritik Diri, Wawasan dan Ketelusan.
Inventori Kecerdasan Pelbagai (IKP) pula dilaksanakan untuk mengukur kebolehan semulajadi dan kebolehan yang diperolehi seperti personaliti, minat kerjaya, aptitid, kemahiran berfikir dan kemahiran penyelesaian masalah. Elemen yang dinilai dalam instrumen ini adalah kecerdasan Verbal Linguistik (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Logik Matematik, Interpersonal, Intrapersonal, Visual Ruang, Naturalis, Kinestetik, Muzik dan Eksistensial.
PPsi membantu GBK dalam menyesuaikan pendekatan bimbingan kepada murid berdasarkan personaliti dan minat yang telah dikenal pasti. Contohnya, murid yang menunjukkan kecenderungan dalam bidang Realistik dan Investigatif boleh dibimbing untuk menjelajahi program pendidikan dalam bidang sains atau teknikal. Manakala murid yang cenderung kepada bidang Artistik dan Sosial boleh digalakkan untuk menceburi kursus dalam bidang seni kreatif atau psikologi.
Setelah menjalani pentaksiran psikometrik, murid akan menjalani program intervensi psikometrik sebagai pengukuhan untuk membina personaliti dan menyuburkan minat dalam bidang kerjaya tertentu. Intervensi psikometrik merangkumi sesi bimbingan dan kaunseling secara individu atau kelompok, konsultasi kerjaya, lawatan ke pameran pendidikan kerjaya serta pusat pengajian tinggi awam dan swasta.
Intervensi psikometrik bukan sahaja membantu murid memahami personaliti serta minat dan kecenderungan, bahkan memberi peluang kepada mereka untuk membina kemahiran hidup yang kritis seperti membuat keputusan, kemahiran berfikir aras tinggi dan penyelesaian masalah. Melalui program pendidikan kerjaya, murid dilatih untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh secara praktikal, seperti cara menguruskan cabaran akademik dan sosial di sekolah. Pengalaman ini sangat penting sebagai persiapan dalam menghadapi kehidupan selepas tamat persekolahan sama ada ingin melanjutkan pelajaran atau melangkah ke alam pekerjaan.
Kajian terkini menunjukkan bahawa pelaksanaan PPsi yang disusuli dengan program intervensi mempunyai impak yang signifikan dalam pembentukan jati diri murid khususnya membantu murid meningkatkan keyakinan diri, berdikari dan memiliki hala tuju yang jelas. Menurut kajian yang dijalankan oleh Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pendidikan Malaysia (2021), “murid yang terlibat secara aktif dalam program psikometrik menunjukkan peningkatan dalam motivasi akademik dan kesedaran kendiri”. Kajian lain oleh Zainal Abidin dan Nor Aini (2023) pula mendapati bahawa murid yang menerima bimbingan kerjaya berdasarkan pentaksiran psikometrik lebih cenderung membuat pilihan kerjaya yang lebih tepat dan realistik, berbanding murid yang tidak menjalani pentaksiran.
PPsi bukan sahaja alat penilaian tetapi pemangkin kepada kejayaan murid dalam membina kerjaya yang bersesuaian dengan minat, bakat, dan potensi mereka. Melalui pendekatan yang menyeluruh ini, PPsi mampu menyumbang kepada pembangunan murid secara holistik, sejajar dengan matlamat pendidikan yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Secara keseluruhannya, pentaksiran psikometrik memainkan peranan penting dalam membantu murid mengenal pasti potensi diri dan hala tuju kerjaya. Intervensi psikometrik yang dilaksanakan selepas pentaksiran mampu mengukuhkan perkembangan personaliti serta membantu murid membuat keputusan yang lebih bijak dan matang. Oleh itu, adalah penting bagi pihak sekolah dan GBK untuk terus memperkukuhkan pelaksanaan PPsi demi melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam pembentukan sahsiah dan kerjaya mereka.
Rujukan:
Sidek Mohd Noah (2002). Perkembangan Kerjaya: Teori & Praktis. Serdang. Universiti Putra Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2021). Laporan Tahunan Bahagian Psikologi dan Kaunseling. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Zainal Abidin, R., & Nor Aini, M. S. (2023). Psikometrik dan Kerjaya: Implikasi Terhadap Pilihan Kerjaya Murid Sekolah Menengah. Jurnal Psikologi Pendidikan, 15(2), 78-95.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). (2018). Laporan Pelaksanaan Tahunan 2018. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Ditulis oleh Cikgu Dayang Rafidah Binti Awang Osman Bersama Cikgu Nurzharif Syafiqah Binti Saili

CIKGU DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN
Seorang guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa yang bertugas di SMK Padawan, Sarawak

CIKGU NURZHARIF SYAFIQAH BINTI SAILI
Seorang guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa yang bertugas di SMK Methodist Sibu, Sarawak