MEMBUDAYAKAN PROGRAM AMALAN GURU PENYAYANG DI SEKOLAH

Sekolah merupakan sebuah institusi pendidikan yang penting dalam menyalurkan ilmu pengetahuan dan pelbagai maklumat kepada anak bangsa. Sekolah diibaratkan sebagai “rumah kedua” bagi memastikan kemenjadian murid secara holistik dapat dicapai melalui keseimbangan perkembangan dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Sekolah penyayang digambarkan melalui keberkesanan barisan pemimpin tertinggi sekolah dalam menyokong setiap program yang dirancang untuk meningkatkan sifat kepedulian terhadap perkembangan murid. Pada masa yang sama, sekolah penyayang mampu mewujudkan murid yang ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara yang sejahtera.

Oleh yang demikian, Program Amalan Guru Penyayang (AGP) menggunakan pendekatan humanistik dalam pendidikan, di mana guru tidak hanya berperanan sebagai pendidik tetapi juga sebagai figura yang prihatin, empati, memahami, dan menyokong murid dari aspek psikologikal.

Justeru, pelaksanaan Program AGP dilihat menepati aspirasi sistem pendidikan Malaysia dari segi Akses iaitu memastikan setiap murid mendapat pendidikan berkualiti tanpa mengira status ekonomi, kaum atau latar belakang murid. Pihak sekolah juga komited demi memastikan tiada murid yang tercicir demi memenuhi standard minimum sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, Program AGP merupakan salah satu petunjuk keberhasilan utama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan dipantau dari semasa ke semasa. Terdapat 3 elemen utama dalam pelaksanaan program AGP iaitu (i) Mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, (ii) Memberi penghargaan kepada murid dan (iii) Program Mentor-Mentee. Antara objektif utama program AGP di sekolah adalah (i) Menjiwai bahawa amalan penyayang adalah budaya guru, (ii) Menginsafi bahawa kehadiran murid merupakan rahmat kepada sekolah, (iii) Menyedari bahawa setiap murid adalah aset kepada sekolah dan (iv) Menghargai sumbangan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat kepada sekolah.  

Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi memastikan program ini memberi manfaat yang berterusan kepada seluruh warga sekolah. Antara aktiviti yang direalisasikan bagi melestarikan amalan guru penyayang seperti Sambutan Hari Lahir Perdana, penghargaan kepada murid dengan memberi Kad Ucapan Ulang Tahun dan sambutan hari istimewa di sekolah. Selain itu, amalan mengalu-alukan kedatangan murid ke sekolah setiap hari dan Program Ziarah Cakna juga diperkasakan untuk mengenal pasti murid berisiko cicir. Program Ziarah Cakna juga merupakan kesinambungan daripada Program Amalan Guru Penyayang yang bertujuan memberi konsultasi keibubapaan dan kaunseling keluarga kepada murid yang mempunyai kekangan untuk hadir ke sekolah. Impaknya, program dan intervensi ini berjaya meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah dan meningkatkan motivasi murid untuk belajar dalam keadaan yang ceria dan diterima.

Program AGP juga menyasarkan penglibatan aktif murid yang tinggal di asrama dengan kolaborasi aktif bersama pihak pengurusan asrama sekolah serta Lembaga Warden bagi melaksanakan aktiviti bermanfaat untuk murid asrama. Antara usaha yang boleh dijalankan ialah Sambutan Hari Lahir Murid Asrama, Majlis Apresiasi Murid Asrama yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik, aktif dalam bidang sukan serta ko-akademik. Justeru, Program AGP secara tidak langsung melibatkan semua pihak terlibat sesuai dengan peranan masing-masing bagi membudayakan amalan sekolah penyayang.

Semoga segala usaha murni untuk membudayakan amalan guru serta sekolah penyayang dapat dicapai dengan adanya penglibatan dan kerjasama daripada semua warga sekolah. Kemenjadian murid sememangnya berkait rapat dengan pelaksanaan program bermanfaat seperti hasil perbincangan yang ditulis dalam kajian oleh (Fauziah, Nurul ‘Ain dan Nazariah, 2015) iaitu pelajar-pelajar merasa dihargai apabila guru mengalu-alukan kedatangan mereka ke sekolah melalui temubual yang telah dijalankan. Keadaan ini dapat meningkatkan interaksi sosial antara guru dan murid dan pihak sekolah merupakan pencetus kepada perhubungan sosial yang positif ini.

Fauziah Hanim Jalal, Nurul ‘Ain Daud & Nazariah Abd Samad. 2015. Kesan Program Pembangunan Sahsiah Terhadap Pembentukan Karakter Pelajar. Universiti Pendidikan Sultan Idris. Jurnal Bitara Edisi Khas (Psikologi Kaunseling) Vol 8.

Ditulis Oleh Dayang Rafidah Binti Awang Osman Bersama Annie M. Godomon

CIKGU DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN

Seorang guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa yang berkhidmat di SMK Padawan, Sarawak

CIKGU ANNIE M. GODOMON

Seorang guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa yang berkhidmat di SMK Padawan, Sarawak

Leave a comment